Tuesday, February 11, 2014

Taman Negara Johor, Tanjung Piai

Dari Kota Tinggi, kami ke Tanjung Piai. Kalau tengok peta, memang jauh merentasi dari timur ke barat. Tarikan di Tanjung Piai, ia merupakan penghujung selatan tanah besar Asia. Cer tengok peta, baru faham. Saya tahu fasal Tanjung Piai ni masa Radio Muzik (kini Nasional FM) yang ada buat road show masa tu. Jadi bila dah jalan-jalan ke Johor ni, google apa yang ada di sana. 

Solat dan makan tengah hari di Masjid Gelang Patah. Alhamdulillah



Ada sedikit kelakar masa nak pergi ni, masa dekat JB, kawan yang tengok peta ni kata, boleh ikut sign board Pontian, “oh kalau ikut Gelang Patah lagi dekat,” kata dia lagi. Ikut je signboard, mula-mula nampak juga dah arah yang dituju betul tapi bila sampai Gelang Patah udah hilang sign boardnya. Berhenti solat di Masjid Gelang Patah. Sambil tu tanya dekat orang tempatan. “Oh ni jalan mati dah, ini ke Tanjung Pelepas.” Nasib baiklah jalan patah balik tu dekat juga hahaha salah baca peta. Merasa juga tengok  kawasan ‘kerusi panas’ PRU 13. Ahli Parlimen yang menang tu mesti tak lawat ke masjid ni, jadi biar kami tolong melawat kawasan. Aha!  Makan tengah hari di gerai luar masjid tu.  Nak dijadikan sejarah, gerai tu baru dirasmikan hari tu. Kiranya kami pelanggan pertama. Semoga berkembang maju berkat kedatangan orang-orang Perak.


Yeah lega dah nampak papan tanda. Nak sampai dah.
Ikut sign board Pontian Kecil, Pontian Besar, Kampung Nanas, mak ai jauh perjalanannya. Maklumlah matlamat ikut jalan kampung. Tapi tersalah lagi, berhenti di Tanjung Piai resort, nasib baik sebelum ni google apa yang ada di tempat tu. So memang rasa lain macam je. Rupanya jauh ke dalam lagi. Dan yeah kami sampai juga walaupun dekat pukul 5. Memandangkan perlu mencari tempat bermalam sebelum malam menjelang jadi berkejar-kejaran jugak la nak melawat.  Bayaran masuk RM5 seorang.
 

Resort. Menarik juga pemandangan di sini. Sesuai buat photo shoot.
Nampak tu, hujung peta Benua Asia. Kalau atasnya di Rusia, ujungnya di Tanjung Piai, Malaysia. Bleh click untuk besarkan.


Tanjung Piai mendapat namanya daripada pokok piai yang tumbuh subur di merata tempat di kawasan ini. Pokok piai merupakan satu-satunya spesies paku-pakis yang tahan air masin. Pokok ini mudah dijumpai tumbuh di atas busut ketam rama-rama, di mana kedudukannya lebih tinggi di paras tanah lumpur. Burung pucung dikatakan pernah menjadikan rumpun pokok piai sebagai sarang untuk bertelur. Pucuk piai yang muda boleh dijadikan sayur seperti pucuk paku. Sementara batang pelepah yang tua boleh dipintal menjadi tali yang kuat. Oleh sebab pokok piai tak boleh dipisahkan dengan Tanjung Piai maka ia telah dipilih menjadi simbol pada tugu di hadapan pintu masuk Taman Negara Tanjung Piai. (Sumber: Info dari Tanjung Piai)

Tugu sebelum pintu masuk
Jauh lagi ya perjalanannya, 653m baru sampai. Meniti merentasi  paya bakau. Semput.
Baru lepas hujan. Pelantar licin. Bila difikir2kan balik, ada hikmah tersesat di Gelang Patah, jadi sampai lambat. Kalau sampai awal tadi, mesti terperangkap dalam hujan. Tak boleh berjalan juga.
Semua orang berebut nak bergambar di globe ni untuk menandakan sudah sampai. Sila ikut turn.

Sebenarnya dekat sini kita boleh belajar fasal pokok bakau. Tapi memang tak sempat nak membaca-baca. Tangkap gambar sajalah.

Fungsi pokok bakau:

Pokok bakau yang hidup sepanjang pesisir pantai berlumpur mempunyai fungsi yang amat penting sebagai benteng penahan daripada tiupan angin kencang dari sampai terus ke daratan. Angin kencang tersebut akan melanggar pokok-pokok bakau sebelum sampai ke daratan menyebabkan tiupannya menjadi perlahan. Apabila anda berjalan di dalam kawasan bakau, ada kalanya anda langsung tidak merasa tiupan angin. Ini menyebabkan anda terasa panas atau rimas. Sebenarnya pokok bakau yang tumbuh agak padat menjadi benteng yang menghalang angin dari sampai kepada anda.
 

Akar pokok bakau yang tertinggi di Tanjung Piai.

