Sunday, June 14, 2020

Resipi Tempoyak Daun Kayu


Oh kome, deghoyan udah lughuh (luruh)! Peminat durian semua dah merasa ke? Orang yang membeli durian ni biasanya dalam hati, ‘Alangkah bagusnya kalau ada kebun. Kalau ada sepokok durian pun puas dah makan. Tak payahlah nak membeli dah. Mahal.’

Ha ni pula jawapan orang yang kat rumahnya ada dua batang pokok durian, ‘Adoi sikit pun tak dapat merasa. Buah rosak dik tupai, udah berlubang-lubang sampai tinggal biji je. Baik le membeli kalau nak puas makan.’

Kalau durian yang jatuh ni banyak yang rosak/berlubang, orang Perak kata buang buruk. Biasanya di permulaan nak luruh tu. Di akhirnya nanti akan ada sinar di hadapan dan dapatlah merasa durian yang elok.

4-5 biji yang jatuh tapi yang eloknya 2, 3 ulas sahaja. Nak mengambilnya pulak penuh cabaran sebab kawasan tu banyak nyamuk dan pacat. Makna kata kalau nak turun ngambil tu memang kena buat persediaan rapilah.  

Kalau dah setakat beberapa ulas sahaja yang dapat, akhirnya buat tempoyak ajelah. Saya tak makan tempoyak mentah. Kalau yang dimasak ni, baru boleh layan. Resipi ni asalnya dari Negeri Sembilan.





Bahan-bahannya:
  1. Pucuk ubi – diracik halus
  2. Daun kaduk – diracik halus
  3. Daun kunyit –diracik halus
  4. Kacang panjang –potong kecik-kecik
  5. Kunyit hidup atau kalau tiada, serbuk kunyit - tumbuk
  6. Cili api tumbuk dengan lesung batu bersama garam (jadi masa masak nanti tak perlu taruh garam dah)
  7. Petai – dibelah dan dihiris kasar
  8. Serai -diketuk
  9. Santan – ikut banyak mana nak kuahnya
  10. Tempoyak dalam dua sudu besar atau hingga kuah sedikit pekat.
  11. Ikan bilis – sedikit

Masukkan semua bahan dalam periuk dan masak sampai daun-daun tu rasa lembut. Resipi ni memang tak ada bawang. Orang kata kalau taruh bawang, hilang bau tempoyak tu dah.


No comments: