Monday, July 8, 2013

Bengkel Keusahawanan IMP 18 Jun-19 Jun 2013.



Bertempat di Taman IKS Miel, KK (jalan ke Lenggong)tapi datang sebenarnya  sebab kenal penulis buku ni, 

 Tak pernah pun sampai ke sini sebelum ni dan 1st time tau fasal IMP ni.
Tuan Haji Mohamad Nordin


Tujuan utama IMP (Islamic Manufacturing Practice) untuk memastikan pengguna Islam dapat menggunakan produk yang diperintahkan Allah Taala atas kita memakannya iaitu Halalan Thoyyiba iaitu Yang halal lagi baik.

Dengan adanya logo IMP tercatat pada barangan tersebut kita dapat pastikan cara pembuatan yang ‘baik’ tapi ada juga pengusaha-pengusaha yang menyalahgunakan  logo ini untuk menarik orang Islam yang lain membelinya. Kebiasaan standard kilang IMP tidak ada muzik, ada nur bacaan Al-Quran, susunan dalam kilang mengikut syariat, ada kuliah kefahaman agama pada keseluruhan pengurusan dan pekerja 3 kali seminggu, sumber bahan mentah yang halal, peralatan dan bahan mentah mestilah dibersihkan mengikut piawaian syariah. Contohnya: bersih lagi suci iaitu menggunakan air mutlak.

IMP bukan sahaja memenuhi kehendak Islam malah juga mematuhi peraturan-peraturan dan piawaian lain yang ditetapkan seperti, GMP, HACCP, ISO dan HALAL. – sumber  Buku Panduan IMP
Baru tahu apa itu GMP. Banyak duit yang diperlukan rupanya untuk dapatkan status GMP ni


Tuan Haji Ahmad Tajuddin - Pengasas dan Pengerusi Sekretariat Komuniti IMP
 Hari pertama kursus saya datang awal sebab tak tahu tempat, jadi terus diajak menyertai perhimpunan pagi. Pekerja-pekerjanya mengalunkan asma al husna, sifat 20, doa dan selepas selesai  semua pekerja saling berjabat tangan.  Menarik.  Ketika waktu asar, laungan azan turut kedengaran  di ruang dewan kursus melalui speaker yang ada di situ. Automatik penceramah memberhentikan ceramah bagi menghormati azan  sebelum menyambung semula. Bagus, suasana islamik di ruang kerja yang membolehkan kita mencari pahala yang banyak. Pekerja lelakinya berjemaah di surau.


Di sini perhimpunan pagi diadakan.



Saya seorang sahaja dari KK, yang lain dari KL, Taiping dan Ipoh. Mengagumkan sanggup datang sini dari jauh.


Antara barangan yang mendapat status IMP dan dijual di Halal-Souq ni.

Ayuh membeli-belah.
 
Chef Li


Chef Li merupakan penulis buku Menjejaki Jutawan Senyap dan Petunjuk Jalan Kekayaan. Berpengalaman sebagai Pengurus Bank dan Peniaga Pasar Malam sebelum mengasaskan Institut Kulinari Anjung Utara. Berceramah tanpa menggunakan skrip di tangan, banyak menceritakan pengalaman pahitnya gagal dalam bidang perniagaan dan bagaimana dia bangkit semula.  Kelakar dan memang tak mengantuk mendengarnya walaupun 2 jam setengah. Antara isi menarik yang diutarakan setelah mendapat tips dari client dan juga kawannya berbangsa Cina,  hidup mesti membaca, mesti mengira. Jika lihat landskap ekonomi orang Cina yang lebih banyak menceburi bidang perniagaan, mereka dari awal lagi dah KIRA kalau kerja makan gaji tak boleh kaya. 

Kalau kita pergi ke pasar tani atau pasar minggu tu mesti tengok dia angkut sekali anak-anaknya  yang kecil-kecil tolong berniaga. Walaupun budak tu mengantuk duduk di situ. Kita yang tengok ni kesian tengok tapi sebenarnya itu cara didikannya. Ada sesetengah tu memang bawa homework sekali. Sambil tolong sambil belajar. 

Dari segi simpan duit, Chef Li turut diberitahu oleh kawannya yang Cina ni, kita simpan duit jangan tengok tiap-tiap hari. Simpan , lupa, simpan, lupa. Ini kalau asyik tengok jumlahnya aje, bila dah banyak mulalah nak keluar.  Simpan duit ikut matlamat bila nak kaya. Oleh itu mesti ada hitungan.

Macam-macam lagi ceritanya, kisah tauge. Pengguna terbesar tauge orang Melayu, kalau kenduri kahwin tu buat pecal, rojak mesti guna tauge, kan? Tapi siapa yang reti tanam tauge? “Tauge datang dari mana?” “ Kacang hijau,” kata saya mengikut eksperimen di sekolah masa dulu. Tetiba pula kuat bercakap rupanya salah. Hahaha. Dari kacang hitam sebenarnya. Hmmm baru kutahu. Tauhu pun sama. Tau tak cara penghasilannya dan siapa yang lebih banyak menghasilkannya?

