Monday, March 19, 2018

Persiapan sebelum menunaikan umrah (30 Nov-10 Dis): Tip 3


1.Untuk persediaan mental, baca buku Prof Muhammad Kamil ni dulu. 1st time pergi jadi tak boleh bayangkan lagi. Malah dapat banyak tip juga daripada buku-buku ini.

2.Duit. Berapa banyak yang perlu dibawa bergantung kepada individu itu sendiri memandangkan hotel, flight dah bayar lebih awal cuma fikir duit belanja sahaja. Semasa di Mekah hotel hanya menyediakan sarapan jadi kena beli sendiri lunch dan dinner.  Masa saya pergi RM100 = SR86.20.
Beli SR500 tapi , tak ada duit kecil, sekeping itu je yang dia ada. Ramai orang pergi masa tu, duit habis. Susah nak belanja kalau duit besar je yang ada. Akhirnya masa di KLIA 2 beli SR100 lagi.
Dengan  SR600, barang yang shopping idak le banyak, kurma sekilo, kekacang sekilo, jubah sepasang, coklat seklio, sejadah 10, sim card, buku 2 buah dan yang lain untuk makan. Tapi makan pun berkongsi, SR28 pun cukup untuk 3 orang makan. Nasi banyak dan ayamnya besor.  Di sana senang nak membeli, barangan. Tiada yang dijual dalam bentuk sen. Semuanya pakai duit kertas. 25 riyal, 70 riyal, 120 riyal. Jadi memang senanglah untuk mengira-ngira tu.

3. Tag Nama

Setiap jemaah diberi tag nama dan perlu dipakai setiap masa apabila keluar. EPL Travel dah sediakan tag nama beserta dengan waktu solat di Mekah dan Madinah. Senang tengok.


4. Beg travel
Beg ni senang nak simpan barang peribadi. Gantung di leher dan dalam telekung. Warnanya memang yang dijual ikut warna badan untuk keselamatan. Dalam ni biasanya senang isi duit, gula-gula dan buku doa yang nipis.

5. Buku doa
Buku ni bawa sendiri, muat dalam beg tadi. Sementara tunggu waktu masuk boleh baca. Buku nipis je. Baca dan cuba ingat.

6. Ubat-ubatan. Ubat-ubat yang memang biasa bawa, paracetamol,  koyok, ubat batuk, selesema.  Saya ikut petua, Prof Muhamad Kamil yang bawa ubat sakit tekak untuk sedekah. Alhamdulillah, sihat sepanjang berada di sana dan ubat-ubat yang dibawa tidak digunakan cuma bila rasa tekak tak selesa (perit) hisap ubat sakit tekak. Memang sentiasa bawa dalam sling beg yang kecil. Bila dengar je orang lain batuk-batuk, saya pass ubat ni tak kiralah orang daripada negara manapun. Ada sekali tu waktu subuh, saya duduk sebelah orang Turki. Tunduk lemah. Bunyi pun dah mengerang. Mamai-mamai. Orang di sebelahnya, maknya mungkin, urut-urut belakang. Jemaah di depan saya, Pakistan/India suruh beri minum air, “Water, water.” Saya dengar  tu terus tawarkan air zam-zam dalam botol saya (memang sentiasa bawa). Dia tak nak.  Lepas azan, solat sunat. Dia bangun nak solat. Mak dia suruh duduk. Dia nak berdiri jugak. Saya yang solat sebelah boleh terasa goyang-goyangnya dia. Boleh pulak dalam hati, berat ni kalau timpa. Uwaa. Habis solat.  Saya keluarkan ubat sakit tekak ni bagi dia. “Sugar?”  “Yes!” dia nak buka pembalut pun dah menggeletar. Saya bukakan. Baru dia nampak segar sikit. Fuh! Ni mesti hipo. (kalau penghidap kencing manis, dah biasa ni hipo.)  Sedekah boleh bermacam-macam cara, kan?

7. Sim kad

Sebenarnya tak berniat nak beli sebab tak nak terlalu menggunakan telefon (biasalah kalau ada data, kan) Plan guna wifi di hotel sahaja. Rakan sebilik saya beli sim kad tapi ada masalah pula, tak boleh guna, tak ada apa-apa signal. Orang yang jual tu kata telefon tu yang bermasalah dan bukannnya sim kad. Apa lagi nak dikata, dah bayar. Halal je RM30. Orang lain punya elok je. Tapi ada juga yang kata telefon kena ada roaming baru dia berfungsi. So tak tau punca sebenar. Saya pun saje cuba-cuba sim kad kawan tu dalam phone saya. Eh boleh je ada signal. Hahaha so dia jual pada saya RM20. Diskaun. Nak harapkan wifi hotel, kat lobi je berfungsi, kat bilik lebih banyak tiada dari ada. Ohh hati-hati juga nak beli sim kad sebab ada yang datang jual kat lobi tu harga lebih tinggi. Ada yang jual RM60 tapi plannya sama. Dan dia pun bukanlah penjual yang sah sebab nampak polis, dia pun lari. Silap-silap telefon kita pun dibawa lari sama sementara nak tukar sim kad tu. Kadang-kadang orang baru sampai, mana sempat nak check semua tu, kan.

