Sunday, February 21, 2021

Bagaimana menjaga tulisan di media sosial.

 

Kuliah Tadabur Hadith di Semat Quran Kuala Kangsar membincangkan dosa-dosa angkara lisan. Ada 24 muka surat sahaja pun tapi berbulan-bulan nak habis. Betapa banyaknya perkara yang dibincangkan walaupun ia sering dipandang remeh.  

Tambahan pula dengan adanya media sosial sekarang ni semua orang pun nak bercakap. Semua pun dia rasa dia yang betul. Yang komen pun laju sahaja menjawab seiring lajunya data internet. Kalau internet macam siput barulah agaknya sempat berfikir sesuai ke tidak menulis ni.

Saya teringat dalam satu group terbuka mengenai menghias rumah, ada seorang ni post status,

“Boleh bagi cadangan tempat gantung telekung atau kain pelekat solat? Sebab yang ada sekarang suami kata macam di asrama sekolah.”

Reply di komen, ada yang tunjuk almari dan rak serta beri link shopee. Dalam duk orang lain reply tu ada pula yang menulis komen;

“Ai beli rumah tahu, nak gantung telekung pun tak tahu?”

Da!!! Tak perlu komen langsung boleh tak? Saya seronok je tengok komen-komen lain yang letak contoh mereka hias surau di rumah.

Tak tahan baca komen tu apa lagi kalau diri sendiri yang dikomen. 

Biarkan sahaja, orang lain boleh menilai. Tapi saya sendiri pernah mengalami bila orang komen perkara yang tak berkaitan. 

Saya padam satu post dalam ni mengenai cara buat aduan dengan mudah secara online di Lembaga Air Perak (LAP). View banyak juga, 3000 lebih tapi ada yang komen marah-marah sebab tak ada air di rumahnya. Saya pun dah beberapa kali jawab di situ pergi terus ke website LAP sebab saya juga pengguna dan bukannya pekerja LAP. Tetap masih juga nak komen di situ. Adoi!

Cer kome Yop dan Yong baca bebeno dulu sebelum komen. Ini marahnya sampai nak mengadu ke SPRM sebab rasa ketidakadilan LAP. Dahlah tak berani letak nama sebenar, hanya anonymous. Sudahnya saya padam post tu. Aman. Tak perlu baca komen-komen yang tidak berkaitan.

Jadi, saya kongsikan sebahagian isi penting dari nota kuliah  Semat Quran bagaimana menjaga lisan dan tulisan untuk ingatan bersama:

1. Sentiasa mengingati segala perlakuan kita diperhatikan Allah dan ada malaikat yang mencatit setiap lafaz yang diucapkan.

2. Jauhi segala hal atau maklumat yang tidak berkaitan dan tidak memberi manfaat untuk diri sendiri.

3. Berhati-hati serta fikir berulang-ulang kali setiap kali ingin berbicara atau menulis sesuatu.

4. Sibukkan diri dengan hal-hal yang baik dan bermanfaat untuk diri sendiri terutamanya perihal akhirat dan elakkan daripada bercakap-cakap kosong.

5. Jika tidak mampu untuk elak daripada berkata buruk. Maka amalkanlah sikap berdiam diri.

6.  Banyakkan membaca al-Quran, taddabur dan berzikir kepada Allah.

7.  Banyakkan berdoa supaya dapat istiqamah dalam melakukan setiap perkara di atas.

8.  Istiqamah memelihara lisan dalam apa jua keadaan.

9. Apabila ditimpa sesuatu yang tidak disukai maka waspada dengan lidah, ingatlah setiap musibah itu menghapuskan dosa selama mana kita bersabar. Antara makna sabar ialah tidak berkeluh kesah.

 Terima kasih kepada Ustaz Hafidzal yang telah menyediakan nota.

 

Tuesday, February 16, 2021

Belajar Bahasa Arab Quran Percuma di FB Live.

Sejak PKP Mac tahun lepas, kelas Bahasa Arab fizikal tutup. Kelas orang-orang dah pencen, ramai yang berisiko. Kelas ditutup. Jadi kita study sendiri-sendiri sahaja.

Saya ikut telegram Ustaz Fazrul (MyQuran Time) dan ternampak iklan belajar bahasa Arab ni yang dianjurkan Akademi Sinergi Ikhlas.


