Friday, January 13, 2017

Transportation in Japan. Can I survive?

Sebelum bercerita lebih panjang, jom tengok anda ni kategori pelancong yang macam mana. Lihat carta di bawah dan click untuk lebih jelas.

Ni suka-suka je. Anda sendiri tau anda orangnya macam mana. Nak percutian ekstrem ke, santai ke, belasah aje ke terpulang. Best ke tak best, akhirnya semua itu akan jadi kenangan terindah. Cewahh
Apabila jalan sendiri, kita dapat merasa menaiki pengangkutan awam seperti orang tempatan.  Kalau ikut pakej(agensi pelancongan) biasanya  lebih mudah kerana turun naik bas yang disediakan sahaja. Just enjoy tempat lawatan. Tapi apabila jalan sendiri, usaha kena lebih untuk cari, baca dan proses maklumat. Tak kisahlah tersesat pun tetapi seboleh-bolehnya mestilah untuk mengelak risiko tersesat.

Walaupun saya pengguna LRT tegar satu ketika dahulu tapi bila sampai Jepun ni fuh pitam tengok peta subway. Setakat Thailand, 10 minit macam tu dah boleh faham sistem. Ada orang memang dia boleh faham cepat.  Ada orang sampai hari ketiga pun teraba-raba lagi. Oh siapakah itu? Hihi. Kalau betul pun sebenarnya kebetulan.

Ni sistem di KL
  

Ni baru di Tokyo sahaja. Cer kome bandingkan. 

Samalah macam budak disleksia, kan dia ada masalah nak membezakan huruf ‘d’ dan ‘b’ sedangkan kita nampak senang je benda tu. Dan memang ada orang yang lemau bab-bab navigation dan fobia peta ni. Haha. Tengok je benda berselirat, otak dah reject. Tokleh nak g. Ok saya cerita yang saya faham. Kalau sampai ke sudah pun tak faham, meh kita rebus peta ni dan minum air dia.

Complicated tapi efisien sebenarnya. Hingga lunyai buku dibuatnya. Sebenarnya ada apps yang boleh dimuat turun iaitu HyperDia tapi saya prefer secara manual dengan lihat peta di buku panduan ni.  

Buku ini boleh diambil di airport. Kaunter pelancong/informasi
Ni dalamnya, kita boleh tengok tempat mana yang nak dilawat berdasarkan keterangannya. Memang buku panduan yang berguna bagi pelancong. Semua maklumat pun ada.

Di sini ada 3 jenis train, JR, Subway dan Private Railway.

Ni peta untuk JR 

Laluan yang biasa digunakan Yamanote Line ia berbentuk bulatan dan sesiapa yang saja nak jalan-jalan, naik je mana-mana stesen dalam laluan ni, dan jangan turun, maknanya anda dah pusing sebahagian Tokyo tu hehe. Dia melalui stesen-stesen  yang memang popular untuk tourist seperti Ikebukuro, Shinjuku, Shibuya, Ueno, Tokyo dan Shinagawa.

Subway pula mengandungi 13 lines; 9 Tokyo Metro Lines dan 4 Toei Lines. Jika di dalam buku panduan kita akan dapat lihat lines yang berwarna warni dan ditanda dengan satu huruf sebagai simbol  nama lines tersebut. Malah, untuk lebih mudah sampai ke destinasi kita kena tahu station number yang ditulis di bawah simbol nama tersebut. Tak perlu hafal ni, cuma tengok dalam peta dan kena study sikit cara bagaimana yang lebih berbaloi.
 
Ni peta untuk subway. Nampak tak E yang berwarna Magenta. Itu namanya Toei Oedo Line. Dan nombor di bawahnya itu adalah nombor stesen.

Apa yang penting untuk diketahui?

Senarai tempat
Ok sudah pasti dari Malaysia lagi kita dah tahu trip kita itu lebih kepada shopping, nak pergi jalan-jalan atau nak pergi makan.  Senaraikan, dan ambil alamatnya. Untuk yang nak buat itinerary sendiri, Dalam 1 hari elok 3 atau 4 tempat sahaja. Takkanlah dik kerana nak melawat semua, hanya touch n go sahaja tempat tu. Tak best. Kenalah hayati dan bersantai untuk merasa macam orang tempatan. Lagipun jika naik train, memanglah ada yang kata keluar Exit ni, dalam 6-7 minit dah boleh jumpa destinasi. Sebenarnya dari keluar train tu nak ke Exit pun udah jauh perjalanannya, belum sampai destinasi lagi. Kalau anda jenis yang memang kaki senam. No problem. Kalau yang jenis sedantari ni, mulalah sakit pinggang sakit kaki bagai apabila malam menjelang. Tampal koyok nampaknya. 
Ini adalah cadangan trip oleh Tokyo Handy Guide yang hanya menggunakan JR Yamanote Line.