8.Alat kira (zikir)

Ni mak beli di Daiso. Ia sebenarnya bukanlah khusus  untuk nak kira berapa banyak zikir yang dibaca, pramugari pun guna ni nak kira penumpang.  Masa di Masjidilharam, sementara tunggu masuk waktu, tengah guna ni, saf depan orang Turki macam nak bercakap dengan saya. Dia nak tengok benda ni. Beri pada dia dan dia click click Subhannallah, Subhannallah. Aiseh comel je tengok mak cik tu macam dapat permainan baru. Dia pun tunjuk dekat kawan-kawan dia.

9. Botol air (kanan)
Botol air ni senang nak bawa air zam-zam balik ke hotel. Botol kecil sahaja senang masuk dalam beg. Setiap kali solat mesti isi dan akan isi dalam botol besar sikit di bilik hotel.

10. Botol spray wuduk
Tujuannya untuk memudahkan kita ambil wuduk kalau terbatal. Tak perlulah susah payah pergi keluar.  Teringat saya pada orang Kuwait yang saya cerita sebelah saya sebelum ni. Dia nampak ada orang bawa botol spray besar. Rasanya orang Malaysia tu sebab rata-rata tengok orang Malaysia banyak bawa. Dia tanya saya, “Why she bring the spray?”
“Easier to take wudhu. No need to go out. So many people here.”
“OOoo,”.
“I also have,” saya pun keluarkan botol spray kecil saya .
Dia gelak je.

Sunday, March 18, 2018

Persiapan sebelum menunaikan umrah (30 Nov-10 Dis): Tip 2


Keperluan yang perlu dibawa.

Berikut merupakan cadangan daripada EPL Travel Agency: Saya tumpukan pada yang wanita:

  • Telekung  - 2 (saya bawa 3 helai)
  • Mini telekung - 2 (saya bawa sehelai)
  • Baju kurung  -3 (saya bawa 4 helai)
  • Baju maxi - 2
  • Baju tidur & Seluar panjang – 2
  • Stokin -3 (saya bawa 4 pasang) –elok bawa yang tebal senang untuk tawaf dan saie.
  • Sarung tangan -1 (saya bawa sebab katanya taif sejuk tapi tak pakai pun masa kat sana)
  • Tuala mandi -2 ( EPL kata kadang kala ramai datang time yang sama jadi mungkin tak ada disediakan, just prepare at least 1. Saya bawa 1)
  • Baju sejuk /Sweater – 1 (sebelum nak pergi diberitahu cuaca sejuk 18 celcius tak silap. Tapi saya bawa sweater 1 dan inner 3)
  • Selipar getah – 1
  • Kasut biasa-1
  • Buku Doa (kecil) – diberi oleh Travel Agency
  • Penyangkut baju – senang basuh baju. Di Madinah saya basuh baju.
  • Gunting kecil – untuk tahallul nanti. Tapi ingat taruh dalam bagasi. Jangan pula letak dalam cabin bag. Kena tahan nanti.
  • Beg sejadah
  • Lencana nama – diberi oleh Travel Agency
  • Ubat gigi
  • Berus gigi
  • Sabun - kalau ikutkan duduk hotel mesti dah ada sabun tapi saya bawa juga sebab plan nak basuh baju.
  • Uncang besar – untuk kasut
Uncang untuk selipar
Buku doa yang diberi oleh travel agency

Lip balm
Bawa juga losyen dan lip balm. Di sana, kulit saya kering habis walaupun dah disapu losyen. Tapak kaki pecah-pecah dan adakala berdarah. Nak pijak pun sakit tapi Alhamdulillah masa tawaf dan saie saya terlupa kaki sakit. Jalan biasa je. Lepas tu baru terasa.