Ramadan lebih kurang dua bulan sahaja lagi, jom kita tingkatkan pemahaman dalam mentaddabur al-Quran. Sebelum nak mentaddabur kenalah faham bahasa Quran terlebih dahulu.

Kelas selama 30 sesi. Dah selesai 6 sesi. Tapi sempat lagi nak kejar tu. Kalau sesiapa yang rasa tak mampu nak kejar boleh ambil yang berbayar sebab ada nota dan rakaman apps Zoom. Jadi boleh tengok banyak kali.

Kelas Arab Bahasa Quran Tahap 1 (Asas) secara percuma di FB live Akademi Sinergi Ikhlas. Kelas 3 kali seminggu. Setiap hari Jumaat 9.30 malam. Hari Sabtu dan Ahad 9.30 pagi. Kelas berlangsung 1 jam tapi biasanya terlajak hingga 15 hingga ke 20 minit.

Bagi sesiapa yang ambil kelas berbayar boleh bersama-sama Ustaz Faiz di Zoom dan boleh tanya soalan melalui chat atau secara terus masa tu.

Saya ni dah dua kalilah ambil bahasa Arab asas ni tapi sebelum ni campur dengan komunikasi. Dahlah jarang guna, memang setakat, “Khaifa haluka?” “Ana bi khair.” Haha itu je la yang yakin jawab.

Jadi untuk Bahasa Quran ni memang fokus pada untuk memahami Quran sahaja. Kamus untuk dirujuk pun al-Quran terjemahan. Penggunaan al-Quran per kata lebih baik sebab lebih senang terus tahu maksudnya. Untuk permulaan ni kita akan belajar mengenal kata nama (perkara, benda), kata kerja (perbuatan) dan kata tugas (partikel). Dan banyak latihan pengukuhan diberikan supaya dapat asas yang kuat mula-mula ni.

Boleh ikuti channel telegram Bahasa Arab Quran untuk maklumat lanjut.

Boleh juga ikuti channel telegram Nota Fazrul Ismail untuk mengetahui promosi program-program yang diadakan di Akademi Sinergi Ikhlas


Sunday, February 14, 2021

Scan Qr Code Tanpa Install Apps QR Code Scanner

    Kod QR atau Quick Response – tindak balas cepat merupakan satu ‘kotak’ yang menyimpan maklumat yang banyak. Cara nak ‘baca kotak’ ni kena ada QR Code Scanner. Jangan pula ditalakan scanner MySejahtera ke situ. Nanti keluar invalid MySejahtera code. Kecualilah memang nak scan untuk MySejahtera.

    Dulu-dulu memang saya ada install apps QR Code Scanner. Memandangkan jarang guna, dan storage phone pun kecil sahaja, saya uninstall. Guna pun hanya ketika pergi kursus dan menghadiri persidangan sebab terus dapat buku mesyuarat dan daftar kehadiran dari QR Code tu.

Kisahnya hujung tahun lepas semasa PKPB di Perak, saya pergi makan di Nandos, Aeon Klebang. Tak ada menu fizikal, dia suruh scan QR Code di meja untuk baca menu. Mak aii canggih sangat Ipoh pun.

 Ha sudah! Takkan nak install pulak, melambatkan keroje. Jadi, kawan pun ajar, buka apps Facebook. Tekan Search (ikon kanta) ada nampak imej QR Code tu. Ha tekan situ dan nanti boleh scan QR Code yang ada di meja. Memang terus keluar menu.



Yang kelakarnya, kawan yang ajar tu telefon dia pula yang tak boleh baca.  Akhirnya pelayan tu scan telefon dia dan tunjuk menu pada kawan saya tu. Saya memang perasan ada gambar QR Code di FB  sebelum ni tapi tak pernah gunakan. Memang senanglah sebab kebanyakan telefon mesti ada apps FB ni.


Saturday, October 10, 2020

Projek 76:9 Semat Quran Kuala Kangsar (SQ)

Projek 76:9 ini merupakan sedekah makanan dan minuman kepada kumpulan-kumpulan asnaf, anak yatim dan orang miskin setiap hari Jumaat.

Pemberian makan tengah hari akan dihantar terus ke rumah para asnaf yang telah dikenal pasti di sekitar Kuala Kangsar. Oleh itu, orang ramai yang ingin turut serta boleh mengambil peluang berinfaq dan memberi makan di penghulu segala hari.

