Sunday, July 19, 2020

Tempat-tempat bahaya untuk anak kucing.

Masih lagi cerita kucing yang dibela di luar rumah. 

Kasih sayang ibu kucing memang tak boleh dinafikan. Kadang kita dah letak tempat baik punya dengan kain, surat khabar dalam bekas, udah pula dipindahkannya. Setelah ditilik-tilik mungkinlah ibu kucing nak mengelak daripada dikacau kucing jantan atau benda-benda berbahaya yang lain. Degilnya kadang tak boleh nak lawan. Ada satu ibu kucing tu dia pindahkan anaknya dalam longkang. Di waktu pagi memanglah elok je anaknya duduk situ. Dah tengah hari, panas terik dalam longkang simen tu udah tercungap-cungaplah anaknya. Dah kita pindahkannya ke tempat redup, balik dipindahkannya kat situ juga. Degil ya amat.

Ni antara tempat-tempat lain yang bahaya untuk anak kucing.

Paip longkang ni si bulus main-main keluar masuk. Dah risau dah tengok dia tak keluar, pastu lega bila tengok dia keluar semula. Tapi ada satu malam tu, dia tak datang makan. Maknya sahaja yang ada. Esok pagi pun tak ada. Jenuhlah pusing satu rumah mencari. Teringat pula dia duk main-main dekat longkang semalam. Saya cuba panggil, tetiba dengar halus je suara. Masya-Allah betul dari dalam tanah. Sah dah ni dia masuk longkang.

Adoi tak pasal-pasal nak kena panggil bomba suruh pecahkan simen tu. Kelam kabut mikir macam mana nak buat sebab dengar suara halus. Yang maknya pun selamba dek je tak de risau.  Tetiba teringat la nak tolak penutup kumbahan tu. Alhamdulillah rupanya dia jalan ke paip tu dan terus jatuh dalam lubang kumbahan. Eh sebenarnya bukan kumbahan, air dari longkang je so sebenarnya dalam tu ada tanah mungkin tanah yang masuk dalam longkang.  Nak capai dia gitu sahaja tak sampai. Dah terpaksalah pulak ambil tangga, turun ngambil dia. Tak sangka saya boleh tolak penutup tu. Mungkin sebab nak selamatkan sangat kucing tu sebab esoknya saya cuba semula nak buka, berat sangat rasanya tak tertolak. 

Untuk mengelak dari dia masuk semula dalam longkang tu, tutup lubang dengan pasu. 

Esoknya, masih main lagi dekat longkang ni dengan maknya. Tak serik-serik.

Baldi ni letak kat tangga untuk tadah air hujan. Dah lama ada di sini. Entah macam mana, anak kucing yang sama masuk lubang paip sebelum ni dia boleh masuk dalam baldi pulak.  Masa tu kaki belakang dia bengkak ada bisul, Jadi memang agak lemah untuk melompat, atau memang tinggi nak lompat. Entahlah dan dia tak bersuara pun. Saya cuma perasan dia dalam baldi tu bila turun dari tangga. Masa naik tangga tak perasan langsung. Dan mungkin ajalnya, lepas dari kejadian ni dia sakit teruk dan mati kemudiannya.

Kalau tengok sahaja 'flower box' ni macam biasa sahaja, kan?


Sekali, rupa-rupanya ada kucing beranak kome oii. Idak le perasan kalau anaknya tak berbunyi. Entah siapa la beritahu sini boleh jadi tempat beranak, sebenarnya ini kucing ketiga yang beranak di sini. Hahaha!
Dema ingat sini hospital?

Lahir dekat nak raya. Masa tu musim hujan. Jadi berpayunglah kita.

Pukul 12 tengah malam terasa-rasa nak pergi tengok bila dengar hujan lebat. Rupa-rupanya payung tak dapat menghalang tempias hujan, lencun. Yang maknya pun idakle tau pindah tempat bila dah hujan tu. Basah dema. Terus saya pindahkan dalam sangkar kucing (bahagian bawahnya)

Dekat seminggulah duduk dalam bekas, udah maknya pindah dalam longkang ni. Diletaknya pula dekat tengah-tengah, jadi nampak dema dekat celah lubang tu je.

Aman duduk situ dalam dua hari. Hujan lebat tiba-tiba satu tengah hari tu, dengar suara maknya mengiau-ngiau kecemasasan. Ya Allah rupanya air dah naik dalam longkang tu, dahlah anaknya dalam tu. Penutup longkang tu memang tak pernah bukak, memang ketatlah. Nak mencapai anaknya tu terpaksa meniarap. Dua ekor lenjun habis dengan saya sekali basahnya. Tinggal satu je lagi tak dapat nak capai.  Seluk tangan kat tengah tu dan memang dapat capai tapi kalau nak keluarkan ikut lubang tu tak muatlah pula, patah pulak kakinya nanti. Terpaksa panggil kakak untuk pegang dari lubang tu dan suruh dia tolak ke arah laluan keluar. Saya cuba mencapainya. Alhamdulillah mujurlah dapat capai. Yang ni lagi teruk lenjunnya, Nyaris tak lemas atau hanyut. Dekat setengah jam misi menyelamat. Pindah semula kat dalam bekas sebelum ini. Dalam longkang ni pernah ada ular sawa besar sampai terpaksa panggil bomba, bila difikir-fikirkan semula, ngeri pulak. 


 Ingatkan dah seriklah maknya dan dapat pengajaran. Dua hari kemudiannya balik dipindahkan dan masih di tengah-tengah. Adoilah si ibu bulus. Akhirnya dapatlah juga keluarkan dia balik dan saya tutup laluan tu supaya si ibu tak dapat masuk.

Ok ni dia Si Bab yang telah pindahkan anak-anaknya di bahagian dapur pula. Tempat asalnya masa dia baru datang. Bahagia dengan anak-anaknya. Dia suka makan jagung. Bahaya ke idak tak tahulah, tapi dapat tahu dia suka tu bila campak tongkol jagung keluar tingkap nak bagi kera, dia pula yang  gonggong. Hahaha. Bila kita kupaskan memang dia makan jagung tu tapi tak bagi banyaklah. Boleh ke kucing makan jagung ni?

Saturday, July 4, 2020

Kasi Kucing

Bukan kasi yang maksud beri, tapi mandulkan. Kebanyakan kucing yang biasa dibuang  ialah kucing betina sebab selalu beranak. Bukan sahaja beranak banyak, kerap pula tu. Dan memang kucing betina nilah selalu jadi mangsa. Kesian.

Kawasan rumah saya sentiasa ada kucing yang datang dan terus menetap di situ. Dah jadi satu rutin pula, bila kucing tu mati atau hilang. Ada je yang datang mengganti kawasan. Kebiasaannya yang datang kucing jantan. Baru-baru ni pula ada dua kucing betina datang. Remaja lagi. Tapi kedua-duanya tak boleh bertemu muka, pasti bergaduh. Jadinya seekor akan ‘jaga’ kawasan dari halaman depan sehingga ke pagar. Seekor lagi dari bahagian dapur ke halaman belakang. Yang paling untung mestilah yang jaga bahagian dapur. Mengiau sahaja dah dapat makan.

Tiba masa musim mengawan, aduhai kedua-duanya mengandung. Jika kita dapat berikannya rumah, tak apalah kan. Ni dengan kucing yang ada di rumah pun tak terjaga dan memang akan bergaduh dengan kedua-dua kucing yang di luar ni.

Teringat saya terbaca berita sebelum ni dari persatuan haiwan yang mengatakan jangan sekadar beri kucing makan. Mandulkan juga untuk kucing jalanan. Memanglah beri makan tu senang sahaja tapi sedar tak sedar kita telah menyumbang kepada pembiakan tidak terkawal haiwan di jalanan. Jadi saya ambil keputusan kasi, kan sebab tak mampu menjaganya dan tak dapat nak sediakan rumah untuknya.

Baby, ada anak dua ekor tapi mati seekor. Tinggal seekor.  Lahir masa PKP. Yang seekor kucing lagi, tiga ekor anaknya dan lahir dua hari sebelum Syawal. Kucing dah boleh dikasi selepas anaknya berusia dua bulan. 

Baby namanya, kadang-kadang jadi Vivy. Jaga kawasan depan.

Ni udah tak bernama, panggil Bab je (Debab) 3 ekor anaknya. Jaga kawasan belakang.

Di Klinik Veterinar Kuala Kangsar, proses pembedahan hanya hari Isnin dan Khamis sahaja. Tidak perlu temu janji. Bayaran RM80 untuk betina.

Jadi seelok-eloknya sebaik buka (8.30 pagi) kita dah hantar sebab dia berpuasa. Pemilik akan diberi satu borang pengesahan dan tulis nama, alamat, no telefon dan tanda tangan. Kepilkan dalam sangkar. Dia akan call bila dah siap. Masa tu lah juga baru terperasan anaknya ada bengkak di kaki belakang. Udahle pulak mencari sangkar bawa anaknya. Pukul 3 baru nak gerak. Kata doktor, kaki anaknya bisul tapi dia suruh tunggu sampai pecah sendiri sebab kalau dipecahkan awal luka kat dalam pula. Doktor cucuk antibiotik dan bagi ubat bengkak.

2.30 petang dapat panggilan kata dah boleh ambil. Doktor bagi ubat bengkak, antibiotik dan iodin. Dia suruh datang minggu depannya buka jahitan. Masa ambil tu Baby dah sedar, mak ai meronta-ronta cakar pintu sangkar nak keluar. Dahlah pintu sangkar tu memang ada kerosakan sikit, silap-silap memang boleh terbuka sendiri. Perjalanan dari klinik ke rumah yang 20 minit rasa lama bebeno dengan trafik light yang asyik merah sahaja. Tak tenang dibuatnya. Pegang stering sambil pegang pintu sangkar takut terbuka.

Balik rumah baru pindahkan dalam sangkar besar. Sebenarnya masih lemah lagi, jalan jatuh jalan jatuh masih longlai. Bawa anaknya nak jumpa maknya, sedihnya alahai anak menderam tak nak dekat. Tak kenal maknya. Pagi tadi je pun baru berpisah. Huhuhu. Saya sampai tengok semula kucing tu, betulke maknya, takut tersalah ambil. Memang ada kucing yang corak macam ni juga ada datang. Agaknya mak dia bau ubat, dia tak kenal.

Saya biarkan anak di luar. Mujur bapaknya ada meneman.

Bapak? Hihi masa dulu yang selalu datang ada 3 kucing jantan. Kalau ikutkan dari rupanya ingat bapaknya yang ni. Jati-jati macam dia. Tapi idak le melayan. Tup-tup yang si oren ni pulak rajin melayan. Ada la sikit warna oren kat belakang telinga.

Jati-jati macam Jantan yang ni tapi sikit pun tak peduli.

Mak masih dibiarkan berehat dalam sangkar. Letak dia dalam bilik dan anaknya dibiarkan lepas dalam bilik yang sama.

Esok pagi. Anaknya masih menderam-deram tak nak. Maknya dah boleh berdiri betul.

Hari ketiga, bukakan sangkar, maknya terus dapatkan anaknya dan menjilat. Tapi anaknya buat dek je dan masih menderam. Huhu sedihnya saya. Anaknya tak kenal mak walaupun saya letak anak bawah perut maknya. Mak masih menjilat.

Hari keempat, Alhamdulillah tengok anaknya dah menyusu pada emaknya. Entah apalah agaknya dicakap maknya malam semalam.

Toy namanya. Matanya unik. Macam serigala.
Anaknya dah kenal bau maknya.

Kedua-duanya makan ubat yang sama cuma dos berlainan. Kaki anaknya masih membengkak tapi masih berlari-larian macam tak ada apa-apa.

Hari Isnin bawa maknya semula ke klinik dan buka jahitan. Doktor kata ok.

Anaknya pula kaki membengkak dan keluar air tapi masih aktif. Cuma ada satu malam, entah macam mana dia terjatuh dalam baldi dan duduk dalam tu semalaman. Tak tahulah sama ada dia cuba untuk melompat tapi memandangkan kaki belakang bengkak dia tak boleh buat apa. Jenuh saya mencari, keliling rumah. Dia tak mengiau walaupun saya melepasi baldi tu. Sejak itu dia tak lalu makan. Esoknya makin teruk dan asyik baring. Akhirnya 2 Julai 2020, si anak mati. Sedih sangat. Sekarang ni saya meluangkan lebih masa meneman maknya takut dia kemurungan. 