Persiapan sebelum menunaikan umrah (30 Nov - 10 Dis): Tip 1


1.Dokumen yang diperlukan sebulan sebelum perjalanan.
a)Pasport – pastikan tarikh tamatnya. Tempoh sah laku lebih daripada 6 bulan tarikh akhir kita balik. Jangan dah nak hantar ke travel agency nanti baru check. Kelam kabut dibuatnya. Tanggungjawab sendiri semak.

b)Gambar 4 keping  4 x 6 cm.
Selain daripada guna untuk visa, gambar ni juga untuk tag nama di beg (2 beg) dan tag nama yang perlu dipakai sepanjang perjalanan. Gambar untuk visa ni lain, muka nampak besar. Kena pakai tudung hitam/gelap. Kalau nak nampak cun, pakai siap-siap di rumah, kalau pakai warna lain, redha ajelah pinjam tudung yang ada kat kedai gambar tu. Alamak cam makcik-makcik je. Hehe bukan mak cik bawang ya.

c)Sijil suntikan meningitis. Boleh cucuk di mana-mana klinik tapi harga nampaknya berbeza-beza ikut negeri. Di Kuala Kangsar, RM130. Pastikan buku yang kita dapat tu ada tanda tangan dan cop. Buku ni kena bagi travel agency juga untuk mohon visa.

d)Salinan sijil lahir perlu disahkan di Jabatan Pendaftaran Negara. Ya jangan lupa bawa yang original masa nak sahkan ya.  Haha pengalaman ni, dah depan pintu JPN baru perasan bawa yang fotostat je. Cuba nasib kot kerani tu boleh sahkan.  Ikut prosedur ya. Tak boleh. Hehe. Nasib baik JPN tu jaraknya hanya 10 minit sahaja daripada rumah. Oleh kerana mahram saya pak cik iaitu adik kepada bapa saya, jadi perlu juga sijil lahir pak cik dan sijil lahir bapa saya. Perlu pengesahan JPN juga.  Kalau dulu sijil-sijil sekolah kena pengesahan ketua kampung, atau pegawai gred A (? lupa) tapi untuk umrah ni hanya  JPN sahaja yang mempunyai kuasa untuk megesahkan.

Dokumen yang diperlukan bagi wanita dan kanak-kanak. (seperti yang diberitahu oleh travel agency)

i)Wanita berumur 45 tahun dan ke atas, pasport sahaja tanpa mahram.

ii) Wanita berumur kurang daripada 45 tahun, pasport bersama mahram. Jika suami sebagai mahram perlu sertakan sijil nikah sebagai bukti suami isteri. Jika anak atau ahli keluarga lain sebagai mahram sertakan sijil lahir kedua-dua pihak sebagai bukti hubungan adik-beradik atau keluarga. Harus dapatkan letter of consent daripada suami jika suami tidak ikut serta atau jika yang bujang perlukan letter of consent daripada bapa jika ikut bapa saudara.

iii) Anak perempuan 15 tahun dan ke atas, pasport dan bermahramkan ayah. Sertakan sijil lahir anak perempuan sebagai bukti hubungan anak-beranak. Jika adik-beradik lelaki yang menjadi mahram, sertakan sijil lahir sebagai bukti hubungan adik- beradik. Dapatkan letter of consent daripada ayah.

iv)Anak lelaki 18 tahun dan ke bawah, pasport bersama mahram ibu/ayah. Sertakan sijil lahir anak lelaki sebagai bukti.

v)Anak perempuan bawah 14 tahun dan anak lelaki bawah 13 tahun, pasport dan mahram ibu bapa bersama sertakan sijil lahir anak dan sijil nikah ibu bapa. Perlukan pengesahan pejabat agama untuk sijil nikah.

vi) Lelaki berumur 18 tahun dan ke atas, pasport sahaja. Walaubagaimanapun hanya anak lelaki yang berumur 18 tahun dan ke atas sahaja boleh menjadi mahram.

e)Letter of consent  (surat  keizinan ) perlu diisi dan disahkan oleh Pesuruhjaya Sumpah. Bayaran RM4.  Untuk contoh surat keizinian, boleh google. Ada je yang boleh dimuat turun.


2. Kursus umrah. Travel agency memang ada menyediakan kursus sebulan sebelum tarikh pergi secara percuma. Tapi tak salah jika kita nak pergi ke tempat lain. Banyak  travel agency yang turut buat kursus percuma kerana derang pun nak promote agensi sendiri. 

Saturday, March 17, 2018

Pasca Umrah – Umrah 30 Nov- 10 Dis (Bahagian Akhir)


Ibadat umrah sebenarnya mengambil masa tak sampai pun sehari, singkat je, Tapi adakah umrah kita itu diterima? Sendiri yang boleh merasakannya. Adakah amalan yang kita lakukan sia-sia? Ramai yang berpuasa tetapi hanya dapat lapar dan dahaga. Ramai yang solat tetapi sambil lewa sekadar memenuhi ruang waktu solat. Oleh itu pasca umrah inilah cabaran yang lebih hebat sebenarnya. Mata-mata yang memandang, aik teruk lagi pulak perangai lepas balik umrah. Ha, kita nilai diri sendiri.

Sepatutnya, tumpuan pada ibadat yang dilaksanakan bukanlah tujuannya untuk shopping. Peluang yang diberi kena rebut sebaiknya. Kalau sebelum ini, memilih datang awal ke masjid semata-mata untuk merebut tempat yang lebih hadapan, dan mengelak dari kesesakan orang ramai. Tetapi selepas balik, kadang-kadang tu mula la datang perangai setelah azan didengar baru bergerak mengambil wuduk. Berbeza sebelum ini yang sudah ada di atas sejadah. Malah konsep ziarah semasa umrah patut berterusan dengan membaca kisah nabi dan sahabat dan perjuangan mereka menegakkan Islam di bumi ini.

Menjaga wuduk juga merupakan amalan biasa ketika di sana memandangkan lebih banyak masa dihabiskan di masjid. Tapi kalau di Malaysia, hmm. Walaupun dah batal, tunggu masa nak solat nanti baru ambil semula. Di sana, punyalah jaga makan dengan tidak memilih untuk makan makanan yang banyak angin supaya tak batal selalu hehe tetapi balik Malaysia, bedal semua.

Cabaran lain ketika sampai di Malaysia. Diuji kesihatan. Orang lain kata biasalah tu, jet lag lagi.  Masa dalam kapal terbang masih rasa sihat lagi. Turun sahaja dah  mula sok sek sok sek selesema.  Datang pula demam dan batuk. Makan ubat yang ada sahaja. Bila dah seminggu tak baik-baik batuk, kenalah datang hospital. Jangan lupa kena beritahu di kaunter baru balik umrah. Kalau tak, doktor pun tengok semacam je. Muka nak marah sebab saya cakap, “Saya selesema, batuk dan demam, baru balik umrah.”

“Kenapa tak beritahu di kaunter tadi?”

“Eh! Tak demam dah, batuk je.” Doktor suruh nurse ambil suhu. Ok je.

“Ok, lain kali kalau balik umrah beritahu kaunter,” baru nampak sikit senyuman doktor tu.

Bukannya saya tak tahu penyakit MERS-CoV  tu tapi lupa nak beritahu. Alangkan balik Jepun pun saya boleh demam, jadi saya rasa biasa sahaja bila balik travel tak sihat sebab perubahan cuaca. Apapun bersyukur dapat menjadi tetamu Allah di sana.

Kredit: En Azrul.


Friday, March 16, 2018

Hikmah Dicipta Pelbagai Bangsa – Umrah 30 Nov-10 Dis (Bahagian 14)

Kota Mekah dan Madinah tumpuan manusia daripada seluruh dunia. Pelbagai gelagat yang dapat dilihat. Daripada sudut mazhab pun dah nampak perbezaannya. Mazhab lain, kaki wanita bukan aurat. Oleh itu kita akan lihat wanita yang solat bukanlah seperti mazhab syafie. Malah ketika sujud pun tangan dikembangkan. Kalau kita duduk di antara mereka ini, kita akan dapat rasa sedikit kejanggalan bila pergerakan tidak selari.

Masuk waktu je, menghadap kiblat dan solat. Ni kat depan hotel.
Cara hidup pun berbeza. Ada yang kelihatan kasar tingkah lakunya. Rata-rata di kalangan warga Asia Tenggara lebih lembut (sopan santun?). Masa zaman ibu bapa kita pergi Mekah dulu pun mereka dah selalu menceritakan tentang orang daripada negara lain yang besar-besar jika dibandingkan dengan kita. Kadang kala senang sahaja mereka pegang-pegang kepala kita. Ni yang tak tahan. Kepala jangaan main-main ya. Haha. Saya selalu kena bila dah duduk menunggu waktu solat (ketika sudah berada dalam saf) tiba-tiba terasa tangan atas kepala. Mereka nak melangkah ke depan. Mentang-mentang dia tinggi, main capai apa yang ada. Kalau kitalah, kan cuit sikit bahu orang tu minta laluan ke depan.

