Saturday, April 2, 2011

Masak Lemak Bunga Kantan

Macam pelik sikit tengok mak masak lauk ni. Selalu, bunga kantan jadi sampingannya masa masak kuah laksa atau asam pedas. Yang ni pulak dia jadi watak utamanya. Bahan-bahannya sama sahaja macam masak lemak cili api cuma tak payah taruh asam keping sebab memang dah masam. Gunakan udang kecil sebagai bahan perencah.

Takde rasa macam makan masak lemak cili api, dah rasa macam makan laksa je.

Kalau masak, kita ambil kuntumnya...jangan pulak ambil yang kembang tu.

Cak!

Tak sangka bunga kantan ni sebenarnya cantik, selalu tengok kuntum je tak sempatlah dia kembangnya. Bila dah banyak bunga kantannya sampai tak termakan-makan kembanglah jadi bunga dan kita boleh buat bunga hiasan di meja makan.


Guna daun pandan sebagai tambah seri. Daun pandan ni sengaja dipatah-patahkan. Senilah sikit nampaknya, kan.

Mak saya punya gubahan. Eric Leong sila beri pandangan :)



Friday, April 1, 2011

Tazkirah Jumaat


Tadi pergi mengaji. Ustaz membicarakan topik ‘Apa yang kita hendak dalam hidup untuk kebahagiaan?’ Menjurus kepada bab kaum wanita sebab yang mengajinya semua muslimat.

Banyak NGO , ketua jabatan, menteri sekarang di kalangan wanita yang memperjuangkan hak wanita, untuk nak sama rata dengan lelaki. Adakah mereka ini tahu apa yang sebenarnya diperjuangkan.

Ustaz ni membangkitkan tentang sekarang ni banyak benar iklan tuala wanita dalam tv sampai dia sendiri naik segan menengoknya. Kerana nak ikut acuan barat hilang sifat perempuan yang sepatutnya pemalu. Hmm betul juga kata ustaz ni memang banyak iklan ni sekarang, pelbagai jenama dan semuanya mengiklan kalau pakai ni akan memberi keyakinan. Malah dari segi pembungkusan pun semuanya mahu yang cantik dan menarik. Ingat lagi awal-awal dahulu masa beli tuala wanita kat kedai runcit , dia siap balut paper lagi tapi ntah masa bila zamannya kita beli pun macam tak hairan je (mungkin zaman tengok 3R rasanya).

Sepatutnya, NGO, ahli politik, menteri wanita yang berpangkat besar ni memperjuangkan hak wanita dari segi hak bersalin. Terlalu sikit doktor pakar wanita kat hospital ni . Takkah memalukan, kita bertudung dan menutup aurat tapi bila bersalin doktor lelaki yang menyambutnya.

Malah sepatutnya perjuangkan wanita yang dieksploitasi selama ini. Wanita sekarang bebas sangat dari segi pakaian dan tingkah lakunya. Sedangkan Islam mengangkat martabat wanitanya dengan menyuruh pakai elok-elok, cantik-cantik.

Ustaz juga menyarankan, ibu-ibu kena tanamkan dalam diri anak-anak duduk di rumah lebih baik dari duduk di luar. Tengok mak-mak kita zaman dahulu, waktu petang siap ada kuih. Jajan pun siap tersedia kerepek-kerepek tak payah nak beli kat luar. Sampai anak-anak tak payah cari apa-apa lagi di luar. Anak-anak yang banyak rosak sekarang ni sebab duduk di luar lagi seronok dari duduk di rumah. Kawan-kawan di luar lebih menghiburkan dari ibu bapa dan adik-beradik di rumah.

Kesimpulannya, fikir balik apa yang kita hendak dalam hidup untuk kebahagiaan. Betul atau tidak apa yang kita perjuangkan selama ini dan adakah selaras dengan Islam?

Thursday, March 31, 2011

Putu Piring

Hari tu tengok putu ni kat sini, dah saya ada kat KK ni so, anytime boleh beli. Putu ni diperbuat dari tepung beras dan tepung pulut dan dalamnya ada kelapa. Mak cik saya pernah jual putu ni kat KL tapi tak laku. Orang KL tak pandai makan sebab derang suka yang gula/manis je.

Putu ni lembut je rasanya, tapi ni dah tereksiden dalam perjalanan pecah jadinya.

Kat lembah, tapak Pasar Tani/Pasar Minggu


Kak Rodziah ni dah 10 tahun meniaga. Putu ni guna tepung yang dikisar sendiri. Sesetengah orang guna tepung yang dah siap jual so hasilnya tak elok. Putu akan jadi keras dan warnanya agak kekuningan. Kalau pakai tepung kisar sendiri nampak putih bersih. Payah nak buat adunan ni, anaknya sendiri pun tak dapat kuasai lagi. (tetiba saya jadi peramah soal jawab akak ni hehe)

Yang depan tu intinya, kelapa.


Kukus

Sekejap je dah masak..dalam 10 minit kot.

Orang kuale yang duduk kat KL tu kalau rasa teringin nak makan boleh cari kat pasar malam Kajang atau Batu Caves, tapi bukan buat kat situ, dia jual je. So tak merasalah panas-panas. Pelanggan akak ni yang bagitau.

