Saturday, August 6, 2016

Jenuh

Kalau dalam bahasa Perak, jenuh ni biasa dicakap ketika hendak membuat sesuatu kerja dan kita jadi jemu nak buat atau penat la nak buat. Rupa-rupanya, jenuh ni bukanlah diklasifikasikan kepada bahasa Perak. Ce mengkome tengok kamus. Tak ada pula tanda Pr (Perak).Bangga tu orang Perak cakap bahasa standard haha. Tak pernah nak tulis dalam karangan sebab ingatkan loghat. Ok lepas ni boleh guna dalam bahasa rasmi.

Jenuh I 1. Puas, kenyang sekali (sehingga menjadi jemu); 2. Jemu, bosan. Contoh: jenuh mencari tidak berjumpa

Jenuh II (bahasa Kelantan) banyak


Perak ni banyak loghatnya, buatnya dalam satu rumah tu ada orang Bota, orang Kuala Kangsar, orang Taiping. Nama je orang Perak tapi lain lenggok bahasanya. Ada yang cakap kene maksudnya kenal dan ada juga yang faham kena. Idak ke pening satu rumah dibuatnya. Jenuh! Kena tengok ayatlah nampaknya untuk memahami maksud sebenarnya. Bukan semua orang Perak cakap ayor ya. Teman yang cakap rupa gitu. Makan cucor jagung dengan ayor teh.

Thursday, July 28, 2016

Rezeki Tak Disangka-sangka

Hujung bulan Mei  lepas saya ada mengikuti satu kursus. Hari akhir tu penceramah ada beri bahan tambahan berkaitan penulisan. Siapa yang ada bawa pen drive boleh save bahan tu. Saya tak bawa la pula dan cuma mengharapkan pada peserta seorang ni untuk e-mel kepada saya kemudiannya. Sebelum balik sempat bagi keratan kertas yang tulis e-mel saya. Ni kalau dalam cerita mesti penonton cakap hek eleh zaman ada telefon ni pun idak ambil nombor, pakai kertas-kertas je. Haha entah, automatik je tulis dan bagi.  

Tunggu punya tunggu punya tunggu tak adalah dapat e-melnya. Mujur ada ambil nombor telefon rakan sebilik masa kursus.  Dah pulak dia tak tahu mana dia letak pen drivenya. Pilihan terakhir, e-mel kepada penceramah. Tak dapat reply pun … sibuk le tu. Malas la nak telefon pulak bukanlah penting sangat. Tak ada rezeki nampaknya.

Biasanya bila kita terima sijil (yang dipos)dia akan kirim sekali senarai nama peserta dan nombor untuk dihubungi. Kali ni tak dapat pula. Confirm tak ada rezeki nak dapat.

Tup tup semalam eh, dapat e-mel dari peserta tu. Dia minta maaf sebab lambat hantar. Rezeki! Walaupun lambat dapat juga, kebergantungan kita kepada Allah untuk ‘menggerakkan’ orang tu teringat nak hantar. Susah untuk dijelaskan bagaimana rezeki itu tapi kalau kita ikuti tulisan orang yang sering beri motivasi kita akan pelajari rezeki Allah itu luas. Misalnya udara yang kita dapat itu rezeki yang dipaksa, cuba kita tahan nafas lima minit je, memang tak boleh, kan. Tu rezeki yang ‘dipaksakan’ oleh Allah. Jangan sombong dengan Allah misalnya mengaku kejayaan yang diperoleh atas usaha sendiri sedangkan Allah boleh tarik apa sahaja yang telah diberikan-Nya dan bila-bila masa.


