Thursday, January 24, 2019

Rawatan Kucing Pendatang

Rumah saya memang tempat kucing selalu datang. Kadang orang buang ke kawasan ni. Nak beri makan tu bukanlah masalah besar. Kadang diberi makan sampai jadi manja dan nak duduk dalam rumah. Kucing saya yang seekor ni bukannya boleh berkongsi. Dia nak duduk sekor-sekor dia je.

Kuntum, Si Tuan Rumah

Ada juga kucing yang dah diberi makan tapi liar je. Kalau nak pegang, dia lari. Masalah timbul bila kucing pendatang ni sakit.

Biasa kalau musim biang ni kucing jantan suka bergaduh, mulalah luka sana luka sini. Dan biasanya juga kucing ni kena bisul, tetiba je bengkak dan bila pecah keluar nanah dan air. Euww. Mulalah lukanya besar. Post ni tak akan letak gambar-gambar luka, geli la pulak kalau orang tengah makan, kan. So gambar yang sudah ditapis sahaja.

Kalau kucing pendatang yang manja ni, walaupun boleh dipegang, bila kita nak bawa dia pergi klinik, mulalah garang ya amat. Abis kita dicakarnya. Kucing yang liar ni lagi lah tak boleh nak bawa langsung. Jadi apa rawatan yang sesuai untuk kucing ini? Dua barang je penting. Sama ada serbuk kunyit dan air gamat. Ini untuk penyakit yang tak kritikal ya, kalau luka terlalu besar perlu bawa ke klinik untuk dijahit.

Kalau kucing tu luka, tabur je serbuk kunyit atas luka tu. Ia akan mengeringkan. Buat sampai luka tu kering.

Kucing ni tau datang time makan. Liar je. Tabur je serbuk kunyit tu. Janganlah pula ditambah garam, udah macam nak goreng ikan pula. 

Kalau yang bisul pecah tu pula saya campak je air gamat. Memang la pedih, tapi dah dia tak nak dibawa ke klinik, buat la rawatan alternatif. Lebih elok kalau dapat tekap dengan tisu dan letak dekat luka tu. Tapi biasanya jaranglah dapat, dia nampak kita pegang botol tu pun dah agak-agak nak lari. Nak taruh pun perlu diumpan dengan makanan terlebih dahulu.

Yang penting, walaupun kucing pendatang, rawat dia setakat yang kita mampu. Klinik veterinar kerajaan harganya berpatutan.
Kucing ni saya dah salah diagnosis hihi. Sebab dia liar dan susah nak dibawa, saya just  pergi klinik dan beritahu  masalah dia. Esok-esoknya masih tak baik sampailah dia lemah tak larat nak melawan baru boleh bawa ke klinik.



Wednesday, January 16, 2019

Koleksi eBook Perpustakaan Negara Malaysia

Masa belajar dulu rajin juga datang ke Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk pinjam buku. Masa tu bas Intrakota namanya.. uish lama tu.  Turun di Kampung Baru / Jalan Raja Muda Abd Aziz dan melintas tapak binaan (kini dah ada bangunan kat situ, lupa nama) untuk naik jejantas ke PNM.

Dah bertahun jugalah tak pergi. Kini, anda boleh pinjam buku dengan lebih mudah dengan hanya buka portal PNM atau download apps PNM eReader melalui playstore. Sebenarnya saya dah lama daftar, sama ada setahun atau dua tahun lepas tapi buku yang pinjam mungkin dua je. Sebabnya, buku yang menarik tak ada.  Bila ada yang menarik, orang lain pinjam dan kena tunggu. Akhirnya jadi malas dan terus tak ingat nak buka lagi.

Tahun baru ni dapat emel dari PNM yang memaklumkan lebih banyak kategori buku untuk dipilih. Barulah teringat nak buka semula. Mari kita tengok.

Saya dah daftar sebelum ini jadi LOGIN sahaja tapi sebab dah lama, lupa password. Minta tukar password.
Bagi pengguna baru boleh pilih REGISTER

Buku ni dah ada orang pinjam. Jadi saya kena tunggu.

