Monday, March 12, 2018

Ziarah Taif- Umrah 30 Nov – 10 Dis (Bahagian 13)

Sedari awal, ramai yang seronok kerana dalam itinerary ada ziarah ke Taif. Taif ni boleh diibaratkan seperti Cameron Highland sebab tempat ni sejuk. Walaupun Cameron Highland tu idaklah sejuk sangat dah, tapi masih boleh dibuat perbandingan untuk beritahu sejuknya macam mana.  Perjalanan melalui Mina, tempat melontar. Dapat jugalah tengok khemah jemaah Malaysia yang duduk di sini ketika musim haji. Perjalanan lebih kurang 2 jam lebih, rasanya. Huhu ada masa terlelap. Sini kawasan pergunungan, kiri kanan nampak gunung.

Jika ada umur yang panjang dan dimurahkan rezeki, sampailah ke sini lagi untuk menunaikan haji.

Pintu gerbang Abdullah Ibn Abbas
Keadaan bandar Taif. 

Destinasi pertama ke Masjid Abdullah Ibn Abbas. Solat zohor di sini. Sementara nak menunggu zohor tu semakin ramai juga rombongan dari negara lain yang turut ziarah di sini. Mutawif bercerita terperinci kisah hidup Sayidina Abdullah ibnu Abbas di ruang masjid tersebut sambil menghadap bandar Taif.  Beliau merupakan salah seorang sahabat dan sepupu baginda Rasulullah SAW. Beliau dikurniakan kefahaman ilmu yang luas dan menjadi salah seorang ahli tafsir berkat daripada doa baginda.
Menziarah Masjid Ku'u 


Orang dari negara lain pula mengambil giliran

Seterusnya kami ke Masjid Ku’u atau Masjid Siku. Mutawif bercerita tentang dakwah Nabi yang tidak diterima oleh orang Taif. Waktu itu tahun ke-10 kerasulan Nabi SAW. Ketika itu bapa saudara baginda Abu Talib telah meninggal dunia. Tidak lama kemudian Nabi SAW kehilangan Khadijah. Isteri baginda wafat. Bertambahlah kesedihan baginda hingga dinamakan tahun itu tahun dukacita. Quraisy semakin berani memusuhi Nabi. Nabi tidak mempunyai pelindung lagi. Walaupun pelbagai kesulitan yang ditempuhi, Baginda tidak pernah mengeluh dan masih terus berdakwah.  

Pandai mutawif ni bercerita tentang kisah baginda Nabi berdakwah di Taif hingga boleh mengalirkan air mata bila mendengarnya.  Kalau saya nak ceritakan semula, mungkin tak sampai pula emosi tu. Oleh itu saya rujuk buku Sirah Nabawiyah terbitan Yadim untuk menceritakan kembali.

Nabi SAW bersama khadamnya Zayd bin Harithah menuju ke Taif dengan berjalan kaki. Rasulullah  SAW tinggal di Taif selama sepuluh hari. Dalam tempoh itu semua orang kenamaan Taif ditemui oleh baginda dan diajaknya kepada Islam. Tetapi mereka berkata, “Keluarlah dari negeri kami.” Mereka menghasut orang-orang bodoh supaya menyerang Nabi SAW.

Justeru, apabila Nabi SAW hendak keluar, baginda telah dikejar oleh orang-orang bodoh dan khadam-khadam mereka sambil memaki hamun dan menjerit-jerit ke arah Nabi. Akhirnya orang ramai mula berkumpul lalu membuat dua barisan serta melontarkan batu ke arah baginda. Di samping itu mereka juga turut melemparkan kata-kata keji. Mereka membaling batu ke arah tumit baginda sehingga kasut baginda dibasahi darah. Zayd bin Harithah cuba melindungi Nabi SAW dengan memperisaikan dirinya sehingga luka kepalanya.

Begitulah terus menerus orang-orang bodoh itu memperlakukan terhadap baginda SAW sehingga memaksa baginda berlindung di sebuah kebun. Baginda mengadu kepada Tuhan kerana merasa sedih dan gundah tidak ada yang mahu beriman dengannya. 

Ya Allah, kepadamu aku mengadu lemahnya aku ini, serta kurangnya daya upayaku serta hinanya aku di kalangan manusia. Wahai Yang Maha Pengasih di antara yang mengasihani, Engkau adalah Tuhan orang-orang yang lemah, Engkau adalah Tuhanku, kepada siapa Engkau serahkan aku ini? Adakah kepada orang jauh yang mencari kesempatan untuk menyerangku? Atau adakah kepada musuh yang Engkau serahkan urusan kepadanya? Jika Engkau tidak memurkaiku maka aku tidak akan mempedulikan, akan tetapi kesejahteraan daripada-Mu adalah lebih luas untukku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menerangi segala kegelapan serta menyebabkan urusan dunia dan akhirat ini menjadi baik, agar janganlah kemurkaan-Mu menimpa kepadaku atau Engkau menjadi murka kepadaku. Bagi-Mu keredhaan sehingga Engkau benar-benar meredhainya, tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan pertolongan-Mu jua.”

Dikatakan di tempat nabi duduk mengadu tu, batu pun tak tahan dengar akan kesedihan nabi hingga lekuk batu tu. Secara keseluruhan bandar Taif ni, memang nampak banyak batu-batu besar.

Sambung seterusnya dalam Jejak Rasul. Panjang lagi kalau tulis.




Seterusnya ke Masjid Saidina Ali. Masuk dalam ni sejuk macam ada aircond. Batu-batu dindingnya sejuk. Menara di situ boleh naik hingga atas. Di sini pula mutawif menceritakan tentang Perang Hunayn. Lanjutan daripada perang tersebutlah Perang Taif. Berhadapan masjid inilah mutawif ini menunjukkan tempat bandar yang dikepung. Sebahagian besar orang-orang Hawazin dan Thaqif yang tewas lari ke Taif bersama panglima perang mereka iaitu Malik bin Awf al-Nasriy. Mereka berkubu di Taif. Di situ baginda bermarkas dan mengambil tindakan mengepung mereka yang berada dalam kubu itu. Pengepungan tersebut mengambil masa yang agak lama, ada yang kata 40 hari, 20 hari, lebih 10 hari, 18 hari dan 15 hari.
Masjid Saidina Ali, kalau kita sandar di batu ni memang terasa sejuk,

Ruang dalam telah dibentang sejadah.

Kebiasaan tempat pelancongan ada diterangkan papan tanda sejarah tempat tersebut, tapi di sini memang tiada penerangan.  Hanya berharap kepada mutawif untuk bercerita. Mutawif kata, kebanyakan tempat sejarah dijaga oleh orang luar dan bukan kerajaan sendiri. Ini kerana kerajaan tak mahu ada berlaku perkara khurafat di kalangan orang yang datang menziarah.
Nasi Arab, satu talam ni untuk 4 orang. Fu yoo,

Lunch time hampir masuk waktu asar. Di restoran tu ada dibahagikan bilik-bilik yang ditutup (tabir) dengan kain. Satu bilik 8 orang. Dalam keadaan teruja nak makan nasi Arab, rupa-rupanya time tu dah masuk Asar, pekerja-pekerjanya turun solat. Solat berjemaah diutamakan. Masuk waktu sahaja semuanya turun. Nasi tak berhidang lagi. Melopong. Haha.  Kami conquer tempat tu.  Pergi ke sini, ke sana dalam waktu tu. Nak pergi kedai yang terletak di bawah tu pun sama aje tutupnya. Semua pekerja pergi solat. Kami dah solat jamak tadi. Akhirnya setelah setengah jam, baru terhidang dua talam besar nasi dengan ayam dan kambing. Satu talam 4 orang. Sedap, tapi idaklah boleh habis. Punyalah banyak. Kami bungkus bawa balik. Sayang sungguh tak habis. Luar biasa portion tu. Sedangkan yang dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia suku suku separuh. Aik tiba-tiba teringat hehe selalu bedal je.

Kemudiannya kami ke Pasar Buah. Dalam setengah jam sahaja. Warna-warni buah cantik di dalam gambar. Bolehlah rasa dulu sebelum beli.  Memang ramai yang menjual tapi kebanyakan gerai jual benda yang sama jadi tidaklah kami berjalan hingga ke hujung kedai. Di sini juga dijual pewangi ros. Dan Taif memang terkenal dengan ros. Sepatutnya ada dua lawatan lagi selepas itu, kilang ros dan lupa dah lagi satu tapi sebab kami pun dah sampai lewat, kilang tutup.
Miqat Qarn al-Manazil

Perjalanan balik, kami singgah solat maghrib. Istimewa, tempat miqat juga Qarn al-manazil. Sesiapa yang hendak buat umrah lagi, boleh niat di sini. Ini merupakan tempat miqat jemaah Malaysia yang terus ke Mekah, tapi derang niat dari dalam kapal terbang la. Istimewalah, kami dapat tengok tempat ni dari jalan darat.     



Esok merupakan hari akhir di Mekah, perlu melakukan Tawaf Wada iaitu tawaf selamat tinggal.

Ya Allah, janganlah Engkau jadikan tawaf dan ziarah dari hamba ini sebagai kali yang penghabisan di Baitullah. Jika ditakdirkan ziarah ini adalah kali yang terakhir maka hamba pohonkan syurga sebagai gantinya dengan segala kemurahan Engkau, wahai Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.


Terdapat beberapa larangan selepas Tawaf Wada dan tak boleh lagi membeli – belah kecuali beli makan untuk lunch, tidak boleh tidur, tidak boleh selfie dan tidak boleh sedekah. Kalau dilakukan juga dam seekor kambing.  Tawaf Wada merupakan langkah terakhir bagi jemaah untuk meninggalkan Masjidilharam. Larangan itu hanya selepas melepasi sempadan tanah haram.

Pusing-pusing di sekitar bandar Jeddah dulu sebelum ke lapangan terbang Jeddah. Flight pukul 4.30 pagi. Alhamdulillah kami selamat tiba waktu maghrib di KLIA.

No comments: