Sumber: Majalah Perempuan Jun 2001, Ruangan Sekacip Pinang oleh Jadam Mustajab
Siapa yang tidak pernah menempuh alam kanak-kanak. Penuh dengan keseronokan, gelak tawa, tidak tahu erti susah, leka dengan alam fantasi, segalanya serba dipermudahkan, makan tersedia, baju dibasuh, duit belanja diberi, segalanya serba cukup dan lengkap. Zaman kanak-kanak bagaikan alam fantasi tanpa kemelut dunia realiti yang memusingkan kepala. Malah hak kanak-kanak untuk mengecapi semua kenikmatan ini tidak pernah dinafikan.
Namun pernahkan anda terfikir seandainya seandainya sifat-sifat ini terus-menerus dipratikkan dalam usia melangkaui zaman remaja. Atau istilah lebih tepat, orang dewasa yang bersikap kebudak-budakkan, baik secara zahir mahupun pemikirannya. Apakah yang akan terjadi?
Kita sebenarnya sering melihat 'kanak-kanak dewasa' ini di persekitaran rumah. Lihatlah:
- berapa jam mereka menghabiskan masa menonton TV setiap hari?
- berapa jam mereka sekadar duduk berehat, berkhayal dan melakukan hobi yang langsung tidak bermanfaat (memancing, duduk kedai kopi)
- berapa lama si dia menghabiskan masa bersama rakan-rakan berbanding anak-anak dan keluarga di rumah?
- masih bergantung pada isteri untuk menguruskan baju, makan minum hinggalah ke seluar dalam.
- cuma tahu menyepah dan menyemakkan rumah tanpa ambil tahu mengemasnya kembali
Jika diamati, sikap sebegini sememangnya adalah kesinambungan dari perangai di zaman kanak-kanak. Orang yang tergolong kanak-kanak dewasa ini tidak pernah memikirkan perubahan jauh sekali untuk berubah. Bagi mereka segalanya serba mudah dan perlu dipermudahkan (oleh orang lain). Kalau adapun perubahan drastik hanya berkisar pada bentuk tubuh badan yang kian membuncit (akibat malas bersenam) dan usia yang makin lanjut. Itu sahaja yang nampak ketara.
Manakala di pejabat pula, kanak-kanak dewasa ini lebih mudah menonjol dan dikenal pasti. Ini kerana masih terdapat tandas yang hancing atau najis yang tidak dipam selepas dilepaskan. Padahal ini tanggungjawab sosial yang rata-rata sedia maklum akan 'tugas' seterusnya untuk memastikan bahan buangan, kebersihan hinggalah kepada bau dilupuskan tanpa meninggalkan sebarang bukti.
Ketidakpekaan terhadap kebersihan tandas samalah seperti kanak-kanak yang sering memancut merata-rata tanpa memikirkan sama ada ianya najis atau perbuatan yang menjijikkan.
Ini belum mengambil kira soal kebersihan pejabat yang tampak dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada tukang sapu. Sampah dibuang sesuka hati, puntung rokok diselit merata-rata cawan dan pinggan makan ditinggal sahaja di atasa meja atau singki tanpa dipeduli. Adakalanya meja dibiarkan berselerak. Ini belum mengambil kira kerja yang sering bertangguh-tangguh (kebiasaan sewaktu sekolah), bergayut di telefon pejabat, mudah melenting atau merajuk bila ditegur kesilapan serta pelbagai kerenah yang memeningkan kepala.
Dalam suasana bekerja atau mesyuarat, kadangkala kanak-kanak dewasa ini lebih gemar mengkritik, mencemuh dan mengejek. Kerap mentertawakan kesilapan atau kekurangan rakan sepejabat. Mereka ini tidak melihat jauh ke hadapan akan nasib diri dan generasinya. Mereka tidak dapat mencipta visi sendiri dan tidak mempunyai daya fikir yang kritis, dinamis dan inovatif.
Dalam situasi biasa, mereka ini gemar meloncat-loncat, aktif tak bertempat, bercakap ikut sedap mulut dan cepat buruk sangka. Semua ini merupakan sifat kanak-kanak yang diwarisi sejak kecil. Seperti kanak-kanak sekolah yang menanti loceng berbunyi, tepat pukul lima, berpusu-pusu berlari ke mesin punch card. Semuanya ingin pulang awal biarpun ada tugasan yang perlu segera disiapkan. Inipun merupakan sebahagian tabiat budak-budak pada dasarnya.
Andai kanak-kanak dewasa bertambah bilangannya, bayangkan tentang perancangan dan struktur pembinaan organisasi yang seumpama nurseri atau tadika asuhan. Penuh menempatkan mereka yang hidupnya semata-mata untuk berseronok.
No comments:
Post a Comment