Ada satu masa, lepas habis solat dan nak keluar masjid, tak pasal-pasal dirempuh oleh seorang jemaah Turki yang berbadan besar mengejar kawannya. Tak sempat pasang kuda-kuda, sedar-sedar terjatuh atas jemaah lain. Nasib baik orang tu tengah duduk. Kalau berdiri, mau jadi macam domino. "Sorry! Sorry," tebal muka. Bangun sendiri. Orang tu pun sapu-sapu tangan dia sakit sebab tiba-tiba ada orang jatuh. Heheh.
Dataran Masjid Nabawi

Kadang-kadang kasihan juga melihat ada yang takut menuruni eskalator hinga ada yang bersujud (entah kenapa) kat situ. Itu belum lagi kes yang hampir terjatuh eskalator. Banyak kali juga tu.  Ada juga yang berbaring dan tidur di dataran Masjid Nabawi sementara menunggu waktu solat. Bila masuk waktu terus solat. Di dataran tu memang ramai orang lalu lalang dengan selipar. Kalau kitalah, mesti rasa kotor, kan. Tapi bila difikir-fikirkan kembali, kita sendiri tak tahu betapa susahnya mereka nak datang ke sini. Niatnya sama seperti kita, untuk beribadat kepada Allah dan untuk melihat makam Rasulullah. Rata-rata orang Malaysia bayar beribu untuk datang ke sini. Malah masing-masing boleh memilih hotel yang dekat dengan masjid mengikut pakej yang disediakan. Bersyukur.

Surah al-Hujurat:13

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah mencipta kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).

Inti pati ayat tersebut, hanya orang yang bertakwa yang mulia di sisi Allah. Tidak kira dia datang pakej mahal atau murah, hanya Allah yang tahu ketakwaan kita.

Oleh kerana Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan dah biasa bertoleransi, oleh itu kita boleh serasi bersembang dengan pelbagai bangsa daripada seluruh dunia. Walaupun lebih banyak komunikasinya dalam bahasa isyarat je.
Banyak quran waqaf yang diletak di hadapan dan di belakang. Ada yang target untuk khatam quran di Mekah jadi memang masa banyak dihabiskan untuk baca quran.

Kebiasaan ketika di masjid sama ada di Madinah atau Mekah, jemaah akan memberi sedekah berbentuk duit kepada tukang cuci masjid. Ketika saya duduk bersebelahan orang Kuwait, kawan saya di sebelah sedekah duit kepada tukang cuci ni. Tiba-tiba orang Kuwait ni tanya saya, " Why she give money to her?"

“Sedeqah”.

Dia macam tak puas hati, “But why?”

You know sedeqah?” (bahasa Arab tu kan, tak kan dia tak tahu?)

Yeah, but why?”

Adoilah.  Saya beritahu, “Because she work here, clean the mosque (betul tak grammar haha)”

But why?”

Saya pun tak tahu nak cakap macam mana lagi. Akhirnya, “Just give”. Baru dia faham dan dia pun keluarkan duit, tetapi dia bukan bagi pada orang yang cuci masjid tu, dia bagi pada orang tua yang kelihatan daif yang duduk di hadapan kami.

Dalam hati saya, ‘La dibaginya pada orang tu pula?’. Tapi bila difikir-fikirkan semula.  Kalau sedekah lebih baik kita bagi orang yang daif. Orang yang kerja di situ mesti dah dapat gaji, kan. Lagipun memang dia muda lagi dan boleh bekerja. Ya saya rasa saya faham kenapa  orang Kuwait ni tak faham bila kita sedekah pada orang kerja di situ. Betul juga cara dia tu. Situasi yang membuatkan saya berfikir sementara tunggu waktu solat.

Habis solat, sementara nak balik orang Kuwait tu tanya saya, “You have clinic?”

“Ha? Doctor?”

“Uhuk uhuk,” dia buat-buat batuk.

“Sorry, I don’t understand.”

Dia tanya kawan sebelah dia.

Tissue.”

Oh, but I only have wet tissue.” Sambil bagi kat dia. Ceh rupanya dia cakap jenama Kleenex. Hahaha, orang Kuwait ni pun macam orang Malaysia juga, ubat gigi nama lain dipanggil Colgate, mi segera nama lain panggil Maggi. Opps.

Air zam zam boleh ambil di belakang untuk hilangkan dahaga atau sapu muka hilang mengantuk.

Rajin-rajinlah bersembang dengan warganegara lain. Kalau duduk di kalangan bangsa kita sendiri, last-last jadi medan bercerita panjang  pulak. Ada sekali tu, sebelah orang Malaysia. Cerita-cerita, bersoreh. Rupanya senior sekolah saya. Batch yang paling awal.  Akhirnya berlanjutanlah  kepada cerita putu piring, laksa Kuale dan apam tangkup. Weh la tidak memanfaatkan waktu meraih pahala di dalam masjid. Heheh, lebih baik duduk dekat-dekat orang negara lain.  Lebih banyak zikir dan baca quran.