Sunday, June 14, 2020

Resipi Tempoyak Daun Kayu


Oh kome, deghoyan udah lughuh (luruh)! Peminat durian semua dah merasa ke? Orang yang membeli durian ni biasanya dalam hati, ‘Alangkah bagusnya kalau ada kebun. Kalau ada sepokok durian pun puas dah makan. Tak payahlah nak membeli dah. Mahal.’

Ha ni pula jawapan orang yang kat rumahnya ada dua batang pokok durian, ‘Adoi sikit pun tak dapat merasa. Buah rosak dik tupai, udah berlubang-lubang sampai tinggal biji je. Baik le membeli kalau nak puas makan.’

Kalau durian yang jatuh ni banyak yang rosak/berlubang, orang Perak kata buang buruk. Biasanya di permulaan nak luruh tu. Di akhirnya nanti akan ada sinar di hadapan dan dapatlah merasa durian yang elok.

4-5 biji yang jatuh tapi yang eloknya 2, 3 ulas sahaja. Nak mengambilnya pulak penuh cabaran sebab kawasan tu banyak nyamuk dan pacat. Makna kata kalau nak turun ngambil tu memang kena buat persediaan rapilah.  

Kalau dah setakat beberapa ulas sahaja yang dapat, akhirnya buat tempoyak ajelah. Saya tak makan tempoyak mentah. Kalau yang dimasak ni, baru boleh layan. Resipi ni asalnya dari Negeri Sembilan.





Bahan-bahannya:
  1. Pucuk ubi – diracik halus
  2. Daun kaduk – diracik halus
  3. Daun kunyit –diracik halus
  4. Kacang panjang –potong kecik-kecik
  5. Kunyit hidup atau kalau tiada, serbuk kunyit - tumbuk
  6. Cili api tumbuk dengan lesung batu bersama garam (jadi masa masak nanti tak perlu taruh garam dah)
  7. Petai – dibelah dan dihiris kasar
  8. Serai -diketuk
  9. Santan – ikut banyak mana nak kuahnya
  10. Tempoyak dalam dua sudu besar atau hingga kuah sedikit pekat.
  11. Ikan bilis – sedikit

Masukkan semua bahan dalam periuk dan masak sampai daun-daun tu rasa lembut. Resipi ni memang tak ada bawang. Orang kata kalau taruh bawang, hilang bau tempoyak tu dah.


Tuesday, June 2, 2020

Kebenaran Rentas Negeri

Perkataan rentas atau maksudnya melintasi biasanya pakai zaman sekolah je dalam merentas desa. Berbanding sukan lain, yang ni la paling best sebab tiada tekanan nak menang. Lari ikut kemampuan dan biasanya yang belakang-belakang tu sambil nyembang-nyembang. Masuk pula jalan-jalan kampung yang tak pernah pergi. Best!

Sejak Covid-19 ni semakin popular perkataan merentas ni. Tiada siapa sangka nak pergi merentas negeri pun kena minta izin polis. Kalau dulu, pergilah bila-bila masa pun. Norma baru, kena banyak bersabar dalam segala urusan.

Mengikut siaran media harian oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Dato Sri Ismail Sabri penghujung Mei lalu, kebenaran rentas negeri hanya dibenarkan untuk kecemasan/kematian, perubatan dan kerja. (Sidang media harian 2 Jun 2020 terdapat beberapa kebenaran yang lain)

Saya minta kebenaran atas tiket perubatan. Senang,  tak ada banyak soal dengan polis. Hanya tunjuk kad hospital yang ada tarikh appointment. Ramai juga yang minta kebenaran, kiranya saya datang 3 kali ke sana tu dalam 10 minit dekat sana, tak putus-putus jugalah orang datang nak isi borang dan hantar borang. Saya curi dengar alasan yang diberi, nak ambil barang di rumah sewa sebab kena kosongkan bilik, nak ambil mak di KL sebab dah lama sangat kat sana, nak ambil kereta bawa balik kampung, nak pergi hospital di KL tapi tidak dinyatakan dengan jelas hospital mana. Ha yang ni semua memang kena soal jawab dengan polis kat situ ya.