Sekarang ni saya lebih banyak di Telegram ikut channel motivasi dalam bentuk penulisan. Kadang-kadang jiwa ini pun perlu diberi makan setiap hari untuk stay positive mengingati dan bersyukur pada Allah. Antara channel yang diikuti- Insyirah Azhar (telegram.me/bahagiahidupbertuhan)–mula follow bila keluar dalam akhbar Utusan . Dan dari situ mengenali pula motivator Indonesia Ippho Santosa (telegram.me/ipphoright) lebih baik pilih yang sama serumpun dengan kita sebab linkungan budaya dan agama yang sama so senang terima. Dan dari situ juga jumpa Nasrullah (telegram.me/rahsiamagnetrezeki) tetapi ini banyak dalam bentuk audio. Kesemuanya gratis ya hehe. Bahasa tidak menjadi penghalang. Kamus online kan ada!

Friday, July 15, 2016

E-Book

E-Book merupakan singkatan bagi electronic book yang dikenali sebagai buku digital atau media digital. Format e-book biasanya didapati dalam bentuk pdf, word, html dan sebagainya.

Kita boleh download dan save di dalam pc atau telefon dan bolehlah baca bila-bila masa lapang. Dulu-dulu saya tak suka baca e-book sebab sakit mata rasanya bila tengok skrin lama-lama dan lebih berminat kepada buku fizikal - dapat pegang dan belek-belek muka surat. Tapi sejak nampak e-book ni ada tajuk-tajuk yang menarik suka pulak tengok. Eh tapi saya pilih yang ditawarkan secara percuma sahaja. Bagi nama dan e-mel nanti dia akan hantar link ke e-mel untuk kita download. Tapi nanti berterusan jugalah dia akan e-mel kita bila ada berita terkini. Tak apa, kalau tak suka follow, hentikan langganan je.

Setakat ni antara yang menawarkan secara percuma, Ustaz Asraff-Mudahnya Ngaji Tajwid, Insyirah Azhar-Penyucian Hati dengan Asmaul Husna, Teknik BAD (Bertanya Allah Dahulu, Dr Azizan-Magnet Kekayaan dan Kejayaan, Eman Dhani-Tips Menulis Buku

Sunday, June 19, 2016

Terminal Bersepadu Selatan (TBS) (2 Jun 2016)

Bas-bas dari Utara masa dulu boleh berhenti di Hentian Duta atau Plaza Rakyat (UTC KL). Bagi yang nak menggunakan LRT biasanya boleh buat pilihan untuk berhenti di Plaza Rakyat tapi mulai dari hujung tahun lepas rasanya semua bas yang dari Utara kena berhenti sama ada di Hentian Duta atau TBS. Memang tak pernah jejakkan kaki di sini. Jadi bila mula-mula sampai tu, tercangak-cangak jugalah mencari jalan keluar ambil LRT. Tak sempat pusing melawat kawasan sebab mengejar waktu tapi bila nak balik ke Kuala Kangsar (KK) tu memang ambil kesempatan tiba awal untuk nak tengok-tengok.


Ada dua cara nak sampai di sini iaitu guna LRT atau Komuter. Saya pilih naik komuter sebab naik dari KL Sentral. Tambang, RM2 lebih rasanya. Dalam 4 atau 5 hentian rasanya. Aduhai, teman lupa walaupun awal bulan haritu je pergi. Tapi memang tak jauh sangat la kalau naik komuter, yang masalahnya nunggu komuter sela waktunya dalam  40 minit.

Kat TBS ni memang mudahlah sebab baru juga, so terancang sikit tempat-tempatnya. Ada surau di kedua-dua tingkat, satu di hujung kiri, satu di hujung kanan. Tempat makan kalau nak banyak pilihan boleh pergi food court. Tiada pertukaran duit masa membeli sebab kena pakai kad. So beli dulu kad, masa pintu masuk, kalau ada balance nanti boleh minta balik duit. Isi RM10 pun cukuplah bagi saya.
Walaupun rasanya lama juga dah TBS ni beroperasi tapi tingkat atas macam banyak ruang kedai lagi yang tak dipenuhi dan yang tak bestnya tiada kedai buku macam kat UTC. Kalau tak memang kat situlah habiskan masa. Adalah kedai jual majalah/paper je tapi tak banyak.