Monday, March 12, 2018

Ziarah Taif- Umrah 30 Nov – 10 Dis (Bahagian 13)

Sedari awal, ramai yang seronok kerana dalam itinerary ada ziarah ke Taif. Taif ni boleh diibaratkan seperti Cameron Highland sebab tempat ni sejuk. Walaupun Cameron Highland tu idaklah sejuk sangat dah, tapi masih boleh dibuat perbandingan untuk beritahu sejuknya macam mana.  Perjalanan melalui Mina, tempat melontar. Dapat jugalah tengok khemah jemaah Malaysia yang duduk di sini ketika musim haji. Perjalanan lebih kurang 2 jam lebih, rasanya. Huhu ada masa terlelap. Sini kawasan pergunungan, kiri kanan nampak gunung.

Jika ada umur yang panjang dan dimurahkan rezeki, sampailah ke sini lagi untuk menunaikan haji.

Pintu gerbang Abdullah Ibn Abbas
Keadaan bandar Taif. 

Destinasi pertama ke Masjid Abdullah Ibn Abbas. Solat zohor di sini. Sementara nak menunggu zohor tu semakin ramai juga rombongan dari negara lain yang turut ziarah di sini. Mutawif bercerita terperinci kisah hidup Sayidina Abdullah ibnu Abbas di ruang masjid tersebut sambil menghadap bandar Taif.  Beliau merupakan salah seorang sahabat dan sepupu baginda Rasulullah SAW. Beliau dikurniakan kefahaman ilmu yang luas dan menjadi salah seorang ahli tafsir berkat daripada doa baginda.
Menziarah Masjid Ku'u 


Orang dari negara lain pula mengambil giliran

Seterusnya kami ke Masjid Ku’u atau Masjid Siku. Mutawif bercerita tentang dakwah Nabi yang tidak diterima oleh orang Taif. Waktu itu tahun ke-10 kerasulan Nabi SAW. Ketika itu bapa saudara baginda Abu Talib telah meninggal dunia. Tidak lama kemudian Nabi SAW kehilangan Khadijah. Isteri baginda wafat. Bertambahlah kesedihan baginda hingga dinamakan tahun itu tahun dukacita. Quraisy semakin berani memusuhi Nabi. Nabi tidak mempunyai pelindung lagi. Walaupun pelbagai kesulitan yang ditempuhi, Baginda tidak pernah mengeluh dan masih terus berdakwah.  

Pandai mutawif ni bercerita tentang kisah baginda Nabi berdakwah di Taif hingga boleh mengalirkan air mata bila mendengarnya.  Kalau saya nak ceritakan semula, mungkin tak sampai pula emosi tu. Oleh itu saya rujuk buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim untuk menceritakan kembali.

Nabi SAW bersama khadamnya Zayd bin Harithah menuju ke Taif dengan berjalan kaki. Rasulullah  SAW tinggal di Taif selama sepuluh hari. Dalam tempoh itu semua orang kenamaan Taif ditemui oleh baginda dan diajaknya kepada Islam. Tetapi mereka berkata, “Keluarlah dari negeri kami.” Mereka menghasut orang-orang bodoh supaya menyerang Nabi SAW.

Justeru, apabila Nabi SAW hendak keluar, baginda telah dikejar oleh orang-orang bodoh dan khadam-khadam mereka sambil memaki hamun dan menjerit-jerit ke arah Nabi. Akhirnya orang ramai mula berkumpul lalu membuat dua barisan serta melontarkan batu ke arah baginda. Di samping itu mereka juga turut melemparkan kata-kata keji. Mereka membaling batu ke arah tumit baginda sehingga kasut baginda dibasahi darah. Zayd bin Harithah cuba melindungi Nabi SAW dengan memperisaikan dirinya sehingga luka kepalanya.

Begitulah terus menerus orang-orang bodoh itu memperlakukan terhadap baginda SAW sehingga memaksa baginda berlindung di sebuah kebun. Baginda mengadu kepada Tuhan kerana merasa sedih dan gundah tidak ada yang mahu beriman dengannya. 

Ya Allah, kepadamu aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, Engkau adalah Tuhan orang-orang yang lemah, Engkau adalah Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan aku ini? Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan untuk menyerangku? Atau adakah kepada musuh yang Engkau serahkan urusan kepadanya? Jika Engkau tidak memurkaiku maka aku tidak akan mempedulikan, akan tetapi kesejahteraan daripada-Mu adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-Mu menimpa kepadaku atau Engkau menjadi murka kepadaku. Bagi-Mu keredhaan sehingga Engkau benar-benar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-Mu jua.”

Dikatakan di tempat nabi duduk mengadu tu, batu pun tak tahan dengar akan kesedihan nabi hingga lekuk batu tu. Secara keseluruhan bandar Taif ni, memang nampak banyak batu-batu besar.

Sambung seterusnya dalam Jejak Rasul. Panjang lagi kalau tulis.




Seterusnya ke Masjid Saidina Ali. Masuk dalam ni sejuk macam ada aircond. Batu-batu dindingnya sejuk. Menara di situ boleh naik hingga atas. Di sini pula mutawif menceritakan tentang Perang Hunayn. Lanjutan daripada perang tersebutlah Perang Taif. Berhadapan masjid inilah mutawif ini menunjukkan tempat bandar yang dikepung. Sebahagian besar orang-orang Hawazin dan Thaqif yang tewas lari ke Taif bersama panglima perang mereka iaitu Malik bin Awf al-Nasriy. Mereka berkubu di Taif. Di situ baginda bermarkas dan mengambil tindakan mengepung mereka yang berada dalam kubu itu. Pengepungan tersebut mengambil masa yang agak lama, ada yang kata 40 hari, 20 hari, lebih 10 hari, 18 hari dan 15 hari.
Masjid Saidina Ali, kalau kita sandar di batu ni memang terasa sejuk,

Ruang dalam telah dibentang sejadah.

Kebiasaan tempat pelancongan ada diterangkan papan tanda sejarah tempat tersebut, tapi di sini memang tiada penerangan.  Hanya berharap kepada mutawif untuk bercerita. Mutawif kata, kebanyakan tempat sejarah dijaga oleh orang luar dan bukan kerajaan sendiri. Ini kerana kerajaan tak mahu ada berlaku perkara khurafat di kalangan orang yang datang menziarah.
Nasi Arab, satu talam ni untuk 4 orang. Fu yoo,

Lunch time hampir masuk waktu asar. Di restoran tu ada dibahagikan bilik-bilik yang ditutup (tabir) dengan kain. Satu bilik 8 orang. Dalam keadaan teruja nak makan nasi Arab, rupa-rupanya time tu dah masuk Asar, pekerja-pekerjanya turun solat. Solat berjemaah diutamakan. Masuk waktu sahaja semuanya turun. Nasi tak berhidang lagi. Melopong. Haha.  Kami conquer tempat tu.  Pergi ke sini, ke sana dalam waktu tu. Nak pergi kedai yang terletak di bawah tu pun sama aje tutupnya. Semua pekerja pergi solat. Kami dah solat jamak tadi. Akhirnya setelah setengah jam, baru terhidang dua talam besar nasi dengan ayam dan kambing. Satu talam 4 orang. Sedap, tapi idaklah boleh habis. Punyalah banyak. Kami bungkus bawa balik. Sayang sungguh tak habis. Luar biasa portion tu. Sedangkan yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia suku suku separuh. Aik tiba-tiba teringat hehe selalu bedal je.

Kemudiannya kami ke Pasar Buah. Dalam setengah jam sahaja. Warna-warni buah cantik di dalam gambar. Bolehlah rasa dulu sebelum beli.  Memang ramai yang menjual tapi kebanyakan gerai jual benda yang sama jadi tidaklah kami berjalan hingga ke hujung kedai. Di sini juga dijual pewangi ros. Dan Taif memang terkenal dengan ros. Sepatutnya ada dua lawatan lagi selepas itu, kilang ros dan lupa dah lagi satu tapi sebab kami pun dah sampai lewat, kilang tutup.
Miqat Qarn al-Manazil

Perjalanan balik, kami singgah solat maghrib. Istimewa, tempat miqat juga Qarn al-manazil. Sesiapa yang hendak buat umrah lagi, boleh niat di sini. Ini merupakan tempat miqat jemaah Malaysia yang terus ke Mekah, tapi derang niat dari dalam kapal terbang la. Istimewalah, kami dapat tengok tempat ni dari jalan darat.     



Esok merupakan hari akhir di Mekah, perlu melakukan Tawaf Wada iaitu tawaf selamat tinggal.

Ya Allah, janganlah Engkau jadikan tawaf dan ziarah dari hamba ini sebagai kali yang penghabisan di Baitullah. Jika ditakdirkan ziarah ini adalah kali yang terakhir maka hamba pohonkan syurga sebagai gantinya dengan segala kemurahan Engkau, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Terdapat beberapa larangan selepas Tawaf Wada dan tak boleh lagi membeli – belah kecuali beli makan untuk lunch, tidak boleh tidur, tidak boleh selfie dan tidak boleh sedekah. Kalau dilakukan juga dam seekor kambing.  Tawaf Wada merupakan langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidilharam. Larangan itu hanya selepas melepasi sempadan tanah haram.

Pusing-pusing di sekitar bandar Jeddah dulu sebelum ke lapangan terbang Jeddah. Flight pukul 4.30 pagi. Alhamdulillah kami selamat tiba waktu maghrib di KLIA.

Sunday, March 11, 2018

Ibrah umrah –Umrah 30 Nov -10 Dis (Bahagian 12)


Masa untuk melakukan umrah tidak lama, beberapa jam sahaja. Ketika balik daripada Hudaibiyah iaitu tempat miqat, letak dulu barang di hotel dan intai dulu siaran langsung keadaan tawaf ramai orang ke tak.
Dataran sentiasa sesak dengan orang ramai


Allahuakbar! Allahuakbar!Tersergam kaabah depan mata. Berpusu-pusu orang memasuki ruangan tawaf, walaupun nampak padat daripada siaran langsung di tv tadi, Alhamdulillah ada ruang-ruang kosong. Melihat lampu hijau menandakan pusingan bermula. Istislam. Bismillahi allahuakbar walillah ilhamd. Baca segala zikir dan doa tanpa melihat buku panduan yang diberi. Kadang kala dari belakang terdengar zikir-zikir yang orang lain baca, terikut bersama. Tak perlu jalan laju-laju, relax sahaja sedar-sedar sudah cukup 7 pusingan.

Di sekeliling kaabah ada sekatan-sekatan/binaan (katanya untuk naik taraf telaga zam-zam) menyebabkan pusingan tawaf jadi kecil. Itulah komen dari orang lain yang pernah mengerjakan haji atau umrah sebelum ini. Malah ianya lebih memudahkan lagi. Memandangkan zohor hampir masuk, mencari tempat untuk solat zohor sebelum melakukan saie.
Setiap kali waktu solat akan cari ruang-ruang yang boleh nampak kaabah. 

Datang awal sebelum subuh boleh buat tawaf sunat.

Melihat ramainya manusia dengan berpakaian putih semuanya, kadang kala terbayang beginilah keadaan di padang mahsyar nanti. Ketika ramai bersesak  dan berhimpit mulalah berfikir-fikir, “cepatlah habis” lagi-lagi jika semasa tawaf, panas teriknya terasa.  Ketika saie, boleh berehat minum zam-zam dan tahu setelah 7 kali maknanya habis dan setelah selesai boleh balik ke hotel yang selesa, tapi di akhirat, penantiannya tidak diketahui bila penghujungnya.

Biasakan sekarang ni, orang bila dah marah, “Aku takkan maafkan kau, carilah aku kat padang mahsyar nanti!” Amboi! Amboi! Macam kita ni tak ada dosa ya. Nak tunggu ketika diberikan kitab sama ada dapat di sebelah tangan kiri atau kanan pun dah berdebar ( Surah Al-Insyiqaq). Semua orang fikir hal sendiri je.  Jadi seharusnya bayangan orang ramai di Mekah ini sama seperti di padang Mahsyar patut disimpan imejnya di kepala.

Ketika di sini, masa dirasakan bergerak pantas. Pagi buat tawaf sunat, masuk zohor, balik hotel beli makan, baru habis makan, masuk asar pula, balik sekejap eh dah dekat nak maghrib terus  menunggu isyak.  Setelah selesai solat isyak, pergi cari makan malam dan singgah-singgah kedai yang terdapat berdekatan hotel. Keesokannya rutin yang sama.
Lepas waktu isyak, memang sesak orang ramai. Ada yang jalan berangkai-rangkai, dengan berkerusi roda lagi. Silap-silap kita pun dilanggar kerusi roda. 

Seperti biasa, bila ramai orang, jalan pun tak nampak jadi panduannya dongak ke atas tengok menara jam ni untuk arah balik ke hotel.
Kedai-kedai di bawah hotel ini merupakan destinasi sebaik habis solat isyak. Tinjau-tinjau.

Walaupun kebanyakan barang yang dijual sama, tapi sebenarnya kedai yang di  terletak lebih dalam kadang kala boleh lagi tawar menawar. Alah guna BM sahaja.

Hari Jumaat buat pertama kalinya solat Jumaat. Dinasihatkan oleh travel agency datang 3 jam sebelum masuk waktu untuk mendapatkan tempat di dalam. Saya baru belajar bahasa Arab peringkat tadika maksudnya level bawahla,  Alhamdulillah seronoknya bila dapat faham beberapa patah perkataan dalam khutbah. Perkataan yang biasa dipelajari. Umpama bermain jigsaw puzzle, perkataan rumah, barakah, sakinah, Saidatina Khadijah, Nabi Muhammad SAW dan beberapa perkataan ringkas lain. Seakan faham apa yang nak disampaikan. Jelas sebutannya bukan macam percakapan biasa yang kadang kala laju.

Alhamdulillah.