Tuesday, February 11, 2014

Taman Negara Johor, Tanjung Piai

Dari Kota Tinggi, kami ke Tanjung Piai. Kalau tengok peta, memang jauh merentasi dari timur ke barat. Tarikan di Tanjung Piai, ia merupakan penghujung selatan tanah besar Asia. Cer tengok peta, baru faham. Saya tahu fasal Tanjung Piai ni masa Radio Muzik (kini Nasional FM) yang ada buat road show masa tu. Jadi bila dah jalan-jalan ke Johor ni, google apa yang ada di sana. 

Solat dan makan tengah hari di Masjid Gelang Patah. Alhamdulillah



Ada sedikit kelakar masa nak pergi ni, masa dekat JB, kawan yang tengok peta ni kata, boleh ikut sign board Pontian, “oh kalau ikut Gelang Patah lagi dekat,” kata dia lagi. Ikut je signboard, mula-mula nampak juga dah arah yang dituju betul tapi bila sampai Gelang Patah udah hilang sign boardnya. Berhenti solat di Masjid Gelang Patah. Sambil tu tanya dekat orang tempatan. “Oh ni jalan mati dah, ini ke Tanjung Pelepas.” Nasib baiklah jalan patah balik tu dekat juga hahaha salah baca peta. Merasa juga tengok  kawasan ‘kerusi panas’ PRU 13. Ahli Parlimen yang menang tu mesti tak lawat ke masjid ni, jadi biar kami tolong melawat kawasan. Aha!  Makan tengah hari di gerai luar masjid tu.  Nak dijadikan sejarah, gerai tu baru dirasmikan hari tu. Kiranya kami pelanggan pertama. Semoga berkembang maju berkat kedatangan orang-orang Perak.


Yeah lega dah nampak papan tanda. Nak sampai dah.
Ikut sign board Pontian Kecil, Pontian Besar, Kampung Nanas, mak ai jauh perjalanannya. Maklumlah matlamat ikut jalan kampung. Tapi tersalah lagi, berhenti di Tanjung Piai resort, nasib baik sebelum ni google apa yang ada di tempat tu. So memang rasa lain macam je. Rupanya jauh ke dalam lagi. Dan yeah kami sampai juga walaupun dekat pukul 5. Memandangkan perlu mencari tempat bermalam sebelum malam menjelang jadi berkejar-kejaran jugak la nak melawat.  Bayaran masuk RM5 seorang.
 

Resort. Menarik juga pemandangan di sini. Sesuai buat photo shoot.
Nampak tu, hujung peta Benua Asia. Kalau atasnya di Rusia, ujungnya di Tanjung Piai, Malaysia. Bleh click untuk besarkan.


Tanjung Piai mendapat namanya daripada pokok piai yang tumbuh subur di merata tempat di kawasan ini. Pokok piai merupakan satu-satunya spesies paku-pakis yang tahan air masin. Pokok ini mudah dijumpai tumbuh di atas busut ketam rama-rama, di mana kedudukannya lebih tinggi di paras tanah lumpur. Burung pucung dikatakan pernah menjadikan rumpun pokok piai sebagai sarang untuk bertelur. Pucuk piai yang muda boleh dijadikan sayur seperti pucuk paku. Sementara batang pelepah yang tua boleh dipintal menjadi tali yang kuat. Oleh sebab pokok piai tak boleh dipisahkan dengan Tanjung Piai maka ia telah dipilih menjadi simbol pada tugu di hadapan pintu masuk Taman Negara Tanjung Piai. (Sumber: Info dari Tanjung Piai)

Tugu sebelum pintu masuk
Jauh lagi ya perjalanannya, 653m baru sampai. Meniti merentasi  paya bakau. Semput.
Baru lepas hujan. Pelantar licin. Bila difikir2kan balik, ada hikmah tersesat di Gelang Patah, jadi sampai lambat. Kalau sampai awal tadi, mesti terperangkap dalam hujan. Tak boleh berjalan juga.
Semua orang berebut nak bergambar di globe ni untuk menandakan sudah sampai. Sila ikut turn.

Sebenarnya dekat sini kita boleh belajar fasal pokok bakau. Tapi memang tak sempat nak membaca-baca. Tangkap gambar sajalah.

Fungsi pokok bakau:

Pokok bakau yang hidup sepanjang pesisir pantai berlumpur mempunyai fungsi yang amat penting sebagai benteng penahan daripada tiupan angin kencang dari sampai terus ke daratan. Angin kencang tersebut akan melanggar pokok-pokok bakau sebelum sampai ke daratan menyebabkan tiupannya menjadi perlahan. Apabila anda berjalan di dalam kawasan bakau, ada kalanya anda langsung tidak merasa tiupan angin. Ini menyebabkan anda terasa panas atau rimas. Sebenarnya pokok bakau yang tumbuh agak padat menjadi benteng yang menghalang angin dari sampai kepada anda.
 

Akar pokok bakau yang tertinggi di Tanjung Piai.

Pokok bakau juga berfungsi sebagai perangkap sampah semula jadi. Apabila air laut pasang, berbagai-bagai jenis sampai sarap seperti plastik, botol dan kayu akan dihanyutkan oleh air laut ke dalam hutan bakau. Pokok-pokok bakau yang padat serta sistem akarnya yang berbagai-bagai bentuk akan bertindak memerangkap sampah tersebut apabila air surut. Setiap kali air laut pasang, proses ini akan berulang. Sebab itulah kita dapat melihat pelbagai jenis sampah sarap apabila berjalan di dalam hutan bakau. Walaupun dikutip selalu, sampah tersebut tidak pernah habis. Selagi ada kejadian pasang surut air laut, selagi itulah sampah sarap itu sentiasa ada dalam hutan bakau.  (Info dari Tanjung Piai)

Oh patutlah nampak banyak gak botol mineral, helmet pun ada masa pergi kat situ. Ingatkan tempat ini tak terjaga. Rupanya memang sampah akan sentiasa ada selagi adanya pasang surut air laut. Belajar sesuatu tentang pokok bakau walaupun ada kat situ lebih kurang setengah jam sahaja.
 

Di dalam perjalanan ditemani kata-kata motivasi.
Balik dari Tanjung Piai ke Kukup akan nampak kedai jual keropok di tepi jalan. Best ni Lekor Chips. Tagline dia tak henti mengunyah. Ya memang betul sepanjang perjalanan tak boleh henti. Sedap krup krap krup krap. Nyesal tak beli banyak.

2 comments:

che dai said...

Hasil riki2 penulis blog kaki jalan seperti yang ni... akhirnya sampai jugak akak ke sini. Teruja dan best. Tq kerana menggudaku.

zarina said...

belasah je..haha..tapi memang seronok la bila sesat tu sebenarnya merasa juga kita melawat ke tempat lain