Pilih RESERVE. Nanti dia akan e-mel dan beritahu bila buku ni sudah sedia untuk dipinjam.

Saya pergi ke muka depan untuk cari buku yang lain, 4 buku yang dipilih pun dah ada orang pinjam. Pilih ikut kategori, ada buku yang belum boleh dipinjam dan kena tunggu 22 Jan. Ada kategori yang hanya 3 atau 4 buku je.  Tak ada yang menarik. Tension pulak jadinya.  Akhirnya pinjam sahaja buku apa-apa.

Ok Hilal Asyraf dikenali. Saya pinjam buku ni.



Kita akan diberi pilihan nak baca bagaimana. Saya pilih untuk baca di awan. Cloud haha.


Buku telah berjaya dipinjam untuk 7 hari. 

BTS ni popular kan? Reserve lah buku ni.

Jom kita membaca. Walaupun PNM jauh di mata tapi dekat di hati.

Monday, January 14, 2019

Ada Aku Kesah?

Buku ni ada peringatan: Bahasa yang digunakan dalam buku ini tidak mengikut gaya bahasa dan tatabahasa yang betul kerana mengandungi elemen penceritaan dalam perbualan seharian bagi menampakkan gaya lebih bersahaja. Penggunaan bahasa ini adalah tidak digalakkan untuk tujuan rasmi.


Buku ni mak yang beli. Bukan buku masakan ya.

Seperti yang kita tahu, Chef Wan terkenal dengan kelantangannya. Tak kiralah orang komen dia pun. Ada dia kisah? Ha gitulah.

Masih teringat lagi rancangan Kuali yang diacarakannya bersama Laila Johari. Masa tu saluran TV tak banyak, memang rancangan ini sahajalah rancangan masakan yang menarik ditonton. Di dalam buku ini kita dapat lihat sisi lain Chef Wan.

Tajuk: Ada Aku Kesah?
Penulis: Chef Wan
Penerbit: Buku Pojok PLT, Kelana Jaya, PJ.
ISBN: 978-967-2018-13-1
Harga: RM25.00 (Kedai Buku Popular)     Cetakan pertama 2018
M/S: 166 halaman

Sinopsis:
Ada aku kesah? Kalau ada yang terasa. Ada aku kesah? Kalau ada yang melenting. Ada aku kesah? Kalau ada yang membenci.

Ada manusia memang sukar menerima teguran. Sentiasa menganggap diri betul. Malah ada yang sanggup menindas manusia lain kerana merasakan diri mereka berkuasa dan mempunyai segalanya.

That’s why muncul orang seperti saya yang akan membawa golongan ini kembali berpijak di bumi nyata dengan kritikan pedas dan telus. Jangan risau, semua tidak akan terlepas daripada bebelan saya.

Komen:
Colourful buku ni. Menarik. Tengok sahaja muka depannya dengan warna merah terang. Dalamnya bermacam-macam warna lagi ditambah dengan gambar-gambar Chef Wan yang pelbagai aksi.

Di bahagian awal banyak cerita tentang kehidupan keluarganya yang susah dan pernah tidak cukup makan tapi Chef Wan memang rajin bekerja. Macam-macam dibuatnya. Masa dia masih seorang akauntan di sebuah bank dia juga buat bisnes Amway, Avon, Tupperware, Niko sampailah menjual kain batik Indonesia dan baju kurung. 

Hujung minggu buat party Tupperware. Kerana gigih dan rajin bekerja selalunya dia mendapat pendapatan RM25 ribu sebulan. Kadang lebih daripada itu pun ada. Gaji kerja bank memang tak usik langsung. Fuyoo, saya ni minat juga Tupperware. Tapi pakai sendiri. Bukannya bertambah duit, makin kurang duit lagi adalah sebab membeli.  Adoii.  

Kerajinannya memang kena diikut. Memang layaklah kalau selama ni dia membebel macam –macam perkara yang tidak memuaskan hati.  Namun begitu walaupun mulutnya becok, bila dia menceritakan kisah ibunya nampak kasih sayangnya. Kebanyakan cerita pasti terselit kisah ibunya sehinggakan bila kita baca tu, tertanya-tanya jugalah kenapa dia tak cerita pasal bapanya. Jeng jeng jeng  kenapa?. Sila baca sendiri. 




Wednesday, January 9, 2019

Google Photos – Gudang Gambar Anda


Hujung 2015 dah tahu kewujudannya bila main tekan-tekan apa yang ada di telefon. “Eh apa pula gambar logo kincir angin ni?”. Tapi masa tu tak tahu sangat pasal Google Photos ni.
 
Gambar-gambar ni daripada telefon lama. Walaupun dah tukar telefon ia tetap ada sebab simpan secara Cloud. Macam Telegram, secara cloud. Bandingkan dengan whatsapp kalau kita tak buat back up, bila tukar telefon baru kita tak dapat baca mesej-mesej yang lama. Berbeza dengan Telegram, walaupun tukar telefon lain kita masih boleh baca mesej yang lama.

Tahun 2018 lah baru saya explore pasal Google Photos ni setelah 6 sebab ni:

1)Storage telefon kecil
Telefon yang ada sekarang ni storage 16gb je. Dah lah nak taruh apps macam-macam, simpan gambar, video dan dokumen lagi. Dari masalah kita cari penyelesaiannya. 

2)Back up
Bila main tekan-tekan Photos ni dan belek-belek, “Eh ni gambar dari telefon lama yang dah rosak dan tak boleh buka tu dah.”  Tak kisahlah telefon lama tak pakai dah ke, ada dua nombor ke, janji akaun gmail anda sama, gambar-gambarnya semua akan tersimpan di situ. Gambar  atau video yang kita tangkap sync dengan akaun Google kita tu.Cuba bayangkan kalau orang curi telefon anda dan dia selfie. Ha anda dapat tengok muka pencuri tu.

3)Boleh buka di laptop
Kita boleh buka di laptop selagi masih guna akaun gmail tu. Log in untuk tengok.

4)Penyimpanan gambar secara teratur
Anak saudara suka main phone. Dia ingat ada games dalam tu. Takdenya. Untuk tidak mengecewakan mereka, tunjuk gambar/video derang masa kecil, gambar kucing, gambar atuk dan opah dll. Tengok beberapa kali pun derang enjoy je. Photos ni simpan gambar ikut bulan dan album juga. Kita boleh simpan ikut tema dengan menamakan fail tersebut.

5)Rujukan semula gambar yang dirasa tidak penting.
Ada sekali tu waktu malam elektrik tak ada tapi bila tengok jiran sebelah ada pula. Sudah pastilah kita punya rumah yang bermasalah. Buat aduan di TNB dan TNB perlukan nombor tiang. Masalahnya,tiang dekat rumah jiran hadapan dan perlu menempuhi jalan yang semak-samun. Memang ada tulis tapi tulah orang lain yang simpan. Tak ingat letak mana.  ‘Rasa-rasa macam  ada tangkap gambar tiang sebelum ni.’ Belek punya belek dalam gallery telefon, tak ada. Cari dalam Photos,  ada rupanya. Dalam gallery telefon dah delete. Ye lah gambar tiang je, rasa macam tak penting nak memenuhkan dalam telefon, tu yang padam.

Situasi kedua, bapa masuk wad. Doktor perlukan maklumat perubatan dia, berapa kali buat rawatan radioterapi, nama ubat yang diambil sebelum ni. Kadang saya ni ambil gambar random sahaja sebab nak hantar dekat whatsapp group family. Belek punya belek dalam Photos rupanya memang ada pun saya tangkap gambar jadual rawatan dan nama ubat, akhirnya dapat tunjuk dekat doktor jawapan yang lebih tepat. Sebenarnya jarang sekali saya tangkap gambar nama ubat, tetapi masa tu senarai ubatnya banyak sangat, saja-saja tangkap. Dan rupanya ia menjadi satu gambar yang penting untuk keadaan masa tu.

Mari kita tengok  Google Photos ni.

Yang dibulatkan itu.

Telefon ni autosync jadi apa yang  dari Camera memang ada terus dalam Photos ni. Gambar-gambar buruk (tidak bersedia) walaupun kita dah delete di phone tiba-tiba tengok ada kat dalam Photos ni hihi.
Bila buka Photos, paparan ditunjukkan secara bulan.



Kita juga boleh upload apa yang ada dalam phone kita ni seperti image dan video dari Whatsapps. Pilih tiga garis bertindih ni dan pilih device folder, nanti pilih untuk back up dan sync atau upload. Cuba-cuba je tekan mana yang nampak tu.
 
Pilih tiga garis bertindih.
Paparan muka depan yang anda boleh pilih apa yang hendak dibuat.
Kita boleh simpan gambar-gambar ni ikut folder album. Jadi semua gambar yang berkaitan ada dalam tu. Biasanya dia automatik je dan boleh je pilih gambar-gambar untuk upload dalam satu fail tu.
Dia simpan automatik mengikut turutan gambar yang sama dan kita namakan album kita itu.


Ada fungsi assistant yang membolehkan kita edit dalam tu tanpa guna aplikasi yang lain.
Boleh buat movie, collage atau animasi. Ikut je arahan.
Saya guna fungsi black and white yang terdapat dalam ni.


Aha boleh buat video anak kucing yang comel sangat ni. Namanya Kentang. Akan diceritakan kisah Kentang ni di waktu yang lain.
Video dia dah siap pilih lagu tapi kalau kita rasa tak best, boleh je pilih music lain.


Boleh kongsi gambar dengan orang lain melalui copy link. Jadi kalau kita pergi trip ramai-ramai dan nak kongsi gambar dengan orang yang sama pergi trip tu bolehlah. Dulu-dulu kita pakai Dropbox untuk share fail-fail yang besar ni. 

Kadang kala kita akan terima notification daripada Google yang  beritahu gambar ni setahun yang lalu. Mengimbas kenangan. Dan ada juga notification yang mencadangkan kita buat Style pada mana-mana gambar.

Memandangkan ini produk google, kita boleh buka di PC asalkan ada akaun gmail untuk log masuk. Macam saya buka di PC ni boleh download gambar yang rasa nak letak di dalam blog. Kalau dulu pakai kamera, perlu sambung kabel usb ke PC untuk pindah gambar, sekarang ni dari phone terus ke PC.  Log in gmail dan pilih 9 kota kecik yang di atas kanan tu. Cari di situ gambar kincir angin berwarna-warni.
Paparan di PC. Sama cara seperti post Google Keep sebelum ini.


Mungkin ada yang tak pernah buka pun apa yang ada di phone tu dalam folder Google. Biasanya ada Google, Gmail, Maps, You Tube, Drive, Play Music, Play Movies & TV, Hangouts, Photos, Calendar dan Play Store. Cer tengok sekarang.



Masa beli telefon biasanya semua ini dah ada dalam satu folder. Kalau kita uninstall salah satu ni, biasanya bingung telefon kita tu nanti. Ada istilah dalam English, lupa pula sekarang ni. 


Friday, January 4, 2019

Hotel Darulaman, Alor Setar, Kedah


Hotel Darulaman merupakan hotel milik Koperasi Guru-Guru Melayu Kedah

Sebelum ini nama hotelnya, Hotel Koperasi. Bagi yang berkursus dengan Maktab Koperasi Malaysia Cawangan Utara, biasanya penempatan untuk peserta adalah di sini. Namun begitu bukan semua peserta yang dapat, hanya peserta yang tinggal melebihi 40 km dari tempat kediaman ke tempat kursus sahaja.



Sebelum ini saya pergi hotel dengan teksi (dari stesen keretapi) tambangnya RM12. Tapi masa kursus yang lepas saya macam dah nampak tak jauh sangat kalau jalan.

Keluar sahaja dari stesen keretapi, jalan terus je. Ikut  arah orang ramai.  Malas nak tanya orang, sahaja tengok persekitaran dahulu. “Yes!” Saya dah nampak mercu tanda bangunan warna-warni yang memang saya tahu agak dekat juga dengan hotel ni.

Saya ikut orang yang jalan ke arah bangunan MARA (yang nampak dalam gambar)
Toleh belakang sat. Nanti senang nak ingat bila nak balik ke stesen keretapi semula
Mesti ada yang tengah baca ni cakap, “Hek eleh ikut ajelah Google Map/Waze. Ketinggalan sungguh.” Ha ada tak tu? Saya memang tak suka guna sangat jadinya tak pandai nak kendali. Hanya akan pakai bila terdesak. Cara lama je. Ikut pandangan, pengetahuan dan gerak hati. Saya ikut sahaja panduan bangunan tu. Melalui bangunan MARA di sebelah kiri, jalan terus dan masih ikut bangunan warna-warni tu sebagai panduan.  Ada dua, tiga warung di tepi jalan. Singgah beli dinner dulu. Di hotel, hanya disediakan sarapan. 
 
Ada nampak Bank Rakyat. Ha saya jadikan bangunan yang warna bendera Kedah kat belakang tu sebagai panduan.

Boleh jalan terus. Walaupun ada zebra line tu, kereta banyak dan laju je. Seram pulak. Jadi saya terus ke kiri.

Teruskan perjalanan lagi melalui kedai-kedai dan kena seberang jalan. Lebih kurang 20 minit perjalanannya sebab saya jalan santai-santai sahaja. Tambahan kena menunggu nak seberang jalan je yang lamanya sebab lampu isyarat tak berfungsi atau memang dah tak pakai tak tahulah (empat hari di sana macam tak pakai je).  Laluan di situ one way dan bagi pemandu kereta memang mudahlah tak payah berhenti sebab lampu isyaratnya tak berfungsi.  Kita yang pejalan kakilah susah sebab kereta banyak dan laju.  Untuk lebih selamat, saya jalan ke arah Pekan Rabu dan naik jejantas untuk seberang. Cuma jalan jauh sikitlah. Jimat RM12 duit teksi. Tapi kalau malam, saya naik teksilah kut sebab nampak sunyi je kalau jalan situ.
 
Dari gambar yang sebelum ini tadi akan nampaklah bangunan Pekan Rabu  yang telah dibaik pulih ni.
Kita naik jejantas. Maktab Koperasi terletak di sebelah kiri dan hanya dipisahkan oleh jejantas sahaja.
Bagi yang  1st time datang, cari je arah Pekan Rabu. Lintas jejantas dah nampak kawasan bangunan Maktab Koperasi tempat yang akan kita kursus dan hotel terletak di hujung bangunan ini. Check in hotel pukul 2 petang.


Alang-alang dah jalan ke negeri orang, mari kita lihat apa yang menarik untuk dibuat di sini selepas habis kelas. Biasanya kelas habis 4.30 petang.  Jom jalan-jalan cari makan.

Pekan Rabu
Memang betul-betul depan MKM. Cuma kena seberang sahaja.
 
Banyak juga bas berhenti di sini. Maklumlah ramai pelancong cari buah tangan.
Kebanyakan kedai jual barang yang sama je sampai susah nak buat pilihan. Sudahnya saya beli jajan di luar Pekan Rabu ni. Haha. 
Nak cari baju, telekung, makanan tradisi, belacan ke barang makanan dari Siam/Padang Besar ke bolehlah. 
Food Court pun ada untuk peserta kursus yang duduk di hotel kerana tiada disediakan dinner.

Mi Derga
Ambil kesempatan ziarah bapa saudara. Langkah lebih panjanglah. Pekena mi goreng di sini. Sedap.
 
Mengikut cerita bapa saudara, lama jugalah kedai ni dah. 

Teringat mi yang ada di Kuala Kangsar. Malangnya orang tu dah meninggal, kedai tak buka dah. Akhirnya dapat kembali rasa itu di sini. 
Kuetiau Iman
Ni pun terbaiklah rasanya, dengan telur mata kerbau dan cili kicap. Rasa macam makan char kueytiau (berkuah) padahal dia kering je. Ramai orang yang datang.
 
Luas kawasan kedainya tapi orang tak makan kat dalam, semua makan kat luar. Ambil suasana petang.
Kuetiau telur atas.

Popia Jamal
Yang ni tak sempat ambil gambar, bapa saudara bekalkan untuk bawak balik rumah. Terus ngap je. Rasanya macam ada masuk dalam tv sebelum ni.

Ketiga-ketiga kedai ni kenalah ada kenderaan kalau nak pergi. Kalau yang betul-betul dekat MKM dan hanya jalan kaki ada Nasi Lemak Royale, Mi Daun Pisang dan ada lagi kedai-kedai di kawasan sekitar.

Setakat ni setiap tahun ada la sekali pergi kursus di Kedah ni. Menanti kursus seterusnya untuk 2019.

Baca di sini juga:




Tuesday, December 18, 2018

Komuter Arah Utara


Bila tambang ETS terasa mahal, marilah kita beralih pada komuter pula.  Saya belum pernah naik lagi walaupun dah mula beroperasi pada hujung 2016.  Stesen Kuala Kangsar hanya ada ETS sahaja jadi kalau nak naik komuter kena naik di Padang Rengas. Tak adalah jauh sangat stesennya, sebelum pekan Padang Rengas sahaja.

Jadual perjalanan komuter (masa saya naik 11 November 2018)

Waktu Pagi                         Tengah hari              Petang                  Malam
5.24                                        12.54                     3.54                        7.54
6.54                                        1.54                       5.24                        9.54
8.54
11.00

Macam komuter di KL juga, beli tiket dan free seating. Destinasi saya Alor Star.  Kalau ETS tambangnya RM44 tapi naik komuter ni RM13 sahaja. Beza sungguhkan harganya. Beli tiket masa tu juga. Naik jam 1.54.
 
Pukul 1.40 dah boleh masuk. Marilah naik tangga ke platform sebelah.
Menyeberangi jejantas ni,

Boleh rehat kejap tengok pemandangan menghijau ni sementara kereta api belum sampai lagi. 


Stesen Padang Rengas tiada lif, kena naik tangga. Banyak pula anak tangganya tu. Kalau jalan di Japan dan Korea memang banyak juga tangga nak naik jadi ia bukanlah masalah yang besar tapi kesian tengok warga emaslah siksa nak naik tangga.
 
Nampak tak jauh lagi tu nak turun. Fuh! Beg berat.
Komuter dah sampai. Pilih je gerabak mana nak naik.
Sekali gini kerusinya, saling berhadap dan bukannya ke arah driver. Tapi saya tak pastilah sama ada keseluruhan gerabak begini atau macam biasa. Masalah juga bila kerusi begini, nak letak beg beroda tapi tak tau nak sandar kat mana jadi kepit je antara kaki takut beg berjalan sendiri nanti. Kalau letak melintang pula makan ruang banyak nanti.
Bila naik di stesen pertama ni  bestnya boleh pilih mana-mana tempat duduk yang disukai sebab tak ramai pun orang naik. Sampai di Taiping dan mula kerusi-kerusi dipenuhi. Laluannya:

Padang Rengas 1.54pm
Taiping
Kamunting
Bagan Serai
Parit Buntar 2.39pm
Nibong Tebal 2.43pm
Simpang Ampat 2.51pm
Bukit Mertajam 3.00 pm

Untuk ke Alor Star (yang menghala ke Padang Besar) kita kena tukar tren dan tukar platform 2. Ada pengumuman dibuat. Kena tunggu di  tingkat atas dulu. Platform 2 belum boleh masuk. Lebih kurang setengah jam iaitu 3.30 baru komuter sampai.

Wah ramainya orang, dengan budak-budak nak balik asrama lagi (gamaknya). Sebab nampak budak-budak remaja berkumpulan dengan beg. Lagipun hari tu Ahad. Memang tak dapat tempat duduk langsung.  Ada ibu dengan 2 orang anaknya dalam lingkungan 4-5 tahun pun tak dapat duduk.  Tak kanlah kita nak berebut tempat pula, tak patut rasanya.  Jadinya dari Bukit Mertajam sampai Alor Star saya berdiri. Ha tulah beza dengan ETS bayar mahal, ada tempat duduk dan tak payah tukar tren. Haha.

Tren baru ni pinjam dari KLjadi jangan terkejut bila masuk tren dan tengok peta laluannya ditulis Seremban, Pantai Dalam, Senawang, Sg Gadut. Siap ada koc wanita lagi tapi untuk komuter arah utara, lelaki pun boleh masuk.

Sambung laluan:
Bukit Mertajam 3.37 pm
Tasuk Gelugor 3.38 pm
Sungai Petani 3.59 pm
Gurun 4.12 pm
Kobah 4.22pm
Alor Star 4.33 pm

Alhamdulillah selamat sampai.



Wednesday, December 12, 2018

Google Keep : Diari Seorang Traveller

Jika dulu saya guna buku nota mini dan pen sebagai peneman dalam perjalanan. Kini zaman telefon pintar. Kita pun kena pintar memaksimumkan penggunaannya. 'Dialah' kamera, jam penggera, buku nota, kalkulator dan macam-macam lagilah dan bukannya hanya bertelefon.

Dah dua bulan lebih melancongnya tapi baru nilah sempat nak tulis di blog. Kalau nak mengharapkan ingatan rasanya dah ingat-ingat lupa juga.

Pilihan saya untuk menulis nota perjalanan, Google Keep.  Saya download apps dari Playstore tapi kalau yang beli telefon baru ni biasanya dah ada dalam tu.

Kini tak perlu risau lagi buku nota letak merata, ada muka surat yang  hilang ataupun tulisan yang cakar ayam sampai diri sendiri pun tak boleh baca.
Google Keeps yang bentuk mentol lampu/lambang idea? dengan latar belakang kuning.

Nota terpaksa dikaburkan. Malu la pulak orang baca haha.
Nota yang ditulis sepanjang perjalanan semuanya ada dalam ni. Idaklah boleh padam-padam selagi tak pindah maklumat tu dalam blog. Nota ni saya tulis yang penting sahaja dulu. Bila ada masa terluang macam ketika menunggu bas atau Metro atau waktu malam selepas habis berjalan baru saya edit balik dengan bahasa yang lebih elok. Jadi bila nak post di blog nanti tak adalah susah sangat nak karang semula.

Teringat kata-kata Ustaz Muhammad bin Abdullah (Ustaz Amin) dalam slot IKIM FM setiap Isnin, 10 pagi, "Sekabur-kabur tulisan, sekuat-kuat ingatan. Para ilmuan terdahulu mereka yang suka mencatat ilmu yang mereka dapat. Di dalam al-Quran sendiri Allah menyatakan bahawa Allah mengajar manusia dengan perantaraan qalam atau pena. Sebab itu mencatat adalah amalan yang mulia dan ia akan tetapi diingati walaupun tulisan itu telah kabur."

Penggunaan Google Keep ini bukan sahaja untuk mencatat nota perjalanan tapi gerak kerja dari awal lagi.  Pertama, To do list - perkara penting yang perlu dilakukan sebelum melancong.

Senaraikan perkara yang perlu dibuat. Apabila telah selesai, 'tick' dalam kotak.

Kita boleh ‘Add Reminder’ juga supaya tak lupa. Nanti dia akan bunyi beep ikut tarikh dan masa yang telah kita pilih. Reminder tu akan tanya ‘Done’ atau ‘Later’. Kalau kita tekan ‘Later’ dia akan bagi pilihan lain sama ada kita hendak diingatkan lagi bila. Esok ke, tulat ke. Kalau kita tak pilih apa-apa tindakan, gambar mentol tu akan ada di skrin telefon bahagian atas sampailah kita ambil tindakan. Oleh kerana ia produk Google, nota reminder tu akan muncul juga di Google Calendar ikut tarikh yang dipilih.
Pilih hari dan masa yang ingin diingatkan.

Kalau kita pilih repeat, dia akan ulang sama ada setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun atau pilih ikut kita. Jadi untuk tidak perlu mengulang banyak kali, pilih does not repeat.

Perkara kedua, checklist barang yang akan dibawa. Biasanya berapa lama anda ambil masa untuk siapkan pakaian yang akan dibawa? Saya biasanya dalam dua minggu tu dah keluar beg, dan akan ambil je baju-baju yang akan dibawa kumpul dalam beg. Esoknya kalau teringat nak ambil lagi, taruhlah lagi. Kiranya takde lah siap terus beg tu. Dalam masa dua hari tarikh nak berjalan, barulah siap beg. Apabila dah kemas baju-baju tu, barulah teringat pulak ada yang tak cukup tapi malas nak ambil terus dalam almari, jadi saya senaraikan dulu di Google Keep.

Apabila telah selelai dimasukkan dalam bag, 'tick' di dalam kotak. Pasti tiada yang tertinggal. Insya-Allah

Perkara ketiga, senarai sourvenir atau orang yang patut diberi souvenir. Apabila melancong sudah pasti mencari souvenir untuk kenangan.  Kadang kita beli je ikut suka, kan. Nanti barulah boleh dibahagi-bahagikan.  Tapi ada orang-orang tertentu yang mesti kena belikan juga sebab biasa derang ingat nak bagi souvenir kat kita jadi masa nilah nak balas balik. Untuk tidak terlupa bolehlah senaraikan nama yang patut. Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Kita boleh pilih macam-macam warna juga untuk nota kita ni. Jadi cerialah nampak kat situ. Bila dah beli, tick dalam kotak.

Untuk yang sudah bertanda tu (bahagian bawah), kalau tersilap tanda anda boleh tick semula kotak tersebut dan dia akan naik ke atas semula.

Perkara keempat, letak gambar dan guna fungsi pen untuk melukis/mencatat. Contoh di sini laluan Metro dan saya tanda di Chunxi Road supaya boleh nampak ke mana dan dari mana stesen kita. Apabila kita letak semua maklumat berkaitan pelancongan kita di satu tempat mudah sikit nak rujuk semula.
Saya tanda di Chunxi Road sebab itulah stesen yang kami naik tiap-tiap hari.

 Di sini macam post it note yang kita boleh tampal di dinding. Jadi letaklah apa sahaja benda yang kita hendak rujuk. Perkara kelima nilai tukaran mata wang antara RM dan RMB juga formula nak dapat nilai sebenar harga sesuatu barang.

Formula mengira dengan lebih tepat.
Bukan cekap sangat mengira, jadi ringkasan nilai mata wang ni boleh dijadikan panduan.

Jika kita hendak letak nota yang kita rasa penting dan kita akan selalu tengok, boleh tekan pinned (gambar paku tekan) supaya nota ini sentiasa di bahagian atas walaupun ada nota-nota baru yang masuk.
Gambar paku tekan di bahagian atas, kanan

 Apps ini sync dengan gmail. Oleh itu kita boleh buka di PC walau di mana sahaja kita berada.
Buka gmail, dan tekan gambar kotak (atas, kanan) dekat dengan profil kita. Akan keluarlah senarai produk google. Sila tekan 'more'  sebab ada lagi bawah tu.


Tu dia dah ada, yang bertanda bulat. 
Di PC besar sikit dapat lihat segala nota.


Mudah,kan dengan adanya segala macam apps ni? Sila cuba dan aplikasikan dalam hidup anda untuk perkara-perkara lain.