Cara untuk minta izin:

Pergi ke balai polis berdekatan. Isi borang Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan yang disediakan di situ. Untuk Balai Polis Kuala Kangsar, urusan dibuat di luar bangunan. Dari pintu masuk, akan nampak khemah di belah kanan. Urusannya sekejap sahaja, pagi hantar borang, petang sebelum 4.30 dah boleh ambil. Saya minta kebenaran tiga hari sebelum tarikh nak pergi.

Di borang kena isi perkara berikut:

  1. Nama pemohon
  2. Kad Pengenalan
  3. Alamat tinggal (Kuala Kangsar)
  4. No telefon
  5.  Jenis kenderaan/No Pendaftaran
  6.  Jumlah orang (Perlu lampirkan butir-butir individu)
  7. Tarikh/Masa Pergerakan
  8. Alamat Destinasi
  9. Sebab-sebab permohonan pengecualian untuk pergerakan (Sakit/Kematian/Kerja/Kecemasan)

Dokumen sokongan yang diperlukan adalah:

Salinan fotostat kad pengenalan orang yang akan ada dalam kereta. Salinan fotostat Kad Hospital yang tertera dengan jelas nama hospital dan tarikh appointment. Buat 2 set salinan sebab satu set polis simpan dan satu lagi kita pegang untuk kita tunjukkan jika adanya sekatan jalan raya sepanjang perjalanan.  Fotostat sekali borang Permit Pengecualian Kawalan Pergerakan yang kita dah tulis tu. Jadi eloklah bawa balik borang dan lengkapkan dulu kesemuanya barulah hantar.

Untuk balik, saya guna borang yang sama je sebab memang ada alamat tetap kat situ pun. Lagipun pergi dalam dua hari sahaja. Tak payah susah-susah nak pergi balai lagi. 

Borang permohonan sama ada lulus atau tak akan ditandatangani oleh polis berserta cop jawatan.

Sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur, idak le rasa beza apa pun dengan sebelum ni. Banyak je kereta di lebuh raya. Sama juga perjalanan balik. Banyak je keretanya.

 


Saturday, May 9, 2020

Peribahasa berkaitan ibu kucing yang mengandung.

Dalam bahasa Melayu, peribahasa terdiri daripada simpulan bahasa, perumpamaan, bidalan dan pepatah. Setiap satunya untuk memberi pengajaran tertentu.

Orang dulu-dulu cakapnya berlapik. Malah, banyak mengaitkan tentang alam dan keadaan persekitaran. Contohnya:

Seperti kucing nak beranak.

Seperti kucing keguguran anak.

Bagai kucing kehilangan anak.

Bagai kucing jatuh anak.

Kesemuanya sebenarnya nak menggambarkan aksi seseorang yang tidak keruan dan berasa serba tidak kena. Duduk salah, berdiri salah. Macam-macam yang difikirkannya.

Jadi macam mana kita ni nak tahu kucing ni nak beranak dah?

Ha, memandangkan bukan kelulusan doktor veterinar, idak le tau bila due datenya tapi marilah kita tengok balik peribahasa di atas. Seperti kucing nak beranak. Kucing ni kalau nak beranak, dia mula masuk bawah katil, bawah tangga dan cari tempat tersorok.  Tak keruan kelihatannya. Kalau pencariannya lebih kerap, maksudnya memang tak lama la tu. Jadi kita sediakanlah kotak untuk tempat dia bersalin.

Contohnya kucing ni baru datang Januari lepas. Entahlah sama ada sesat atau orang buang sebab dia betina. Bila kita selalu bagi makan, jadilah penunggu setia di luar. Muda remaja lagi, tu yang panggil Baby Siam.  Tiba datang musim mengawan, udahlah mengandung pulak.


Masa mula-mula datang. Si mata biru yang comel.