Banyak kerusi kat kawasan ni untuk kita tengok jadual bas.

Sistem dekat sini memang macam kat airport. Boleh nampak jadual pelepasan yang besar macam kat airport dan setiap tempat turun platform ada orang yang jaga untuk tengok tiket dan hanya orang yang ada tiket sahaja boleh turun.
Inilah boarding passnya.. so kena tukar macam ni dulu.

Saya dah beli tiket awal-awal lagi di KK jam 2.32 petang. So tak adalah risau sangat, sempat nak pergi makan dan solat dulu. Pukul 2 dah nampak dekat skrin tv (disediakan di banyak tempat) kata bas ikut jadual dan dah tulis platform yang patut ditunggu. Sekali rupa-rupanya bila nak turun, guard/polis bantuan ke yang jaga platform tu cakap, cik kena tukar dulu tiket ni kepada boarding pass sebab yang ni tak de nombor GATE. Lor punya la lama nunggu di situ, ingat boleh naik terus rupanya ada prosedur lain lagi kena buat. Mujurlah ada setengah jam lagi. Que tak panjang sangat tapi risau jugalah sebab sorang-sorang pun lama benor urusannya kat situ. Siap minta ic lagi dekat situ. Macam leceh je kan, apa pulak ada bernama-nama dekat tiket. Tapi kan rupa-rupanya nama tu diguna untuk panggil penumpang yang belum turun. “Panggilan terakhir untuk ***** bas ke Kota Bharu sedang menunggu anda. Sila naik segera. Gitu la bunyi panggilannya, tapi formallah bahasanya.  Hehe.
Kaunter pembelian awal tiket dan penukaran pas pelepasan ada tiga kaunter sahaja. 

Jadi sesiapa yang dah beli tiket secara online atau di kaunter (awal) kena tukar dulu kepada boarding pass di Kaunter pembelian awal tiket dan penukaran pas pelepasan sebab tiket yang kita beli awal tu tak ada gate berlepas. Sebelum naik bas pun kena scan tiket.  Ok la nampak sistematiknya. Bas pun tak perlu tunggu lama-lama kat situ. Ambil orang dan terus pergi.So takde sesak kat situ.
Gate berlepas di sini juga ada tulis info tentang perjalanan. Ada satu kiosk air mineral, makanan ringan kat bawah ni. So boleh beli-beli jugalah sebelum naik bas.

Kaunter ni untuk pihak pengurusan check dan scan tiket kita. Kalau kat airport pramugara/pramugari lah.

Dari pandangan luar

Antara perkhidmatan lain yang disediakan beli tiket dekat mesin layan diri so tak perlu baris panjang- belum pernah guna perkhidmatan tu so tak boleh komen lebih. Boleh beli juga di mana-mana kaunter sebab dia secara bersepadu so ke mana sahaja pun boleh minta. Yang ni pun tak pernah guna sebab tengok kat situ je. Bagusnya kat sini tak ada ulat tiket macam kat pudu tu, masuk je pintu mula la tawar tiket.  
Kompleks letak kereta bertingkat ada kat sini. Jadi boleh juga kalau orang nak park kat sini. Rate tak tahu berapa.


Kat sini ada ERL untuk ke airport, LRT bandar tasik selatan dan komuter so mudah jugalah untuk ke sini.

Tuesday, June 7, 2016

Membeli buku adalah bagus, tetapi alangkah baiknya jika kita membeli masa untuk membacanya juga.

Mutiara kata ke apa ni, tapi tersentap I bila terbaca ni  dalam status seseorang..haha..betul sesangat. Saya ada masalah kalau masuk mana-mana kedai buku/alat tulis, di akhirnya mesti akan terbeli juga buku. Jadinya buku yang tak baca bertimpa-timpa. Aduhai. Penyelesaian terbaik adalah dengan tidak memandang langsung laluan-laluan yang ada MPH, Popular, Times, Book Xcess. Azam je tu..tapi tak berjayanya.