Sekian. Terima kasih :)

Wednesday, March 30, 2011

Bunga Coklat

Satu-satu kerja tu kadang-kadang tak boleh buat seorang. Ada idea dan barang, tapi tak cukup kreatif nak mengimplementasikannya. So kenalah cari orang lain yang memang pakar. Saya nak buat bunga pahar, tapi ni yang tak payah taruh telur, guna coklat je. Nasib baik kawan sekolah yang juga jiran pandai bab-bab hantaran ni. Ajak dia kerjasama tapi dia ni takut tak boleh komitmen pulak tapi dia ajar macam mana nak buat secara percuma dan kalau nak buat banyak dia tolong je nanti. Siap bagi tip lagi. Thanks Zamila. Itulah gunanya kawan, kan! ke mempergunakan kawan?? erk!! :)


p/s: Carilah 1000 sahabat, kerana 1000 sahaja itu berjumlah banyak. Jauhilah seorang musuh, kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak

Monday, March 28, 2011

Oh Kome Deghoyan Dah Berbunga

Tahniah kepada Mr Os yang telah mempopularkan bahasa Perak.

Oh kome(kamu semua), deghoyan (durian) dah berbunge (bunga)
Moh(jom) kite minang anok(anak) dare(dara)
Anok dare, anok dare kote(kota)
Teman jumpe di Padang Tenggale

Kate deme(mereka), sakit jatuh cinte (cinta)
Sakit lagi bile(bila) jatuh tangge(tangga)
Kate deme, cinte itu bute(buta)
Nasib baik teman tak merabe-rabe(meraba-raba)

Bile(bila) musim deghoyan
Deme mule(mula) eksen(berlagak)
Jangan silap sikit
Nanti deme tengking

Kalau musim deghoyan
Ramey(ramai) berani nampor(tampar)
Ape deme nak heran(hairan)
Saman boleh bayor(bayar)

Oh kome, deghoyan udah luroh(gugur kerana dah masak)
Lebih baik cepat pegi suloh(suluh)
Lambat sikit kome dapat habuk.
Kalau tidor jawabnye tinggey(tinggal) pokok

Duit deghoyan, yang tue(tua) nak ke Mekoh(Mekah)
Yang mude gatey(gatal) nak menikoh(menikah)
Musim deghoyan banyok (banyak) sedare mare(saudara-mara)
Bila nebas (potong pokok-pokok kecil), seko(seekor/seorang) tak nampak muke(muka)


Orang kata kalau nak lancar bahasa Perak kena makan tempoyak banyak. Saya tak makan tempoyak tu pasallah tak pior sangat Peraknya hehehe konon. Ya betul, tak makan tempoyak mentah, cuma makan yang dah masak jadi lauk macam tempoyak daun kayu. My favourite nasi deghoyan..yang lama lama sangat tak makan. So tunggu je "Oh kome deghoyan udah luroh."

Bila angin kuat atau hujan lebat, banyaklah bunga-bunganya yang gugur.

Bunga bertebaran.

Putik ni akan jadi buah


Pokoknya tinggi.

Sunday, March 27, 2011

Drama TV1

Tiba-tiba petang tadi terbuka TV1 sementara mengisi masa senggang. Menarik juga telefilemnya, Dia Yang Kucinta terbitan Eurofine. Cerita tentang Alex (Jason Chong) yang terlanggar seorang Melayu (arwah Faizal Yusop) dan hanya sempat dengar dia mengucap. Alex ni terasa bersalah teramat sangat tetapi isteri dan anak arwah tidak pernah menyalahkannya kerana menganggap sebagai takdir. Selepas itu Alex mendapat bayangan tentang Islam ni dalam mimpi.

Ada satu bahagian yang menarik bila Alex ni bersoal jawab dengan Khir (Norman Hakim). Alex seorang free thinker dan mempercayai teori Darwin di mana dari satu benda menjadi benda yang lain seperti asal manusia dari kera. Khir membalas dengan mengatakan cantik kereta yang dipandu Alex dan mengatakan jika mengikut teori Darwin kereta ni asalnya dari kereta lembu dan kemudian menjadi kereta kuda dan barulah menjadi kereta yang cantik ni. "Logiklah sikit, takkanlah kereta ni dari kereta lembu, mesti ada yang membuatnya,"jawab Alex. Balas Khir,"Logiklah sikit, takkanlah manusia dari kera, kalaulah ada pun, tentu ada kuasa yang mengubahnya." "Kuasa siapa?" tanya Alex. Mudah sahaja jawapan Khir, "Allah!"

Ilmu Tauhid ni memang susah nak diterangkan pada seseorang yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan. Saya pun pernah ditanya soalan dari seorang bukan Islam yang tanya kenapa ada orang Islam yang solat ada tak solat, Allah tu kat mana tak nampak pun. Kalau kita pun tak cukup ilmu, susah juga nak membalasnya bagi diaorang faham.

Sebenarnya RTM ni bagus juga cerita-ceritanya, tapi promosinya kurang. Macam TV3 kita dah tahu ada Cerekarama yang biasanya ceritanya best. Seperti juga Selamat Pagi Malaysia dan Malaysia Hari Ini, sudah pasti MHI lebih menarik perhatian walaupun SPM ada isi yang bagus. So lain kali kenalah bagi peluang kat RTM tengok 10 minit dulu, kalau tak best baru tukar chanel lain.