Hasrat mereka (SQ), usaha ini dapat dilakukan secara berterusan supaya lebih ramai yang mendapat manfaat. Semoga ramai yang akan infaq secara konsisten pada setiap hari Jumaat selama 14 minggu bermula 25 Sept 2020 – 27 Disember 2020

Infaq boleh terus disalurkan kepada akaun berikut:

Maybank

SQ Food & Beverages

508092531638

Membuat persediaan


Minuman dan makanan tengah hari

Kita nak hantar nun di sana

Hasrat nak buat untuk 100 pek. Jika ada sumbangan banyak, bolehlah ditambah lagi.

Persediaan

Moh infaq!

Semat Quran ni ada restoran sendiri. Memang hasrat pengasas SQ ni nak mudahkan pelajar-pelajar yang belajar di sini. Bila dah penat belajar boleh pergi makan dekat sahaja. Tak payah cari tempat lain. Ia juga salah satu cara untuk menjana pendapatan dan kelangsungan kelas-kelas yang diadakan. Kalau Hari Raya ada jualan biskut, Rendang dan Set Raya. Siapa yang nak buat jamuan makan kecil-kecil bolehlah merangka menu yang diinginkan. Kalau hari biasa pun memang ada jualan lauk kampung. 

Beraneka biskut raya dan ada keluarkan angpau juga.

Rasa malas nak masak rendang masa Hari Raya, bolehlah tempah.

Masa raya haritu kita dalam tempoh PKPB, jadinya tetamu pun tak ramai. Kita beli sahajalah, tak payah masak.



Semat Quran menganjurkan kelas belajar al-Quran dan hadis. Belajar tadabur untuk memahami kitab Allah, baca, faham, amal. Sepatutnya kita kena semat al-Quran dalam diri dengan tujuan untuk perbaiki diri sebagai bekalan hari akhirat. Setiap kali dalam kelas, ustaz akan sebut nombor surah dan ayat. Sebenarnya Ustazah suruh hafal nama surah dan kedudukan tapi saya hanya ingat kedudukan nama 10 surah terawal dan 3 surah terakhir sahaja. Ada mak cik dan pak cik  yang cekap,  tau je bila sebut nombor surah dah boleh teka nama surah dan ayatnya apa. Kita ni tergagau-gagau mencari. Ha untuk yang tak tahu apa itu 76:9 … Surah 76 (Al-Insaan) ayat ke-9 yang bermaksud:

إِنَّما نُطعِمُكُم لِوَجهِ اللَّهِ لا نُريدُ مِنكُم جَزاءً وَلا شُكورًا

(SAHEEH INTERNATIONAL)

[Saying], “We feed you only for the countenance [i.e., approval] of Allāh. We wish not from you reward or gratitude.

(MELAYU)

Sesungguhnya kami memberi makanan kepadamu hanyalah untuk mengharapkan keredhaan Allah, kami tidak menghendaki balasan dari kamu dan tidak pula (ucapan) terima kasih.

Sumber: Celik Tafsir

Setiap Sabtu pukul 9 ada Kuliah Tadabur Hadis dan akan diselangselikan dengan Tadabur al-Quran. Kuliah secara percuma tapi kita infaqlah berapa yang kita mampu sebagai sokongan untuk bangunkan institusi ini. Kedudukannya strategik di tengah pekan, kena bayar sewa, air dan elektrik lagi. Jadi kiranya kalau kita beri sokongan dalam bentuk wang ringgit sekurang-kurangnya dapatlah kekal di tempat sedia ada ini

Suasana kelas


*Kredit Gambar dari Group WA SQ

Boleh tengok video dari Kuala Tv ini tentang Semat Quran:





Friday, September 18, 2020

Tempat Letak Kereta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Hospital Ipoh ni memang sesak ya amat kalau hari biasa. Selain parkir yang dalam hospital, orang akan park di tepi-tepi jalan. Siaplah untuk disaman polis 

Pihak hospital ada sediakan parkir di luar kawasan hospital. Ada shuttle van (ambulans) disediakan untuk pengunjung. Sebelum ini boleh park di Veledrom Rakyat dan Klinik Kesihatan Greentown tapi baru ni saya pergi, parkir Veledrom Rakyat ditutup. Pagar pun bermangga. 

Tempat parkir yang Greentown tu terletak bertentangan dengan Klinik Kesihatan Greentown. Tak seluas Veledrom Rakyat tapi kereta pun tak banyak letak situ. 