Tapi, percaya atau tidak, dengan RM1 anda boleh ‘membeli’ waktu selama 3 jam untuk menghabiskan sebuah buku. Ya dengan cara mendapatkan rawatan di Hospital Kerajaan. Haipp..ni bukan post nak mengata hospital kerajaan ya, viral pulak karang. Bayar pun RM1, banyak bunyi pulak.  Saya faham hospital sentiasa ramai, malah kalau anda seorang yang muda (seperti saya) dan bukan dalam kecemasan atau pesakit diabetes (pesakit diabetes ada bilik rawatan lain) memang giliran menunggu lebih lama. Memberi laluan untuk warga emas dan bayi.

Habis satu buku ni semasa menunggu giliran. Silap pulak bawa bacaan yang ‘ringan’, cepat pulak habis, Patutnya bawa buku agama atau motivasi lambat sikit membacanya sebab kena fikir lebih. Biasanya saya akan mencari port yang jauh dengan orang. Malas nak bersembang dengan orang. Pergi hospital bermakna bukanlah dalam keadaan mood yang baik untuk nak bersembang santai. Pernah ada satu masa di Hospital Ipoh, tengah tunggu giliran ambil darah, orang sebelah bercerita dia accident. Oklah dengarlah juga..pastu makin lama, tanya saya sakit apalah, macam-macamlah. Terus balas, errm “boleh saya habiskan baca buku ni. Ni je masa yang saya ada.” Dia minta maaf. Bila dikenang balik lepas tu cam biadab la pulak hehe tapi dah takde mood, kan.

Dulu-dulu, saya memang tak suka baca e-book sebab macam sakit mata je tengok lama-lama. Lebih suka buku fizikal, boleh pegang tapi sejak beli DVD Inspirasi Qurani Ustaz Asraff dan  dapat percuma e-book. Minat sudah teralih juga pada e-book. Mata bukak besar bila nampak ada tulis e-book percuma dan lihat  ada tajuk yang menarik.  Download sahaja, masa untuk membacanya…hmmm seperti biasa balik kepada tajuk di atas huhuhu.

Ohh ada satu kedai buku baru di Taiping..eh baru tak baru tapi sayalah baru pergi dekat Stesen Bas Kamunting, Pafa Raudah. Banyak buku dari Telaga Biru, ada jubah, baju muslimah dan barangan untuk pergi umrah serta alat tulis. So sesiapa yang nak naik bas tu, bolehlah singgah sat kat sini mencari bahan bacaan. Buku hat ni pun ada jual kat situ:

 

Saturday, May 21, 2016

“Games” Hari Keluarga.

30 Apr – 2 Mei yang lalu merupakan Hari Keluarga kami yang diadakan di Kuala Woh, Tapah. Ini merupakan kedatangan kali kedua selepas 2010 tetapi suasana lebih menarik ketika itu.  Sekarang ni macam tak berjaga je. Kawasan sini line telefonnya tak berapa nak kuat. Di dewan sahaja yang jelas, kalau duduk di chalet tu memang sekejap ada dan tidak.  Mujurlah Celcom territory, line internet masih laju dan boleh buka fb, hah ni bukan iklan. Tapi ada juga yang pakai Celcom memang tak dapat langsung..so kesimpulan yang boleh dibuat, bergantung pada telefon juga gamaknya. Samsung note saya yang dah kopak kapik tu pun masih boleh send gambar kat Whatsapp, ni mesti yang tak dapat line tu sebab phone tiruan. Cer check, Samseng  kot..heheh..sorry cousin.