Lagi dua hari dia nak beranak, pantang ada peluang pintu terbuka, dia akan masuk rumah dan masuk tempat-tempat tersorok. Memandangkan itu tanda-tanda nak beranak, saya sediakan kotak dan letak dia di beranda. Memang dia tak adalah nak duduk situ. Dua hari kemudiannya, bila nak bagi makan, dia tak datang. Jadi, agak dah beranak gamaknya.

Pandai pulak dia beranak dalam kotak yang disediakan. Dua ekor. 

Anak dua ekor selamat dilahirkan. Pandai masuk kotak yang disediakan.

Lepas tiga hari, tengok dalam kotak, anak dia dah tak ada. Ha takkan dah dibunuh kucing jantan atau haiwan lain.  Maknya selamba je duk tunggu makan. Tak ada pun seperti yang dikatakan peribahasa bagai kucing kehilangan anak. Ibu kucing ni kalau hilang anak, memang mengiau bagai nak gila dan tak tentu arah.

Keesokan harinya pun masih tak dapat kesan sama ada anaknya mati atau dibawa pindah sebab dia tetap datang makan di rumah. Setelah lebih kurang seminggu, datanglah dia bawa anaknya seekor je. Mata pun dah celik. Agaknya yang seekor tu dah mati. Ibu muda ni jenuhlah nak menjaganya, sebab asyik pindahkan anaknya. Pernah jumpa anaknya tu lenjun kena hujan. Heh maknya pun idakle pindah ke tempat yang kering. Ni pun dalam sehari udah 3,4 kali dia pindahkan anaknya. Mungkin emaknya rasa tempat-tempat tu tak selamat. Hanya ibu yang mengetahui apa yang terbaik untuk anaknya, kan.


Tinggal anak yang warna hitam dan putih sahaja.

Kalau korang rasa, “Bela aje la, kan kesian anaknya tu”. Ha tolong bincang dengan tuan rumah ni(gambar bawah). Dia memang tak boleh dibawa berbincang. Tak berkawan dengan kucing lain. Semuanya kena buru.


"Siapa ngumpat aku ni"

Ni ada pula lagi seekor kucing pendatang nak beranak. Pening dibuatnya. Dua-dua ni gayanya pertama kali bersalin.

Perut membuyut dah. Selalu diam-diam masuk rumah duduk antara tong sampah dan pintu dapur. Dia ingat pandailah tu menyorok orang tak nampak dia.

 


Thursday, May 7, 2020

Bayaran Zakat Fitrah bagi Negeri Perak

Kebiasaan baharu yang perlu kita biasakan dalam kehidupan, pembayaran atas talian. Ini akan mengurangkan contact kepada orang lain dan akan mengurangkan risiko penularan virus COVID-19. Bayaran zakat fitrah secara atas talian memang tahun lepas lagi dah guna tapi kali ini kita bantu orang yang biasanya bayar di masjid dan masjid ditutup kerana COVID-19. 

Untuk maklumat lanjut tentang zakat boleh layari website Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak

Terdapat 5 medium pembayaran yang boleh digunakan ikut kemudahan kita iaitu:
  1. QR Pay Maybank
  2. Aplikasi GoPayZ
  3. Aplikasi SnapNPay
  4. FPX dengan melayari ezakat
  5. JomPay dengan billercode 9027
Bayaran sama ada, RM7, RM14, RM21

Kalau nak lebih menghampiri 'cara lama' dengan ada akad boleh melayari ezakat . Akan keluar borang dan isi butiran peribadi tapi jika pernah guna sebelum ini, isi je no kad pengenalan dan butiran diri akan keluar. Setelah kita pilih berapa tanggungan,  akan keluar pengesahan bayaran dan niat zakat. Seterusnya tekan "Bayar Sekarang" dan pilih bank pilihan. 



Kadang kala bank pun problem offline,  tengah penyelenggaran  jadi tak boleh buat dan kena tunggu pula. Tulah dia keburukannya berbanding bayar dekat amil. Bagi duit. Ok selesai. 