Ini pula adalah cadangan trip yang menggunakan subway.
Bagi yang matlamat nak shopping, biasanya beg Anello dan SK-II jadi pilihan. Orang kata memang murah beli di Jepun sendiri. Saya tak tahu sebab memang tak beli.

Sebenarnya kami pun tiada itinerary yang betul tapi dah senaraikan tempat mana yang hendak pergi. Cuma bila dah ambil peta/buku panduan di airport tu barulah lengkap itinerary setelah dipastikan laluan yang lebih mudah dan dekat dengan rumah.  So kiranya kami ni jenis belasah je. Just enjoy the trip dan tidak mengejar masa.

Nama line, station dan exit.
Ia penting untuk memastikan anda sampai di destinasi. Kalau mengikut buku panduan, memang nama line dan station telah ditulis tetapi tiada Exit. Cara untuk tahu Exit mana yang patut keluar, kadang kala dalam blog ada ditulis. Tetapi di stesen juga ada ditulis panduan Exit mana yang patut keluar iaitu rujuk peta yang dilekat di dinding warna kuning. 

Exit kena pastikan yang betul. Kalau di KL, exit kiri dan kanan sahaja. Kalau tersalah keluar Exit, tak kisah untuk patah balik. Kalau di Tokyo ni jangan buat pasal, Exit je lebih daripada dua. Kadang ada Exit A1, A2, A3. Kalau stesen yang besar dan utama tu lagilah. Bersimpang siur tengok Exit nya. Waduh-waduh itu yang boleh berpusing dalam station tu sahaja dekat 10-15 minit. Kalau dah tengok Exit yang betul pun kadang kala masalah boleh terlepas pandang. Tetiba Exit pun hilang hehe. Tambah pula dengan orang ramai yang memang ketika itu nak jalan laju je. Jadinya, sesat pun sesatlah.

Jika kita dah ada alamat tetapi tak tahu Exit mana yang patut diikut. Google sikit peta untuk mengetahui landmark seperti bangunan terdekat destinasi kita tu sebab nanti boleh tengok peta besar di subway. Dan dari situ biasanya ada diterangkan Exit yang harus diikuti.

Access
Dalam buku panduan biasanya ditulis access sesuatu tempat. Bukan satu sahaja. Kadang-kadang boleh dua tiga cara hendak pergi ke sana. Contoh nak pergi ke Nakamise Shopping Street boleh ke Asakusa Station on Tobu Line, Subway or Tsukuba Express (G19),(A18). Mungkin ada yang akan keluar dekat gate masuk Kaminarimon Gate dan ada juga yang jumpa Sensoji Temple dahulu. Semuanya bergantung kepada kita naik apa dan keluar Exit mana. Itu yang menyebabkan tak boleh ikut sangat itinerary yang dibuat, just belasah je. Walaupun sesat, sebenarnya kita akan jumpa pengalaman yang lain. Tak payah nak perfect sangat. Wah macam positif je bunyikan.. hehe.. tapi sebenarnya masa tu tension memang ada. Pujuk hati untuk positif. Chill.
 
Ni di Asakusa, ada yang boleh keluar di Station Asakusa Toei Asakusa Line, Asakusa Station North Exit Tobu Line dan Asakusa Station Metro Ginza Line. Di sini juga kita boleh naik cruise jika nak ke Odaiba. Jadi, banyak cara untuk datang/pergi ke sini.
Kalau hendak dibandingkan dengan di KL, misal kata kita hendak pergi ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Kita boleh naik LRT dan berhenti di Stesen Hang Tuah atau Monorail dan berhenti di Stesen Maharajalela. Kedua-dua stesen pun kena jalan kaki lagi untuk ke DBP. Jarak pun lebih kurang sama je. So kita pilih sama ada nak naik LRT atau monorail yang lebih mudah/murah.

Etika di dalam train.
Berbaris terlebih dahulu di ruang yang disediakan. Biarpun tak datang lagi trainnya, baris sahaja sebab memang ramai penggunanya. Kekerapan train datang pun cepat. Tak ada masa nak duduk lepak. Orang sentiasa datang.  Bila train sampai, beri ruang orang keluar terlebih dahulu. Sabaq sikit na.

 Set telefon dalam mode silent atau tutup telefon apabila berada di courteasy seat (priority seating for the elderly anda disabled).  Rendahkan nada suara anda juga bila bercakap.

Di dalam train, pengumuman next station atau station transfer jelas kerana ada English. Tapi untuk lebih jelas boleh tengok di skrin. Dan untuk memastikan kita naik train yang betul, bandingkanlah laluan di skrin tu dengan peta panduan kita. Kalau dah nampak next station  salah. Silalah turun di next station dan patah balik ke belakang tanpa perlu touch kad di pintu keluar. 