Bila signal tak berapa nak ada ni bagusnya idak la orang asyik mengulit telefon je.. boleh fokus kepada aktiviti dan anak-anak – bebas gajet-

Keluarga kami memang dah biasa adakan Hari Keluarga ni sejak lama dahulu, masa zaman-zaman sekolah lagi. Zaman 80-an, mungkin. Tapi masa zaman kami kecik-kecik seronok berjumpa sepupu sebab main-main je. Udah meningkat dewasa kena pulak terlibat dalam menganjur aktiviti. Berikut merupakan antara aktiviti yang dijalankan:
Aktiviti berbuka puasa bersama-sama sering diadakan.
Baling belon berisi air.

Caranya: Belon diisi dengan air. Jangan isi penuh sangat dan jangan sikit sangat. Sekadar boleh dibaling dan disambut.  Semua orang akan berbaris secara memanjang dua barisan dan berhadapan. Contohnya Baris A dan hadapannya Baris B. Orang yang pertama dari Baris A akan baling kepada orang yang dihadapannya (baris B). Mula-mula kedudukannya rapat. Setelah semua selesai membaling belon kepada orang depan, Baris A akan undur satu langkah manakala Baris B akan kekal di situ. Mula semula seperti tadi. Belon siapa yang pecah, kena keluar barisan dan dikira out. Proses undur selangkah akan berterusan sehingga kita dapat juara iaitu pasangan yang dapat mengekalkan belon daripada pecah. Games ni sesuai sebagai penamat kepada acara sukaneka kerana ada yang akan terkena simbahan air bila belon pecah. 

Aksi seorang juara menangkap balingan belon.
Explorace

Ada 4 atau 5 tugasan yang perlu disiapkan.  Games ni dibuat kerana terpengaruh dengan rancangan Explorace dan Amazing Race. Contohnya, kira kacang (3 jenis kacang pelbagai bentuk dan warna) dicampur sekali dan peserta perlu mengira berapa bilangan setiap kacang itu. Kumpulan yang paling hampir dengan jawapan akan mendapat markah. Selain itu, siapa dapat menyiapkan rubik kiub paling cepat, Charades dan ada dua tiga games lagi. Lupa. Tapi ni banyak Gen3 je yang terlibat, so bagi merapatkan hubungan dengan Gen2, soalan seperti ‘Tangkap gambar dengan ahli yang lahir tahun 1939’, ‘Apakah resipi bagi membuat Rendang Dinding’ dan pelbagai soalan lagi disenaraikan supaya sama-sama saling terlibat dan berkomunikasi.

Treasure Hunt
Dulu-dulu biasa masuk Treasure Hunt seperti Sun Treasure Hunt. Idaklah pernah menangnya tapi mengambil pengalaman menyertai untuk membuat soalan yang  macam tu juga. Bior deme pecah kepala memikior. Lagipun bagi derang jalan-jalan pekan Kuale.

Persiapan, ambil gambar kedai-kedai sepanjang jalan yang kita nak buat. Ketika di rumah baru buat soalan berdasarkan nama-nama kedai. Contoh: Kedai C.C. Liew. Soalan: Salinan karbon kepada Liew. Oleh kerana ramai yang baru menyertai Tresure Hunt sebegini, so soalan berkisar keluarga turut diletakkan. Kiranya kalau deme nak dapat markah banyak, rebutlah soalan bonus ni. Paling tak sangka, Gen2 sanggup ikut serta berjalan sepanjang Kuale. Mendera pak cik dan mak cik menapak hehe sambil bagi derang mengenang sejarah lama.

Merata deme jalan mencari jawapan.

Bertukar-tukar hadiah.