Ni dalam pukul 9, tak ramai pun yang park kat sini,


Gambar diambil dari Klinik Kesihatan Greentown so tempat parkir ni hanya bertentangan. 

Norma baru ni, nak naik van pun dah kena scan My Sejahtera. 

Kalau dah nampak van tu, naik je. Dia akan tunggu sampai ikut jadual untuk bergerak.

Van ni akan berhenti di pintu utama bangunan nak ke klinik pakar dan wad.

Setiap bahagian klinik yang kita masuk tu kena scan My Sejahtera atau diambil nama. Hanya pesakit sahaja yang dibenarkan masuk. Pengiring tak dibenarkan kecuali pesakitnya memang benar-benar tak berdaya dan tak boleh berjalan sendiri. Ini dibuat untuk mengelakkan kesesakan beramai-ramai dalam klinik.

Urusan jumpa doktor dan ambil ubat biasanya selesai dekat tengah hari. Perut pun dah lapar, kita lunch dulu di cafe. Macam-macam ada. Sudahnya sampailah pukul 12.50. Alamak teringat pulak sebelum ni ada orang beritahu kalau time lunch susah nak dapat van. Tanya guard kat situ van ada ke waktu ni. Guard tu cakap tak tau. Hmmm..saya tunggu 10 minit lagi. Langsung tak nampak kelibat van. Dari buang masa menunggu ibarat buah yang tak gugur akhirnya jalan kaki ke sana. Kalau diikutkan takdelah jauh mana bagi orang yang sihat ni tapi dahlah tengah-tengah hari ni nak berjalan tengah panas.  Kalau ikut Google dalam 20 minit berjalan tapi saya ikut jalan pintas adalah dalam 10 minit. Memang situ tak ada van idaklah ralat membuat keputusan berjalan kaki ke tempat parkir. Kereta pun dah berkurangan kat situ.

Kalau ikut dik google map ni dia bawak ikut jalan luar maksudnya ikut jalan utama  tapi sebenarnya kita boleh pintas ikut dalam kawasan hospital

Di hospital ni  dah ada bangunan baru tapi tak pasti bila akan dibuka. Harap masalah parkir ini dapat diatasi. 

Kalau diikutkan macam hospital Taiping sebelum ni ketika bangunan baru dibuka, lega sungguh sebab senang betul nak park. Tapi ... lepas setahun hmmm sama aje jadinya berpusing-pusing semula cari tempat kosong.

Wednesday, September 2, 2020

Rumah Kucing

 

Masuk rumah baru

Mendapat tajaan daripada Yang rumah ni untuk anak-anak kucing yang baru lahir sebab kesian bila hujan depa bertempiaran lari mencari tempat perlindungan.

Rumah ni ada pintu je, dan diberi satu lapik. Kiranya macam toto. Hihi.

Mula-mula sampai depa tengok-tengok je tapi tak nak masuk. Kena paksa masuk. Agaknya bau baru tu kuat. Lebih suka duduk di luar.

Keluar masuk tengok rumah baru

Yang kelakar maknya. Esoknya saya intai dalam rumah, ada lembaga warna putih padahal anak-anak ada di luar. Apa benda tu? Anak kucing lain pulak ke yang masuk. Tikus putih ke? Saya jenguk betul-betul dalam rumah, la … popia basi rupanya mak dia bawak masuk. Maknya mengiktiraf itu rumahnya untuk simpan makanan. Minggu selepas tu, maknya bawak tongkol jagung dalam rumah. Dia je yang suka jagung anaknya idak pun. Sis terhibur dengan gelagat Mak Putih.


Nampak tak tongkol jagung lebih dari orang buat cucur jagung


Zoom dalam rumah ...  tada tongkol jagung. Adui mak putih ni buat rumah bersemut je haha. Memang kena check hari-hari kut ada benda lain pulak dalam rumah.
 
Bagus maknya, walaupun makanan tersedia sarapan, tengah hari dan malam, dan di antara tu makan makanan kering (kibbles) tetap maknya tahu tugas mencari makanan untuk anaknya. Dia akan jalan keliling  rumah tengok apa yang ada. Misal kata kalau tak ada apa yang jumpa, dia akan duduk depan pintu dan akan mengiau minta makan. Padahal bila bagi kat dia idaklah dia makan pun. Untuk anak-anak. Dia tengok je. Kadang baling ayam, maknya akan kejar dan ambil. Masa ayam tu dah ada kat mulut dia berbunyi panggil anak. Bila tiga-tiga dah berkumpul baru dia lepaskan ayam tu. Berebut la depa.


Fitrah seekor ibu. Hebatkan makhluk ciptaan Allah walaupun dia datang sebelum ni seekor je tak de sapa mengajar cara nak besarkan anaknya tu. 

Sama seperti kita, keluar dari perut ibu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu tetapi kita tahu macam mana nak menyusu bila lapar, berjalan – langkah pertama. Semuanya atas kurniaan Allah.

An Nahl (16:78)  Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia memberikanmu pendengaran, penglihatan, dan hati, agar kamu bersyukur.

Bersyukurkah kita?

Rumah ni muat je untuk depa berempat tapi Mak Putih mengalah agaknya, anak-anak dia masuk rumah dan dia tunggu di tepi pintu. Tu yang saya kesian kalau nak bagi orang kena ambiklah semuanya dengan maknya sekali, ni ada yang nak seekor je. Kecik lagi, perlu kasih sayang maknya. 

Bila dah hilang bau baru tu dan udah bau dema je barulah ada masuk. Tapi tiga hari lepas memang seharianlah duduk dalam rumah sebab tiga-tiga demam. Tak nak keluar langsung walaupun dah bawa makanan. Dah kena keluarkan pulak sebab nak bagi ubat.


Demam. Tiga-tiga duduk dalam. Udah le tu hujan ha, kena letak payung jugak sebab tempias rosak rumah. Tak boleh letak tempat lain dah, memang dema suka letak rumah kat sini. Kali kedua pindah tempat.

Dah sihat sikit baru cari matahari. Ni depa duduk kat rumput helikopter, baca dik orang viral katanya baik untuk kucing. Entahle beno ke idak. Kena rebus rasanya tapi ni depa baring je. 

Dah sihat. Kucing jalanan ni permainannya apa yang ada nampak depan matalah Bangku tu udah beberapa kali bergerak buat dik dema. Seekor duduk atas seekor tarik bawah. Budak-budak seronok main.

Ni bakul sampah pun jadi. Memang dah pecah nak buang, tapi depa terbalik-balikkan masuk longkang.

Udah macam Saloma link saya tengok haha. Pandai dia duk dalam ni, memang tak kena air pun.

Dia je yang pandai masuk dalam ni. Yang dua lagi tak reti.

Payung ni untuk elak dema tempias hujan pun udah punah main dek dema. Budak-budaklah katakan. Redha je lah.


Tuesday, August 25, 2020

Kuih Serikaya Tulang

 Ni resipi orang dulu-dulu jadi tiada ukuran yang tepat dan main agak-agak. Guna ubi keledek yang beli masa pergi Cameron. 

Jadi ikutlah besar mana loyangnya.  Agak-agaklah bancuhannya. 

Bahan-bahannya:

Keledek, gula kabung, telur 2 biji, santan, tepung jagung.

Haritu beli 3 jenis ubi, kulit ungu dan isi ungu, kulit ungu dan isi kuning, kulit kuning dan isi kuning. Dapat 3 jenis kudapan petang, ubi rebus, kuih keria dan serikaya tulang.

Untuk loyang saiz ni saya guna 3 biji ubi. Kupas kulitnya dan potong bentuk macam ni kiranya itulah pasal dipanggil 'tulang'. Tabur-tabur dalam loyang.

Kukus dulu ubi ni bagi empuk sikit. Sementara tu kita buat serikayanya. Dalam periuk lain, cairkan sekeping gula kabung yang bulat tu. Dalam pinggan lain pula, pecahkan telur, kacau dengan santan dan masukkan sedikit tepung jagung yang dibancuh dengan air supaya dia jadi pekat. Bila gula kabung tadi dah cair, masukkan bancuhan santan tadi dan kacau laju-laju supaya telur tadi idak masak kat dalam tu, nanti nampak dia berketul-ketul pula. Api sederhana perlahan. Bila dah nampak macam pekat sikit, terus masukkan dalam keledek yang dah empuk tadi. 

Bila dah masukkan bancuhan serikaya tadi, sambung kukus tapi sekejap je biar dia pekat sikit.

Ok dah masak. Gambar kelabu sebab baru masak dan berasap. Sedad dimakan dalam keadaan sejuk. Jadi masuklah dalam peti ais sebelum makan. Ceduk je dalam mangkuk. Asasnya sama dengan kuih Lengat Pisang ni.