Pokok bakau juga berfungsi sebagai perangkap sampah semula jadi. Apabila air laut pasang, berbagai-bagai jenis sampai sarap seperti plastik, botol dan kayu akan dihanyutkan oleh air laut ke dalam hutan bakau. Pokok-pokok bakau yang padat serta sistem akarnya yang berbagai-bagai bentuk akan bertindak memerangkap sampah tersebut apabila air surut. Setiap kali air laut pasang, proses ini akan berulang. Sebab itulah kita dapat melihat pelbagai jenis sampah sarap apabila berjalan di dalam hutan bakau. Walaupun dikutip selalu, sampah tersebut tidak pernah habis. Selagi ada kejadian pasang surut air laut, selagi itulah sampah sarap itu sentiasa ada dalam hutan bakau.  (Info dari Tanjung Piai)

Oh patutlah nampak banyak gak botol mineral, helmet pun ada masa pergi kat situ. Ingatkan tempat ini tak terjaga. Rupanya memang sampah akan sentiasa ada selagi adanya pasang surut air laut. Belajar sesuatu tentang pokok bakau walaupun ada kat situ lebih kurang setengah jam sahaja.
 

Di dalam perjalanan ditemani kata-kata motivasi.
Balik dari Tanjung Piai ke Kukup akan nampak kedai jual keropok di tepi jalan. Best ni Lekor Chips. Tagline dia tak henti mengunyah. Ya memang betul sepanjang perjalanan tak boleh henti. Sedap krup krap krup krap. Nyesal tak beli banyak.

Monday, February 10, 2014

Kota dan Makam Laksamana Bentan


 Ingat lagi filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang? Rasanya sepanjang hidup pernah tengok sekali je tayang kat TV masa sekolah menengah rendah, pelakonnya siapa pun tak ingat, Noordin Ahmad kot yang jadi Laksamana Bentan.  Kalau cerita P. Ramlee tu memang setiap tahun berulang-ulang kali tengok, idak ke stesen tv ni nak tayang cerita Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ni pulak boleh lah ingat-ingat sejarah sikit.


Makam Laksamana Bentan terletak di Kampung Kelantan. Papan tandanya jelas dilihat cuma bila nak sampai makam tu,  agak tersorok sedikit simpangnya. Jadi kena lihat dengan penuh perhatian di sebelah kiri jalan.

Dipercayai bahawa disinilah disemadikan Laksamana Megat Seri Rama yang dikenali sebagai Laksamana Bentan yang berasal dari Bentan, Sumatera yang merupakan panglima angkatan laut terbilang dan isterinya Dang Anum pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah II yang memerintah jajahan takluk Johor (1685-1699).
Al-Fatihah. Ada dua makam di sini.
Mengikut cerita legenda, Laksamana Bentan yang berani telah ditugaskan untuk menghentikan pemberontakan yang berlaku di daerah Haru dan Jambi. Walaupun beliau merupakan seorang pembesar yang setia tetapi beliau bimbang meninggalkan isteri, Dang Anum  yang sedang mengandung,  seorang diri. Baginda Sultan faham dilema Laksamana Bentan lalu berjanji untuk menjaga Dang Anum sepanjang ketiadaan Laksamana Bentan mempertahankan negeri daripada serangan musuh.



Pada suatu hari, seorang lelaki datang ke istana dengan membawa sebiji nangka yang besar hasil pertama dari kebunnya. Ditakdirkan, ketika itu baginda Sultan keluar melawat kawasan. Dang Anum yang mengandung telah terlihat nangka tersebut lalu  mengidam untuk makan nangka tersebut. Lelaki tersebut menyatakan hasil tersebut untuk dipersembahkan kepada raja. Keinginan Dang Anum tidak dapat lagi ditahan dan menyatakan seulas sahaja sudah cukup. Apabila baginda Sultan kembali ke istana dan melihat nangka tersebut yang telah dimakan (walaupun sedikit), baginda sangat marah pada  Dang Anum yang  telah menderhaka kerana makan nangka kepunyaan raja.

Dang Anum meminta maaf kepada Sultan dan cuba menjelaskan bahawa bukan dia yang ingin makan nangka tersebut tetapi anak di dalam kandungannya. Akhirnya, Tun Bija Ali, pembesar di istana yang mendengar kisah tersebut mula mempengaruhi Sultan untuk membelah perut Dang Anum untuk memastikan adakah betul anak dalam kandungan itu yang ingin makan nangka tersebut. Tindakan jahat Tun Bija Ali ini berikutan dendam kerana tidak berjaya mengahwini Dang Anum sebelum ini.

Apabila Laksamana Bentan mendengar berita ini, perasaan marah dan dendam mula dirasai. Beliau kembali ke Kota Tinggi dan membuat kacau di istana. Akhirnya Laksamana Bentan telah menikam Sultan Mahmud yang dalam perjalanan menuju ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat. Ketika itu baginda sedang dijulang di atas usungan. Namun demikian Sultan sempat menikam balas Laksamana Bentan dan bersumpah, “Orang-orang Bentan akan muntah darah jika berkunjung ke bumi Kota Tinggi, selama tujuh keturunan”. Peristiwa ini terkenal dengan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.  Kemangkatan Sultan Mahmud Shah tanpa meninggalkan zuriat  telah menamatkan keturunan Sultan Melaka di negeri Johor.