Kadang-kadang kita biasa dapat Welcome Gift bila pergi ke hotel atau pasar raya. kan, so nak bagi seronok sikit dapat hadiah, buat acara ni. Syarat, hadiah bernilai antara RM15-20. Siapa nak bagi lebih dari nilai tu, kira bonuslah. Perlu dibalut dan ditulis nama untuk ucapkan terima kasih kepada orang yang memberi. Nama orang yang membawa hadiah akan ditulis dan dimasukkan dalam karung mini. Proses undian akan dibuat.  Orang pertama yang mengundi tentunya orang yang paling senior sebagai tanda penghormatan. Dia akan ambil nama, dan nama yang akan dipanggil tu akan memberi hadiahnya. Atau boleh juga buat sebaliknya. Orang yang cabut nama tu akan beri hadiah kepada nama yang dicabut. 

Sebenarnya saya pun tak pernah menyertai acara ni, so tak berapa nak yakin keberkesanannya tapi bila Pengerusi kata, kena thrill sikit, bior bagi orang bising-bising seronok. Gelabah pulak jadinya haha. Sibuk menggoogle macam mana nak bagi thrill, tak jumpa. Sib baik pengacara biasa buat acara ni. Alhamdulillah, dari hadiah yang diperoleh, kebanyakan orang mendapat hadiah yang sesuai dengan diri walaupun dapat dari cabutan undi. Ada orang dapat hadiah Tupperware tu.  Original ya, tu mesti dealer Tupperware. Tapi acara ni lama juga prosesnya sebab bila ramai yang masuk, of courselah gilirannya panjang.
Bagi Gen4 terlibat juga. Bior deme ingat memori ni bila tengok gambar ni.
Bilalah boleh serenda (bahasa Perak untuk surrender) dari jadi AJK ni huhu. Penat jadi AJK sebab akan mula berfikir dari hari dilantik hinggalah event berlangsung. Apa pun family punya pasal, kadang relakan aje, lebih-lebih lagi bila teringat, derang pun dah banyak buat something untuk kebaikan kita. Wah susah ni sebab saya memang  nostalgik orangnya.. hehe. Memudahkan urusan orang lain juga antara tuntutan dalam agama ya tak?


Monday, May 16, 2016

Tabung Keluarga

Datuk saya, Allahyarham Hj Yusof bin Yaacob mempunyai wawasan yang besar sejak zaman 60-an lagi. Arwah telah melontarkan idea kepada anak-anak untuk membuka satu tabung untuk kegunaan bersama. Matlamat awal diwujudkan tabung ini untuk menampung belanja sekolah yang belum pasti dapat biasiswa atau tidak.  Sementelahan hidup mereka pada masa itu bukanlah senang dengan gaji hanya sebagai guru agama untuk menanggung anak seramai 12 orang (2 meninggal waktu kecil).

Proses tabungan tersebut begini; anak-anak yang bekerja menyumbang sebanyak RM10 manakala menantu RM5. Anak-anak yang masih bersekolah turut menyumbang iaitu RM1 dan RM2.  Sedar tak sedar duit yang dikumpul telah dapat membantu kesemua ahli keluarga.  Ada yang meminjam daripada tabung ini untuk belanja kahwin, membeli tanah, pinjaman belajar dan pinjaman perniagaan. Malah daripada tabungan ini juga kami peruntukkan sedikit sumbangan bagi yang masuk IPT, mangsa banjir, belanja kahwin, sakit dan pelbagai lagi mengikut apa yang telah dibincangkan dalam mesyuarat.

Mesyuarat diadakan kadang-kadang dua tahun sekali, kadang bertahun-tahun juga. Bayangkan pada masa dahulu dengan tak adanya kemudahan internet seperti sekarang, Pos Malaysia dan Telekom jadi penyambung silaturahim kami. Kini zaman Facebook dan What’s App. Jimat kos. Pak Cik dan Mak Cik kenalah jadi seorang yang celik IT juga.  Maklumlah, bukan semuanya duduk di Kuala Kangsar tapi merata, dari Utara hingga ke Selatan hinggalah ke Sabah.