Kena alert telinga dan mata, pintu mana yang akan dibuka sama ada di kiri atau kanan. Ni kalau dah tersepit kat tengah-tengah jadinya bolehlah prepare nak menghala pintu mana dalam tren yang sendat tu. Boleh cakap “Sumimasen, orimasu”(Excuse me, I’m getting off) nanti derang akan bagi laluan. Pernah guna sekali je. Hehe.

Transfer 
Di KL, jika kita hendak tukar dari Kelana Jaya Line ke Ampang Line kita kena berhenti di stesen Masjid Jamek untuk bertukar line. Di Tokyo, jika kita hendak bertukar dari JR ke Subway atau sebaliknya juga, kita kena tengok di mana station transfer ini dekat map. Itu sebabnya setiap line subway ditanda dengan warna, nama line dan nama station agar mudah untuk lihat.
 
Nampak tak banyak warna di satu tempat tu? Maknanya kita boleh tukar tren di situ untuk terus ke destinasi.


Stesen akhir
Kadang kala apabila kita sampai di stesen yang betul tapi apabila kita hendak naik train tak nampak nama stesen destinasi kita tu malah di skrin ditulis nama lain. Jangan panik dahulu, cari dulu nama tu dalam peta. Ia sebenarnya menunjukkan nama station akhir. Contoh kalau di KL, kita nak pergi stesen Bangsar tapi dia akan tulis Kelana Jaya, jadi betul dah tu. Tapi mungkin juga ia adalah  train ekspres dan tidak berhenti di destinasi anda. Ha sudah..hihi sebenarnya semua maklumat tu ada tertulis dekat situ. Sebenarnya saya ni panik yang lebih, tu yang apa pun tak nampak. Kena alert keadaan sekeliling, semua maklumat ada di situ sebetulnya tak payah terus nak tanya orang. Kalau dah give up, dan surrender, apalagi yang boleh dibuat tanyalah orang.

Teksi
Laluan train yang sistematik membuatkan saya rasa tak perlu naik teksi. Ia merupakan pilihan terakhir sebab risau tambang mahal. Pernah naik teksi ketika di Osaka dahulu, tapi berkongsi empat orang, jimat sikit. Naik pun sebab dah sesat sangat, tak ada mood nak cari Exit dalam keadaan station yang sesak ya amat. Di semua penjuru orangnya ramai. Kebanyakan teksi, tambang permulaan JPY 730* dan akan bertambah mengikut masa dan jarak.  Tambang akan meningkat antara pukul 11 malam - 5 pagi. Ada kawan pernah tanya, Jepun tak jam ke? Entahlah, tak pernah pula terperangkap dalam traffic jam. Masa naik bas pun laluan clear je. Yang jam nya di stesen subway. Sesak dengan orang. Hihi. Tapi still berjalan lancar sebab semua orang jalan laju je.

Bas
Ketika di Tokyo, pengalaman naik bas sebanyak dua kali. Kelebihan naik bas, tak perlu naik turun tangga stesen subway. Tak perlu jalan jauh sebab biasanya terus ke destinasi. Malah, nampaknya mudah juga sebab di bus stop dah siap tulis stesen yang dilalui dengan masa dan tambang sekali (mungkin bukan semua tempat ada- tapi yang saya naik memang ada ditulis). Lagipun dalam bas tu sendiri memang ada pengumuman stesen yang berhenti dan untuk lebih jelas ada tv yang akan beritahu next station apa. Jadi kita boleh bersedia. Guna je kad PASMO untuk bayar tambang. Masuk pintu depan dan bayar tambang. Tambang antara JPY 100 – JPY 210 * dan akan bertambah ikut jarak. Apabila destinasi telah diumumkan. Tekan butang  loceng dan keluar ikut pintu belakang. Sebenarnya ikut je pintu mana yang terbuka. Sebab ada sekali tu naik ikut pintu belakang, touch kad PASMO dan bila sampai destinasi,  keluar pintu depan dan touch  lagi kad PASMO.
 
Keterangan tentang bas di bus stop. Untuk pastikan kita berada di laluan yang betul, boleh check laluannya.
Kalau betul nombor basnya, Alhamdulillah, cerah masa depan sampai dengan selamat, kalau tak betul, berpusing-pusinglah anda dalam kesesatan. Malah kebanyakan driver bas ni tak fasih English. Semasa di Kawaguchiko Lake, ada 2 penumpang yang tersalah naik bas. Oleh kerana pemandu tak faham apa yang ditanya, terpaksalah orang yang sesat ni bertanya siapa yang boleh cakap English. Mujur ada orang tempatan yang membantu.

*dipetik daripada majalah Good Luck Trip Dis16/Jan17

Untuk semua, Enjoy Your Trip.



No comments: