Friday, May 10, 2019

Nasi Ulam Perak

Anda mampu makan ulam-ulam sebanyak 17 jenis sekaligus? Ha, hebat tak hebat orang Perak, boleh makan kesemuanya pada satu masa hahaha. Jom pekena nasi ulam puasa ni. Untuk orang yang ada tanam ulam-ulam ni memang mudah nak buat bila-bila masa sahaja tapi yang tidak menanam kenalah membeli. Kalau di pasar tu adalah orang siap menjual ulam-ulam untuk nasi ulam ni. Tapi kalau seringgit pun takdelah banyak mana. Akhirnya nasi lebih banyak daripada ulamnya.

Ini ulam-ulam yang digunakan:

Dari kiri atas : 1)Pegaga  2) Belalai Gajah 3)Tujuh Bilah 4) Mengkudu 5)Daun Kari 6) Daun Kunyit 7)Cekur  8)Bunga kantan

Dari kiri bawah: 9)Daun limau purut 10)Serai 11)Daun ati-ati 12)Kaduk 13)Bangun-bangun 14)Daun Gajus  15) Ulam raja.16)Kesum/Cenohom (bahasa Perak) 17)Kemangi
Hiris kesemua daun tadi. Untuk mudahkan menghiris daun-daun yang kecil, masuk dalam daun yang besar. Boleh dihiris bersama-sama. Hiris bawang besar dan halia. Boleh hiris awal dan simpan dalam peti ais dulu. Dah nak berbuka nanti baru gaul dengan nasi.

Sebelum nak gaul dengan nasi, pastikan nasi tu sejuk dulu. Janganlah lepas masak terus buat nanti lecur daun-daun tu. Ohh jangan lupa goreng ikan masin sementara tu. Agak-agaklah besar mana nak goreng ikan masin tu mengikut portion nasi.

Proses menggaul: Gaul nasi dengan kerisik. Tu yang warnanya gelap-gelap sikit. Kerisik tu buat sendiri juga. Tambah ikan masin tadi dan gaul dengan ulam-ulam.  Saya tambah sikit telur masin yang potong kecik dan gaul sekali. Makan macam tu saja pun dah sedap.

Wednesday, May 8, 2019

Kanji Masjid Ubudiah

Setiap kali datangnya Ramadan, pastinya hidangan yang dinanti, kanji atau orang luar Kuala ni panggil bubur lambuk. Tradisi zaman-berzaman. Bulan Syaaban lagi sudah diuar-uarkan jika ada jemaah yang ingin memberi sumbangan duit dalam penyediaan kanji.

Disember tahun lepas, ketua muslimat merangkap orang kuat dalam penyediaan kanji ni telah kembali ke rahmatullah. Semoga roh Cikgu Napisah dicucuri rahmat. Al-fatihah.

Terima kasih kepada sukarelawan bahagian menghiris, mengacau, dan segala kerja yang telah berkorban masa dan tenaga untuk menyediakannya.  Sekitar 11 pagi ke atas dah siap boleh ambil secara percuma.
Gambar dari fb page Masjid Diraja Ubudiah Kuala Kangsar



Gandingan hebat kalau makan kanji mesti ada kerabu apa-apa pun. Yang ni kerabu tauge dan telur masin.  
Ayuh kita mengimarahkan masjid lebih-lebih lagi sepanjang bulan Ramadan ni. Memetik kata penceramah tetap kuliah muslimat Ubudiah, Ustaz Jamaludin. "Bukannya jadi jemaah wal kanji wal moreh je". Hahaha.


Saturday, May 4, 2019

Chef Nic – Food Travelogue


      Tak kisahlah sekarang ni K-Pop ke, K-Drama berkuasa, saya tetap tengok cerita cina Hong Kong juga. Sama juga masa dulu-dulu popular drama Jepun, pilih cerita Hong Kong juga. Kalau Tahun Baru China tu memang tengok cerita cina ajelah sebab kebanyakan channel tayang filem baru. Cuma sekarang ni tak adalah ikut cerita-cerita bersiri TVB dah tapi tengok filem atau rencana je. Tak kuasa nak tengok cerita panjang-panjang, nanti melekat depan TV.

      Nicholas Tse memang popular zaman-zaman saya. Ada rupa, pandai berlakon dan cerita dia selalu best. Anak pelakon, Patrick Tse. Menyanyi juga tapi tak tahu lagu apa yang popular. Seiring peredaran masa, tertengok cerita Chef Nic ni tiga atau empat tahun lepas di 8tv. Jadi Chef la pulak. Memang terkejutlah sebab dulu imejnya artis yang suka memberontak. Zaman tu, berita hiburan artis dari Hong Kong hanya ada di Majalah Galaxy setiap bulan atau Media Hiburan setiap minggu. Beritanya pun satu muka surat sahaja.

    Season awal Chef Nic, dia masak di studio. Season yang sekarang ni dia pergi ke luar negara bersama artis jemputan yang berasal dari HK atau China. Untuk season yang ni Chef Nic banyak meluahkan perasaan. Mula masuk dalam industri hiburan di usia muda. Meraih populariti. Sering berjauhan dari keluarga sebab sibuk kerja hingga tak banyak bercakap dengan mereka. Dan dia memang mengaku zaman tu suka memberontak.  Namun sejak jadi chef ni dia bertambah rapat dengan keluarga dan melatih dia jadi sabar.



      Season yang baru ni konsepnya Nicholas dan tetamu jemputan akan ke rumah penduduk tempatan. Berkongsi pengalaman kehidupan dan akan masak untuk mereka. Ada satu babak dia tunjuk mainan tradisional dan basikal tua.  Dia kata seronok zaman tu sebab main sahaja. Ada juga dia tunjuk handphone lama yang besar tu (cordless). Dia kata teringat pergi sekolah bawa bekas air macam telefon tu. Ha! Di Malaysia pun sama, kan. Ada bekas air tu. Kiranya kalau orang Malaysia bersembang dengan orang Hong Kong pun boleh masuklah kisah-kisah nostalgia ni. Allah pun mencipta pelbagai ras  manusia untuk kita saling mengenali.

      Episod minggu lepas, penggambaran di Xian yang ada patung Terracota tu. Chef Nic berjumpa dengan penduduk di situ yang bekerja sebagai konduktor bas dan bekerja 7 hari seminggu. Kiranya 365 harilah. Boleh ambil cuti dalam 24 atau 25 hari setahun. Setiap kali Tahun Baru Cina pun kerja weh, sampai mak dan bapanya sedih tak dapat makan bersama. Tapi nak buat macam mana,  dah kerja. Pergi kerja awal pagi, balik malam. Ya belajar sesuatu dari situ, bersyukur kita ni. Ha, saya suka tengok rancangan begini. Ada feel.

     Di akhir cerita, Chef Nic sediakan makanan macam Yee Sang (dia sebut nama lain) tapi dekat Xian ni tak biasa makan macam tu. Chef terpaksa mengajar gaul Yee Sang tu rata-rata dan tarik tinggi bersama-sama.

     Pernah juga season sebelum ini jemputannya Lin Dan. Saya suka tengok personalitinya dalam rancangan tu dan jadi suka dan minat  pulak haha. Padahal kalau tengok dia berlawan dengan Lee Chong Wei, gayanya berlagak gila. Kerek je.

Eh terpanjang pula review cerita ni, hehe sebab suka tengok.

     Untuk minggu ni jemputannya penyanyi dan komposer Jay Chou. Gandingannya dalam Sing! China(macam The Voice) .Hari Ahad di 8tv jam 5 petang.



Friday, May 3, 2019

Pulut Tanak Menjadi Tapai



Orang belah-belah Utara ni, kalau sarapan, biasa makan pulut tanak dengan gula kabung.

Tanak tu masak lah ya. Manalah tau, ada pula yang terpaksa membuka kamus. Pulut tu masak dalam periuk nasi aje pun senang. Kacau sesekali. Jangan tinggal terus macam masak nasi tu. Kalau rasa keras, masuk air lagi. Ikut sendiri nak teksturnya macam mana.  Siap untuk dimakan. Tabur kelapa yang ditaruh garam sikit atas pulut tu dan makan dengan gula kabung atau gula melaka atau gula merah. Kalau pulut jagung pula biasanya saya makan dengan gula putih tu.

Kalau tak habis makan, apa nak buat ya?

Ha senang je, jadikannya tapai. Ambil ragi dan hancur-hancurkan. Tapis dan tabur atas pulut tu. Simpan dalam almari untuk dua atau tiga hari.  Nanti dia akan keluar airnya. Kreatifkan orang dulu, dari sarapan ke minum petang.
Banyak keluar airnya. Manis.

Yang ni kita tabur dengan kelapa yang ditaruh garam sikit. Sedap.
Tapai ni boleh makan dengan aiskrim (sesuai yang vanilla). Ragi yang elok akan membuatkan hasil tapainya pun elok.


Tuesday, April 30, 2019

Biskut Kapal : Makanan poket nipis.


Orang dulu-dulu kalau makan petangnya tak rumit. Kebanyakannya yang ada dekat rumah dan dipelbagaikan.

Contoh: Ni mak panggil biskut kapal, entah mana datangnya nama tu. Zaman 60-an dah ada lah gamaknya kalau mak pun masih teringat lagi. Saya pun ingat-ingat lupa biskut ni. Zaman sekolah rendah adalah makan. Biskut ni tawar je tapi sedap je makan.

Tekstur biskut ni macam lompong je.


Biskut ni boleh makan cicah ngan ayor kopi atau teh di waktu petang. Tapi kalau dah bosan boleh cuba begini:

Gaul-gaul sebati dah boleh makan.

Patah-patah, kan. Pastu tabur nyor dan gula sikit. Siap untuk dimakan. Dulu-dulu kan duduk kampung banyak rumah yang ada pokok kelapa. Belah, kukur dah boleh jadi makanan petang. Tu yang kuih-kuih kita banyak guna nyor ni, lepat pisang, tepek pisang, sagu, lempeng nyor, pulut nyor, lopes dan beraneka lagi. 

Resipi yang sama, biskut tu diganti dengan jagung rebus. Jadi pula satu makanan lain. Tak perlu banyak belanja. Itulah sebabnya dipanggil makanan poket nipis. Orang-orang dulu bahasanya berseni.


Wednesday, April 17, 2019

Google Lens

Dulu-dulu saya kurang sikit pengetahuan berkaitan IT ni, orang lain dah bertukar kepada smart phone tapi saya masih dengan telefon Nokia 3310 je. Klasik.  Orang lain dah berzaman guna WhatsApp (WA) tapi saya hanya guna setelah adik beri telefon dia yang dia tak gunakan dah. Saya rasa, sayalah orang yang paling last dari kalangan rakan sebaya masuk group-group WA ni. Ketinggalan sungguh. Kalau di komputer pula, tak berapa berani nak tekan apa yang luar biasa sebab takut rosak. Nanti kena hantar kedai. Mahal.

Saya hanya berani nak explore sesuatu ni bila beli telefon sendiri yang storagenya kecik. Jadinya terpaksa belajar bagaimana nak guna secara maksimum.  Lagipun telefon bawah RM500 sahaja, kalau main tekan-tekan je tak de la rasa mahal sangat nak baiki.

Pernah telefon ni hilang icon phone. Entah macam mana, nak uninstall apps lain terbuang icon phone sekali. Telefon bunyi, tapi tak tahu nak angkat di mana sebab gambar ganggang telefon tu tak ada. Nak telefon orang pun tak boleh. Haha. Ada sekali tu pula terpadam apps yang memang siap ada dalam tu, fb rasanya. Sebab saiz besarlah, pandai-pandai nak tukar fb lite pulak. Sudahnya biul sedikit telefon tu. Tapi sekarang ni rasa takut tu dah hilang. Pakai tekan je apa-apa yang rasa ingin tahu.

Panjanglah pula sejarah ya,  haritu hasil tekan-tekan jumpa pula Google Lens ni. Google Lens ni dapat search gambar yang sama dengan gambar kita dan kenal pasti nama bunga atau tumbuhan serta tempat (banyak lagi fungsi tapi itu je yang tahu buat masa ini). Dan dari situ kita akan dapat maklumat terus mengenai sesuatu gambar tu tanpa pergi ke Google. Buka gambar di Google Photos :

Clik imej kamera/lensa ni.

Akan nampak flash ke atau macam bintang-bintang bergemerlapan ni. Dia akan tanya kita nak cari apa. Saya pilih similar images

Hasilnya keluarlah gambar yang serupa dengan gambar yang kita tangkap tu. Jika kita nak baca lebih lanjut maklumat tentang gambar tu, click sahaja di mana-mana.


Saya cuba pula gambar ni untuk tahu apa yang dia keluar. Dan dia tunjuk bunga matahari sebab itu je maklumat yang lebih jelas.

Siap penerangan nama saintifik dan gambar bunga matahari yang lain.

Yang ni dia dapat detect sama gambar dengan Sand Dunes Vietnam. Jadi kita pun boleh tengok gambar orang lain dan style dia bergambar.
Jangan pula pilih gambar collage begini. Pening dia nak cari berkaitan apa. 

Jom terus explore apa yang ada dalam telefon kita.

Tuesday, April 16, 2019

Zombie Kucing


Kalau tengok cerita Zombi Kampung Pisang, kita boleh tertawa melihatnya walaupun nak digambarkan mukanya seram, tetapi bila tengok kucing yang dijangkiti penyakit Sporo ni, kita akan jadi sedih sangat bila tengok keadaannya. Kenapa dikatakan zombie? Sebab dia boleh berjalan macam biasa tapi mukanya dah ‘berlubang’ seperti kawah akibat jangkitan. Boleh google gambar, tak sanggup nak menangkap gambar bila tengok keadaan macam tu.

Sporo merupakan sejenis penyakit kulit yang lambat sembuh. Mulanya lukanya kecil (sebesar syiling 5 sen) sahaja di atas dahi tapi dalam masa 3 hari dah kelihatan menanah, membesar dan berlubang sekitar dahi sehingga mata hanya boleh dibuka kecil sebab nanah dan air tu mengalir.

Mengimbas semula 6 tahun lalu, ketika itu saya tak tahu sangat pasal penyakit ni. Ia menjangkit kucing pendatang yang selalu datang rumah.  Cuba mengubatinya dengan kunyit dan air gamat tetapi tak mahu baik malah setiap hari kelihatan luka membesar. Setelah dibawa ke klinik veterinar kerajaan, katanya tak boleh buat apa di situ tapi boleh cuba bawa ke klinik swasta di Taiping. Biasanya susah naik baik dan kos agak tinggi.

Dia boleh berjalan dan makan macam tiada sakit apa-apa tetapi mukanya seperti ‘dimakan’ sesuatu. Bila dah lama tu, memang keadaan dah teruklah, tiada selera makan dan lebih banyak duduk. Tidur tersengguk-sengguk. Lalat menghurung muka yang berlubang. Tiada daya upaya nak bawa ke Taiping pula. Cuma bersih luka sahaja yang mampu.

Dalam waktu yang sama, saya pula luka di jari tengah. Terbelah sikit sahaja di sendi jari terkena gunting. Tampal dengan plaster je. Dekat seminggu tak baik pula luka tapi jadi macam bisul. Geram pula mencari punat nak keluarkan nanah. Luka biasa je jadi rawat sendiri di rumah. Tiba-tiba dia jadi macam ada bonggol tapi tiada air atau nanah. Barulah pergi Hospital Kuala Kangsar. Doktor bagi ubat sapu antifungal.

Dekat seminggu, tiada apa-apa perubahan. Pergi hospital lagi dan doktor bagi ubat sapu yang lain dan ubat makan rasanya. Antibiotik kut. Tak ingat. Besarnya luka tu hingga orang bank boleh tegur, kenapa? Masa tu ada urusan nak cap jari. Kiranya macam pakai cincin batu akik orang dulu-dulu yang boleh kelihatan jelas.

Tiada perubahan juga ubat kali kedua, sampai doktor yang merawat tu pun pening-pening tak tahu kenapa dan dia panggil doktor di sebelah untuk tengok. Akhirnya dia bagi surat rujukan untuk pergi ke Hospital Ipoh bahagian kulit (dermatologi).

Sebelum nak pergi ke Ipoh tu elok pulak kawan bercerita pasal kucing yang sporo ni dan boleh berjangkit. Saya macam tak percaya je, eh takkanlah boleh berjangkit sebab sebelum ni pun saya bersihkan luka kucing tu. Tak ada apa-apa pun.

Semasa di Hospital Ipoh, saya ceritakan jari luka kena gunting tapi tak baik-baik. “Doktor, bolehkah luka kucing berjangkit dengan saya sebab sebelum ini saya ada bersentuhan juga dengan kucing tu tapi tak ada apa-apa pun. Kucing tu ada sporo.”

Doktor tu siap bawa saya ke bilik ketua dia dan terpaksalah mengulang balik cerita. Keputusannya, kena ambil sampel untuk test (biopsi). Kena buat pembedahan kecil ambil kulit (isi?) dekat lengan. Seriau dibuatnya sebab suruh baring nak bedah walaupun kecik je sebenarnya. Hihi. Lepas tu ambil darah dan tunggu keputusan. Minggu depan datang semula.

KEPUTUSANnya, betul ada jangkitan dari kucing tu. Sebelum ini memang saya cuci luka kucing dan tiada apa-apa. Tetapi bila tangan saya tu luka, masa tulah luka tu berjangkit. Memang tak sangka sungguh sebab luka saya tu kecik je. Doktor bagi ubat makan, berkotak-kotak sampai tak muat tangan membawanya dan ubat sapu untuk luka di jari. Saya tak ingat nama ubat sebab dah lama. Dalam masa beberapa minggu, ambil darah dan jumpa doktor semula. Alhamdullillah tiada jangkitan lagi dah.

Walaupun ada rasa risau (belum sampai trauma) bila tengok kucing mula luka ni tetapi memang tak akan ketepikan mereka. Malah akan lebih berhati-hati mengendalikannya.  Parut masa ambil sampel masih kelihatan. Itu jadi peringatan. Silalah pakai sarung tangan untuk mengendalikan luka-luka ni. Bacaan lanjut untuk mengetahui penyakit sporo ini boleh dibaca di sini. Jelas penerangannya.