Dipercayai, kawasan ini juga merupakan kota pertahanan pada zaman kesultanan Melayu silam. Kedudukannya di atas tebing tinggi Sungai Johor ini sangat sesuai digunakan sebagai tempat beristirahat meninjau kedatangan musuh.

Sunday, February 9, 2014

Makam Tun Habab, Kota Tinggi, Johor


 
Nama sebenar baginda ialah Bendahara Tun Abdul Majid Tun Habab (Habib) Padang Saujana Johor. Beliau menjadi bendahara semasa zaman Sultan Ibrahim Shah I dan jawatannya diteruskan semasa pemerintahan Sultan Mahmud Syah II. Baginda ditabalkan menjadi Sultan Johor ke-11 selepas kemangkatan Sultan Mahmud Syah II yang tidak meninggalkan waris. Baginda menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV. Baginda telah memindahkan pusat pemerintahan Johor dari Kota Makam Tauhid ke Kota Panchor pada 1700.

Keturunan Bendahara Tun Habab Abd Majid ini telah memperluaskan lagi kuasa Empayar Kesultanan Johor. Anakanda baginda, Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu yang pertama. Keturunannya berterusan sehinggalah ke hari ini. Tunku Tengah, Puteri Sultan Abdul Jalil Shah IV berkahwin dengan Daeng Perani, putera salah seorang daripada anak raja Bugis lima bersaudara yang masyhur keturunannya menjadi Sultan Johor sekarang. Tun Abas, putera Sultan Abdul Jalil Shah IV menjadi Bendahara Seri Maharaja Pahang. Keturunannya menjadi Sultan Pahang hingga ke hari ini. Oleh itu, salasilah keturunan raja-raja dan Sultan yang memerintah Johor, Pahang dan Terengganu sekarang ini adalah berasal daripada Sultan Abdul Jalil IV (Bendahara Tun Abd Majid Tun Habab Seri Maharaja Padang Saujana).

Berdekatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ada dua makam bersejarah yang patut dilawati tapi kami jumpa yang ini saja. Dah ikut papan tanda tapi tiba-tiba hilang begitu saja arah jalannya.


Al-Fatihah

Friday, February 7, 2014

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang



Lepas ke Kota Johor Lama, kami menuju ke Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang yang terletak dekat bandar Kota Tinggi. Dalam perjalanan, kami terjumpa Muzium Kota Tinggi. Sekali nak masuk, rupanya renovate ( Dis 2013). Membuat kesimpulan sendiri, agaknya muzium kerajaan negeri semuanya tutup untuk dibaik pulih kot sempena Tahun Melawat Malaysia. Cuma muzium yang diuruskan oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti sahaja boleh dilawat.




Makam Sultan Mahmud terletak di sini

Petunjuk kedudukan makam. Makam Sultan Mahmud terletak di tengah-tengah dan besar berbanding yang lain.


Senang juga nak cari Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang ni, sebab papan tanda jelas di sepanjang perjalanan. Terletak di Kampung Makam, lebih kurang 3km dari bandar Kota Tinggi. Baginda Sultan Mahmud diputerakan pada tahun 1675 dan mangkat dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamanan Bentan) pada hari Jumaat, Ogos 1699. Baginda merupakan keturunan terakhir Raja Fatimah cucu kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II iaitu raja pertama yang membuka Johor Lama pada tahun 1530.

Maka berakhirlah pemerintahan kerabat Kesultanan Melaka dan digantikan dengan keturunan Bendahara.


 Masa melawat Muzium Kota Johor Lama, ada ditayangkan dokumentari  fasal makam ni dan diberitahu ada juga Makam Kucing Bertanduk. Masing-masing peringat, “kena pergi ni, special pula ada kucing bertanduk. Jangan lupa!” Sekali bila dah sampai dekat situ, hemm tiga-tiga orang pun tak ingat. Dah balik dari Kota Tinggi baru teringat, aik bukan ke kita nak melawat makam kucing bertanduk? wawawa  rugi

Gambar dari laman web kota tinggi
Ni sumber dari laman web kota tinggi:

Makam Kucing Bertanduk.

Pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud Shah II, baginda ada memelihara seekor kucing. Kucing ini amat disayangi oleh baginda. Ia merupakan seekor kucing biasa tetapi dikatakan mempunyai sepasang tanduk kecil pada bahagian atas kepala.

Ada sumber mengatakan kucing ini dinamakan baginda ‘Si Comel.’ Kucing in suka berjalan meniti dari bumbung ke bumbung rumah dan gemar memakan sayur-sayuran.

Keistimewaan yang cukup dikagumi ialah mampu mengesan musuh-musuh yang bakal datang menyerang Kota Tinggi.

Kucing istimewa ini telah mati secara tiba-tiba seminggu sebelum baginda mangkat. Baginda amat dukacita lalu menitahkan 'mengebumikan'. Dua biji batu berbentuk bulat diletakkan di atas kubur sebagai batu tanda.