Satu pencerahan minda apabila datang ke Sidratul Enterprise ni.



MPH Online

Antara kedai buku yang sering dikunjungi kalau pergi pasar raya, MPH, Popular, Borders dan Times. Tapi bila dah balik kampung takdelah jumpa kedai-kedai buku ni, so bertukar kepada online. Haritu pernah nak beli buku berharga RM40 tapi kos penghantarannya lebih kurang sama aje dengan harga buku tu. Kalau lebih RM100 baru penghantaran percuma. Terbantut nak beli. 

Baru-baru ni dapat sms dari MPH, free delivery,  jadi ambil kesempatan lagipun buku yang dijual lebih murah daripada harga kat kedai.

mencari buku ANEKDOT MADINAH, masa pesta buku, buku tu laris bagai goreng pisang panas, habis aje. Walaupun lambat beli, takpelah murah sikit ni beli mph online. Kena daftar dulu bagi orang yang belum mendaftar. Lepas tu cari buku yang nak  dan isi butir-butir diri. Boleh bayar guna akaun CIMB, Maybank2u  atau kredit kad. Lepas dah buat pembayaran terus dapat pengesahan di e-mel buku yang kita beli. 


Ada masa lagi sampai 14 julai

Kita tunggu sampai di pintu rumah.

Thursday, July 4, 2013

Nama Kucing

Kelmarin pergi klinik veterinar. Kalau pergi klinik ni, mesti pengunjungnya orang yang peramah.  “Sakit apa?” “ Eh comelnya.” “Cantiknya warna.” Takdelah macam pergi klinik biasa tu kita buat hal sendiri. Maklumlah, sakit kan! Takde mood nak layan.  
 

Dah orang beramah mesra, kita pun kenalah berbasa-basi gak. Ada seekor kucing tu namanya Cibi .... entah apa nama hujungnya. Punya lah panjang. Bukan saja nama budak-budak sekarang complicated, nama kucing pun dah complicated gak sekarang.  Rupanya nama watak kartun. Mesti dia selalu tengok animax kot.

Masa dulu-dulu, nama kucing diberi mengikut keadaan fizikal, warna dan jantinanya. Misalnya, Atan untuk kucing jantan, Belang  dan Tompok.  Kucing kat rumah ni pun tak kurang hebat nama-namanya dan mengikut zaman. Green Eyes, sebab matanya warna hijau – canggih tu mak bagi nama omputih. Bila ada dua beradik nama yang diberi Pok Pok dan Tutu sempena nama rancangan radio. Mak beri sebab selalu dengar rancangan tu. Pok-pok tu asalnya dari Burung Jampuk dan Tutu tu asalnya dari Burung Hantu. Rancangan ni siar pukul 12 tengah malam. Tapi nama Tutu tu sekejap saja sebab bunyinya tak sedap jadi tukar nama lain.

Saya pernah beri nama PUTRA sempena PUTRA LRT baru beroperasi . Elok pulak kucing tu jantan, orang ingat putera. Masa Meteor Garden jadi fenomena, pernah ada kucing yang nama Ah Si dan Ah Lei. Elok pulak yang Ah Si tu memang garang sikit sama watak dalam tv hehe. Kucing saya pernah nama Simba sempena cerita Lion King. Padahal kucingnya hitam legam.  Dari fizikal pula, pernah ada Kentoi sebab ekornya kontot dan Kait sebab hujung ekornya macam kait.

Masa pertama kali pergi bawa kucing ke veterinar, sekali masa nak daftar tu dia tanya nama. Spontan menjawab, “ Nama saya ke nama kucing?” Confuse sekejap.  Orang tu dah gelak dah. Hahaha. Macamlah dia nak tahu sangat nama kucing tu.

Teringat pula dalam rancangan soal jawab agama dengan Mufti Perak Dato Harussani. Ada pemanggil yang bertanya, “Kucing saya nama Abu, adakah saya perlu bayar zakat fitrah untuk dia?”
Dato bertanya pula, “Abu tu, sembahyang tak?”
Hehehe  
 

Konon comel la tuh duduk dalam bakul. Nama Kuntum, sempena nama kucing mak dulu-dulu. Sesuai la nama lembut-lembut ni untuk kucing betina. Nama timangan Tum Tum tapi sejak Kak Ton yang comel tu selalu sangat keluar TV, kadang-kadang saya panggil dia Kak  Tom.

Cappuchino sebab warna macam cappuchino. Dua beradik. Yang seekor lagi Mocha. Nama manja Chino. Sayangnya hilang.

Ni kucing makcik, nama dia Boboi. Mata dia sebelah rosak sebab masa kecil sakit mata. Tapi membesar dengan sihatnya dan sangat manja. Mula-mula saya bagi cadangan nama kan ceme. Tapi mak cik kata, kesian dia mentang-mentang la matanya ceme.


Bulunya lain sikit, bersulo-sulo (erk faham ke mengkome?). Namanya Tiger. Hehehe harimau tapi kucing ke kucing tapi harimau. Yang sebelah tu namanya Kolen. Dari kata dasar oren la tu.