Saya juga cuba bayar guna JomPay. Mudah saja. Pilih sahaja JomPay dari website bank anda dan masukkan biller code 9027, terus minta TAC no. Isi  dan selesai.
Pembayaran cara sekarang mudah. Tapi pastikan duit ada dalam akaun ya. Saya ni tradisional sikit, lebih suka bayar Cash. Jarang sekali shopping atas talian. Hanya guna pembayaran atas talian bila betul-betul perlu sahaja. Macam sekarang ni kalau tak saya pergi pejabat agama je bayar sebab memang lalu situ. Laju sangat duit tu keluar bila bayar atas talian. 

Sumber: Website Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak





Monday, April 20, 2020

Bahasa Arab itu mudah.

Sekarang nilah berani nak kata mudah sebab dah belajar. Dulu-dulu selalu dimomokkan susah sampai takut nak masuk kelas. Yang susah tu bab tatabahasa dan komunikasinya. Sama ajelah belajar Bahasa Melayu pun. Jenuh aih masa tingkatan 6 ... morfologi, sintaksis.. ha entah apa ke bendanya lagi. Belajar pun tak ingat. Sama juga dengan Bahasa Inggeris, sampai sekarang idaklah dapat menguasainya.

Kelas Bahasa Arab yang saya masuk, bahasa Quran. Perkataan Bahasa Melayu pun banyak diserap daripada bahasa Arab jadi sebenarnya banyak yang kita boleh faham. Lagipun kelas yang saya masuk ni tak ada peperiksaan, so enjoylah belajarnya.

Kami gunakan buku Nahu Mudah terbitan Telaga Biru untuk faham dulu perkara asas tentang Bahasa Arab dan setelah habis buku ni terus masuk al Quran dan pratikkan pelajaran tatabahasa yang telah dipelajari. Udah dekat 3 tahun rasanya, masih di surah al-Baqarah lagi. Kelas seminggu sekali, bila cuti umum dan cuti sekolah je, kami pun cuti juga.  Masa Covid-19 ni pun cutilah, jadi kena belajar sendiri supaya tidak lupa

Buku ni ada banyak cetakan, kadang kala dalamnya berubah. Jadi kalau orang duk bergaduh-gaduh eh apasal yang ni lain, yang tu lain. Tengok je cetakan berapa ya. Tapi sikit jelah berubahnya tapi bendanya betul.

Perkataan bahasa Arab ni sebenarnya terdiri daripada tiga je:

  1. Kata nama
  2. Kata kerja
  3. Partikel.

Kata nama, samalah seperti kita belajar dalam bahasa Melayu, ada tanda-tanda untuk mengenalnya.

Kata kerja pula terdiri daripada :

  1. Kata kerja masa lampau
  2. Kata kerja masa kini
  3. Kata perintah

Jika dalam bahasa Inggeris, past tense dan present tense di mana perkataannya akan berubah mengikut masa.

Partikel pula ada:

  1. Kata nafi (tidak/tiada)
  2. Kata sendi (di/dalam/pada)
  3. Kata hubung (dan)
  4. Kata tanya (adakah)

Ada 'sifir' yang perlu diingat untuk kata ganti nama diri. Malah kata kerjanya akan berubah mengikut 14 kata ganti nama diri. Sedangkan sifir darab (x) 1 hingga 12 pun kita boleh hafal dan ingat sampai sekarang, begitu jugalah yang ni. Jika diulang-ulang, insya-Allah boleh. Tambahan pula zaman sekarang banyak ustaz/ustazah yang mempunyai teknik-teknik untuk belajar dengan mudah. Eh sifir tu bukan maksudnya angka ya, tapi 14 kata ganti nama diri yang perlu dihafal dan difahami penggunaan kata kerjanya. Takut pula orang nak belajar nanti, udah macam matematik

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni jom kita belajar bahasa Arab melalui kata dasar (root word). Sama macam dalam bahasa Melayu ada kata dasar dan kata imbuhan. Manfaatkan internet percuma masa PKP ni untuk tengok video kat sini. Dari awal PKP telah diiklankan tapi saya baru sempat tengok video ke-2. Saya memang dah ada buku teksnya beli masa Pesta Buku tahun lepas.
Dalam ni ada mini kamus kata dasar bagi perkataan yang sering digunakan.