Berikut saya senaraikan tip yang boleh diikut yang diamalkan keluarga kami. Masih belum terlambat lagi untuk memulakannya.
  • Adanya Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari dalam keluarga. Lantikan dibuat secara giliran dalam keluarga. Adanya mesyuarat dan dibuat minit mesyuarat setiap kali perjumpaan.
  • Jika awalnya anak-anak menabung RM10 dan menantu RM5 tapi ada satu masa, tak ingat bila, semuanya kira RM10 dan untuk anak-anak yang sudah bekerja pun bayar RM10. Duit masuk dalam akaun. Ada satu ketika pernah dibuat sistem amil di mana amil zon utara, zon selatan dan zon tengah untuk kutip duit. Kiranya untuk rapat silaturahim tu sebab suruh datang rumah. Saya pernah dilantik menjadi amil zon tengah hahaha tak berapa berjaya. Kekangan kerja. Transfer sahajalah dalam akaun.
  • Generasi 1 Tuk dan Pah
  • Generasi 2- Anak-anak
  • Generasi 3- Cucu-cucu
  • Generasi 4- Cicit
  • Bagi memudahkan, kami membahasakan Gen2, Gen3 je untuk menerangkan sesuatu mesej tu untuk siapa.
  • Bilangan ahli terkini 125 orang dan sudah sampai ke Gen4.  Sesiapa yang berkahwin dengan anggota keluarga kami ni, wajib kenal rapat dengan kami semua ni ya dan bukannya sekadar ipar duai je.
  • Bagi yang meminjam, kenalah pulang balik duit tetapi kami beri bantuan secara Qardh al-Hassan (pinjaman ihsan). Ia merupakan pinjaman yang tidak melibatkan faedah dan syarat tambahan ketika membayar pinjaman. Peminjam boleh mengikut budi bicaranya, membayar balik tambahan wang yang lebih banyak daripada wang yang dipinjam sebagai tanda terima kasih. Pinjaman jenis ini tidak dikira melanggar syariah (dengan melibatkan riba) kerana tiada perjanjian untuk membayar lebih. Cara pinjaman; buat surat untuk rekod dan diajukan pada pengerusi, pengerusi akan berbincang dengan setiausaha dan bendahari sebelum membuat keputusan atau tunggu mesyuarat akan datang untuk perbincangan.
Kini, kami meningkatkan lagi tabungan ini dengan lebih sistematik dengan cara membentuk Koperasi Keluarga. Di dalam Koperasi Keluarga sendiri dinyatakan tujuan ditubuhkan untuk:

Sebahagian daripada keseluruhan keluarga besar kami.
  • Menjamin masa depan lebih cemerlang dalam bidang sosioekonomi
  • Memberi sumber pendapatan baharu kepada anggota koperasi dan menjana pendapatan anggota koperasi.
  • Harta pusaka dapat diuruskan bersama.

Koperasi Keluarga kami masih baharu. Masih bertatih dalam segala bidang. Kalau dilihat, Gen2 yang terdiri di kalangan pak cik dan mak cik yang telah pencen ni yang banyak memberi sumbangan dan kekuatan. Gen3 hanya menjadi sokongan sahaja. Entah macam mana di masa akan datang kalau hanya Gen3 sahaja yang mengepalai. Namun, fikir yang baik-baik, tulis yang baik-baik. Semoga masa depan koperasi keluarga kami bertambah kukuh.  Harmoni dalam menjana ekonomi. Sepakat membawa berkat. Tolong doakan sekali ya anda yang membaca!


p/s:Bagi yang ingin menubuhkan koperasi boleh dapatkan maklumat daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia. Namun diingatkan, ia bukanlah semudah memetik jari. Banyak yang harus difikirkan. Beberapa kali juga hasrat ini ditangguhkan. Kerja perkeranian pun melelahkan. Maklumlah ada standard yang perlu diikut.  Tapi bila difikirkan ia baik untuk masa hadapan, bersabar dan bertabahlah wahai Setiausaha. Hahaha motivasi diri sendiri.